Cabaran dakwah para rasul: Apa tugas kita?

Islam adalah agama untuk semua manusia. Ia adalah satu-satunya agama yang datang daripada Allah, Tuhan semesta alam.

Apabila Allah mencipta manusia yang pertama iaitu Nabi Adam alaihissalam (AS), Allah ciptakan juga agama atau cara hidup yang sesuai dengan fitrah manusia. Dalam al-Quran, cara hidup ini dikenali sebagai Islam.

“Sesungguhnya agama di sisi Allah hanyalah agama Islam…” (Ali Imran 3 : 19)

Mengapa diutuskan rasul?

Pada peringkat awal kehidupan manusia, semua keturunan Nabi Adam AS. adalah Islam. Sembahan mereka hanyalah kepada Allah Tuhan yang Maha Esa.

Namun setelah berlalu beberapa kurun, bermulalah era manusia menyekutukan Allah. Syaitan berjaya memainkan peranannya untuk menyesatkan manusia daripada jalan kebenaran.

Maka setiap kali ada kumpulan manusia yang terpesong akidah mereka, Allah lantas mengutuskan nabi dan rasul dalam kalangan mereka untuk membawa mereka kembali kepada akidah yang sebenar.

Berdasarkan kronologi sejarah, Nabi Nuh AS adalah rasul pertama yang diutuskan Allah kepada kaumnya yang telah berlaku syirik.

Kemudian datang pula para nabi dan rasul yang lain kepada kaum masing-masing, sehinggalah Nabi Muhammad SAW diutuskan sebagai nabi dan rasul yang terakhir. Mereka semua membawa misi yang sama, mengajak manusia kembali mentauhidkan Allah.

Firman Allah:

“Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): ‘Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut’…” (An-Nahl 16 : 36)

Dalam al-Quran, Allah menceritakan banyak kisah nabi dan rasul kepada kita. Terdapat seramai 25 orang nabi yang disebut nama mereka dalam al-Quran, yang mana 18 orang daripada mereka adalah rasul.

Malah melalui al-Quran juga kita mengetahui bahawa selain 25 nabi dan rasul tersebut, terdapat ramai lagi nabi dan rasul yang lain yang Allah tidak ceritakan nama dan kisah hidup mereka kepada kita.

Firman Allah:

“Dan (Kami telah mengutuskan) beberapa orang rasul yang telah Kami ceritakan kepadamu dahulu sebelum ini, dan rasul-rasul yang tidak Kami ceritakan hal mereka kepadamu…” (An-Nisa’ 4 : 164)

Para nabi dan rasul dipilih oleh Allah dalam kalangan manusia sendiri. Mereka bukanlah anak-anak Allah, jauh sekali untuk disembah. Mereka juga makan, minum, tidur dan mempunyai perasaan seperti kita manusia biasa.

Namun mereka bersifat maksum (terpelihara daripada dosa), juga terhindar daripada sebarang kekurangan sama ada dari sudut fizikal mahu pun akhlak. Perkara ini penting bagi memastikan mereka menjadi contoh teladan kepada kaum mereka.

Menghadapi tentangan

Para nabi dan rasul menghadapi tentangan yang hebat dalam usaha dakwah mereka. Seruan kepada kaum mereka untuk mengesakan Allah bukan sahaja ditolak, malah mereka diberikan pelbagai ancaman agar menghentikan dakwah mereka.

Kaum mereka tetap berdegil dengan kepercayaan karut yang dikatakan diwarisi daripada nenek moyang mereka, bertuhankan patung berhala yang dicipta dengan tangan mereka sendiri.

Jelas patung-patung ini tidak mampu memberikan sebarang manfaat pun kepada mereka, apatah lagi berbuat sesuatu kebaikan kepada dirinya sendiri.

Firman Allah (yang bermaksud):

“Apakah mereka mempersekutukan (Allah dengan) berhala-berhala yang tidak dapat menciptakan sesuatu pun, sedangkan berhala-berhala itu sendiri buatan orang. Dan berhala-berhala itu tidak mampu memberikan pertolongan kepada penyembah-penyembahnya dan kepada dirinya sendiri pun berhala-berhala itu tidak dapat memberikan pertolongan.” (Al-A’raf 7 : 191-192)

Dalam kalangan para rasul, terdapat beberapa orang yang mendapat gelaran ‘Ulul Azmi’. Mereka ialah Nabi Nuh AS, Nabi Ibrahim AS, Nabi Musa AS, Nabi Isa AS dan Nabi Muhammad SAW.

Mereka diberikan gelaran tersebut kerana mereka adalah rasul yang paling banyak menanggung kesusahan dan kesakitan berbanding rasul-rasul yang lain, namun mereka tetap menghadapinya dengan penuh kesabaran.

Nabi Nuh AS

Nabi Nuh AS berdepan dengan kaumnya yang menyembah patung berhala. Berdasarkan al-Quran, nama-nama tuhan berhala mereka ialah Wad, Suwa’, Yaghuth, Ya’uq dan Nasra.

Selama 950 tahun Nabi Nuh AS menyeru mereka agar kembali ke jalan Allah, namun hanya sedikit sahaja yang menerima seruan baginda.

Baginda turut diejek dan diancam oleh kaumnya, malah mereka turut mencabar Nabi Nuh AS agar diturunkan azab kepada mereka. Akhirnya kaum Nabi Nuh AS yang ingkar ditenggelamkan Allah dalam banjir besar.

“Dan sungguh, Kami telah mengutus Nuh kepada kaumnya, maka dia tinggal bersama mereka selama seribu tahun kurang lima puluh tahun. Kemudian mereka dilanda banjir besar, sedangkan mereka adalah orang-orang yang zalim.” (Al-Ankabut 29 : 14)

Nabi Ibrahim AS

Nabi Ibrahim AS juga diutuskan kepada kaumnya yang menyembah berhala. Malah baginda terpaksa berhadapan dengan ayah baginda sendiri yang merupakan pembuat patung berhala.

Baginda turut menghadapi ujian berat dalam usaha dakwah, termasuk daripada raja yang zalim. Sehingga pada satu peringkat Nabi Ibrahim AS dicampak ke dalam api yang marak menyala, namun baginda diselamatkan Allah.

“Maka tidak ada jawapan kaumnya (Ibrahim), selain mengatakan, ‘Bunuhlah atau bakarlah dia,’ lalu Allah menyelamatkannya daripada api. Sungguh, pada yang demikian itu pasti terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang yang beriman.” (Al-Ankabut 29 : 24)

Nabi Musa AS

Nabi Musa AS juga menerima cabaran getir dalam usaha dakwah baginda kepada kaum Bani Israil. Bertemankan saudaranya Nabi Harun AS, mereka berhadapan dengan Firaun, pemerintah Mesir yang bukan setakat melakukan kerosakan dan penindasan sesama manusia, malah turut mengaku dirinya sebagai tuhan.

Mukjizat yang dikurniakan Allah kepada Nabi Musa berupa tongkat baginda yang bertukar menjadi ular tidak mengubah pendirian Firaun yang tetap dengan keangkuhannya.

Akhirnya Allah menenggelamkan Firaun dan bala tenteranya yang derhaka di dalam laut sewaktu mereka cuba untuk mengejar Nabi Musa AS dan para pengikutnya yang beriman.

“Dan (ingatlah) ketika Kami membelah laut untukmu, sehingga kamu dapat Kami selamatkan dan Kami tenggelamkan (Firaun dan) pengikut-pengikut Firaun, sedang kamu menyaksikan.” (Al-Baqarah 2 : 50)

Nabi Isa AS

Nabi Isa AS juga berhadapan dengan kaum Bani Israil yang cukup hebat menentang dakwah baginda. Antara mereka yang yang menolak dakwah baginda ialah golongan ‘Al-Sodduqin’, iaitu Yahudi yang tidak percaya kepada kewujudan hari akhirat.

Baginda juga berdakwah dan berbahas dengan golongan ‘Farisyin’, iaitu mereka yang menolak ibadah. Hanya sekelompok kecil sahaja dalam kalangan Bani Israil yang membenarkan Nabi Isa AS yang dikenali dalam al-Quran sebagai :Al-Hawariyyun’.

Sampailah ke satu masa di mana orang-orang Yahudi merancang untuk membunuh Nabi Isa AS, namun Allah menyelamatkan baginda dengan mengangkat baginda ke langit.

“Dan juga (disebabkan) dakwaan mereka dengan mengatakan: ‘Sesungguhnya kami telah membunuh Al-Masih Isa Ibni Maryam, Rasul Allah’. Padahal mereka tidak membunuhnya dan tidak memalangnya (di kayu palang – salib), tetapi diserupakan bagi mereka (orang yang mereka bunuh itu seperti Nabi Isa). Dan Sesungguhnya orang-orang yang telah berselisih faham, mengenai Nabi Isa, sebenarnya mereka berada dalam keadaan syak (ragu-ragu) tentang menentukan (pembunuhannya). Tiada sesuatu pengetahuan pun bagi mereka mengenainya selain daripada mengikut sangkaan semata-mata; dan mereka tidak membunuhnya dengan yakin. Bahkan Allah telah mengangkat Nabi Isa kepada-Nya; dan adalah Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (An-Nisa’ 4 : 157-158)

Nabi dan rasul lain

Selain rasul ulul ‘azmi, nabi dan rasul yang lain juga menghadapi cabaran dakwah dalam pelbagai bentuk.

Nabi Hud AS dan Nabi Salleh AS diutuskan kepada kaum ‘Aad dan Thamud yang tetap berdegil dengan kekufuran mereka sehingga Allah menimpakan azab yang berat kepada mereka.

Nabi Lut AS menghadapi kaumnya yang cenderung kepada hubungan sejenis, manakala Nabi Syuaib AS berdakwah kepada kaumnya yang menipu dalam perniagaan.

Nabi Yusuf AS pula difitnah oleh pembesar Mesir, namun tetap melaksanakan dakwah walaupun berada di dalam penjara. Selain itu Nabi Yunus AS menerima ujian ‘lockdown’ di dalam perut ikan Nuun setelah meninggalkan kaumnya yang enggan menerima seruan dakwah baginda.

Segala ujian tersebut dilalui oleh para nabi dan rasul dengan penuh keimanan dan kesabaran.

Muhammad SAW

Baginda Nabi Muhammad SAW adalah nabi dan rasul yang menerima ujian paling berat dalam usaha dakwah. Pelbagai buku sirah menceritakan secara terperinci perjalanan dakwah baginda.

Baginda kehilangan dua insan tersayang iaitu Khadijah, isteri baginda dan Abu Talib, bapa saudara baginda yang banyak membela baginda sewaktu fasa awal dakwah di kota Mekah.

Sahabat-sahabat baginda diseksa, malah ada yang dibunuh oleh pemuka kafir Quraisy hanya kerana mereka mempertahankan iman mereka. Malah baginda sendiri pernah dilempar dengan batu sehingga mendapat kecederaan sewaktu berdakwah di Taif.

Sewaktu di Madinah pula, baginda melalui beberapa siri peperangan besar dengan kaum kafir Quraisy bagi mempertahankan Islam, sehingga baginda kehilangan beberapa orang sahabat yang gugur syahid.

Selain itu, baginda turut berdepan dengan pelbagai perancangan jahat golongan Yahudi, Nasrani dan Munafik yang sentiasa berusaha untuk melumpuhkan usaha dakwah baginda.

Namun berkat kegigihan dan kesabaran Nabi Muhammad SAW menempuh segala rintangan tersebut, hari ini kita dapat hidup dalam cahaya Islam.

Bukan calang-calang pengorbanan yang telah dicurahkan oleh baginda SAW sehingga menyebabkan hari ini kita memiliki nikmat terbesar dalam hidup kita, iaitu nikmat iman dan Islam.

Tugas kita

Sewajarnya sebagai hamba Allah yang bersyukur, kita harus meneruskan usaha dakwah dan perjuangan baginda, menyebarkan mesej Islam ke setiap penjuru alam.

Beruntunglah kita di Malaysia kerana masih dapat melaksanakan usaha dakwah secara aman dan terbuka.

Penentangan terhadap usaha dakwah kita pun tidaklah sehebat mana. Malah kita mempunyai pelbagai bentuk sokongan dan kemudahan untuk melaksanakan dakwah.

Tidak seperti beberapa negara lain yang saya lawati yang bukan sahaja serba-serbi kekurangan dalam pelbagai aspek dakwah (terutamanya di negara minoriti Muslim), malah ada negara yang tidak membenarkan langsung aktiviti penyebaran agama.

Maka marilah kita manfaatkan kelebihan yang kita ada di Malaysia dengan menggerakkan usaha dakwah yang lebih giat dan berhikmah serta mempunyai perancangan yang berkesan, insya-Allah.

 

Wan Muhammad Wan Ibrahim

Pengarah Jabatan Pengurusan Daie dan Sukarelawan, Hidayah Centre Foundation

Ketua Jawatankuasa Dakwah IKRAM Negeri Selangor

 

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Ikuti Rancangan Jom Sembang Bersama Ustaz Dr Syazalie Hirman setiap Jumaat di TV IKRAM.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia