Bulan Ramadan dan Pembaziran Makanan Berpisah Tiada

Bulan Ramadan dan Pembaziran Makanan Berpisah Tiada | IKRAM

Kesulitan hidup yang pernah dilalui tentunya sedikit sebanyak membuatkan seseorang lebih memahami dan bersikap empati terhadap kesukaran hidup orang lain.

Berpuasa dapat membuatkan pengamalnya menyelami lapar dan dahaga yang dirasai oleh perut-perut orang yang mengalami kesempitan hidup.

Melalui amalan berpuasa, rohani seseorang terdidik untuk sentiasa bersyukur dengan anugerah kenikmatan hidup dan menghargai nikmat yang diberi termasuk tidak berlebih-lebih dalam soal makan minum.

Maka, ternyata mengelakkan perbuatan membazir makanan menjadi salah satu nilai moral yang ingin diasuh dalam diri melalui puasa. Hairannya, inilah isu yang sering berlaku dari masa ke masa.

Isu pembaziran makanan ketika Ramadan seakan-akan menjadi topik wajib saban tahun pada bulan penuh rahmat ini. 

Pembaziran Luar Biasa

Dalam ucapan Pengarah urusan KDEB Waste Management (KDEBWM), Dato’ Ramli Mohd Tahir baru-baru ini mengatakan bahawa KDEBWM mengutip 73.67 tan sisa  makanan setiap hari di 8,000 Bazar Ramadan di seluruh negeri Selangor pada tahun ini. 

Satu kajian telah dijalankan oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) pada tahun 2021 di 27 tapak pelupusan sampah.

Kajian itu didapati 36 peratus daripada keseluruhan sisa yang dilupuskan ke tapak pelupusan terdiri daripada sisa sampah, manakala 26 peratus daripada jumlah tersebut merupakan sisa makanan yang boleh dielak. 

Kuantiti makanan terbazir ini luar biasa banyak. Adakah pembuang makanan ini sedar, makanan yang terbazir sebanyak ini boleh menjadi solusi kepada jutaan orang lapar yang mencatu duit semata-mata untuk mendapatkan makanan?

Ini memberikan bayangan bahawa masih ramai lagi rakyat Malaysia mempunyai tabiat membazirkan makanan yang masih elok dan selamat dimakan. 

Inisiatif MYSaveFood

Atas kesedaran ini, Pertubuhan Pemuda Gema Malaysia (GEMA) sejak 2016 telah melakukan inisiatif pengumpulan makanan berlebihan tidak terjual daripada peniaga bazar-bazar Ramadan melalui projek MYSaveFood (MSF).

Makanan yang terkumpul ini akan diedarkan kepada golongan yang memerlukan seperti golongan asnaf, pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dan rumah anak-anak yatim. 

Menurut Ketua Projek Bazar Ramadan Sungai Tangkas, Muhammad Ezamuddin Hidhir, objektif projek ini tercapai apabila ia menjadi saluran kepada mereka yang memberi lebihan makanan yang tidak terjual untuk diagihkan, sekali gus mengurangkan pembaziran makanan yang sering berlaku.

“Pengumpulan ini dapat mencegah pembaziran makanan berlebihan kerana kebiasaannya para peniaga tidak tahu dan tidak ada masa untuk agihkan makanan lebihan,” katanya yang juga pelajar IPT dan Penolong Setiausaha GEMA Selangor.

Beliau menyarankan agar orang ramai membeli makanan mengikut keperluan dan bukan kehendak.  Setakat 30 Mac lalu, jumlah kutipan dan agihan yang berjaya dilakukan oleh GEMA di sembilan bazar adalah sebanyak 2099.95 kilogram yang melibatkan 184 orang sukarelawan.

Impak Pembaziran

Isu pembaziran makanan ini nampak kecil bagi sesetengah orang, namun ia adalah perbuatan yang tidak wajar dan mendatangkan kemudaratan.

Realitinya pembaziran makanan umpama membuang wang dan malangnya ia memberikan impak kepada kelestarian alam sekitar. 

Pembuangan sisa makanan di tapak pelupusan sampah menghasilkan gas metana yang tinggi, membentuk larutan yang kotor, sekali gus menyebabkan pencemaran udara, air dan tanah.

Kos pengurusan sampah yang dikeluarkan kerajaan adalah tinggi dan amat menyedihkan, ia berlaku hanya akibat perbuatan manusia yang boleh diuruskan. 

Ubah Tabiat

Rakyat Malaysia harus mengawal tabiat mengurus makanan. Bagi umat Islam, ambillah kesempatan berubah pada bulan Ramadan ini, tepat dengan mesej kemenangan berupa takwa yang dibawa bersama.

Makanan seharusnya diambil mengikut keperluan dan tidak berlebihan. Jika berlebihan, ia boleh disimpan dengan baik untuk digunakan dalam masakan baharu. Lebih menarik, usahakan untuk mengadakan kompos sisa makanan.

Jadikan Ramadan ini lebih bermakna tanpa pembaziran. Natijah amalan puasa, tilawah al-Quran, solat tarawih serta ibadah lain terzahir melalui akhlak seseorang. Pembaziran makanan bukan salah satu daripada akhlak itu. 

Basmin Maarof
Pegawai Jabatan Komunikasi dan Media
Pertubuhan IKRAM Malaysia

Penafian: Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian IKRAM.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia