Keluarga utuh bukan bererti sempurna

Terperangkap dalam dunia ideal boleh menyebabkan manusia tertekan dalam minda dan persepsi sendiri. Mempunyai keluarga yang bahagia merupakan impian semua manusia yang waras dan normal.

 

Membayangkan bagaimanakah rupa keluarga bahagia itu boleh menghasilkan berpuluh persepsi dan cerita. Tidak dinafikan juga, apa yang terhidang di media sosial menjadi saingan utama ketika ini.

 

Maka, bahagia itu dikaitkan dengan kemewahan. Adakala bahagia dikaitkan dengan keintiman yang dipamerkan tanpa segan silu, maka timbullah perasaan iri dan mencari-cari apa yang tiada sehingga melupakan apa yang di depan mata.

 

Sesetengah pula membayangkan keluarga bahagia ialah keluarga yang tidak mempunyai masalah. Tentu, mustahillah jawabnya untuk mencapai segalanya itu.

 

Hidup siapakah yang tidak mempunyai masalah? Sedangkan haiwan pun mempunyai masalah, inikan pula manusia yang mempunyai akal untuk berfikir dan menyelesaikan masalah.

 

Ada juga yang menginginkan keluarga yang ramai, sering berkumpul dan bermesra, maka jika gagal mempunyai sedemikian, bahagia dianggap makin menjauh dan keadaan ini diburuk-burukkan lagi dengan sikap tidak bersyukur mengungkit-ungkit perkara yang tiada.

 

Utuh dan kukuh

 

Tema yang diperkenalkan oleh Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) iaitu ‘keluarga utuh’ sangatlah signifikan. Meninjau makna perkataan utuh iaitu kukuh dan teguh memberikan gambaran awal kepada kita bahawa keluarga yang sepatutnya didambakan ialah keluarga yang kuat dan tegar menghadapi cabaran.

 

Pantai mana yang tidak dilanda ombak, sungai mana yang tidak mempunyai tebing?

 

Persepsi awal tentang cabaran dalam berkeluarga mestilah jelas supaya semua ahli dalam keluarga bersedia untuk menghadapi cabaran yang mendatang. Pembinaan sebuah keluarga memakan masa yang lama, kerana Allah SWT mengetahui bahawa secara semula jadinya manusia memerlukan masa untuk semua perkara.

 

Pembinaan keluarga yang bermula dengan pemilihan pasangan, diteruskan dengan pertunangan yang masih diberikan tempoh untuk berkenalan. Kemudian, Allah Taala berikan masa lagi untuk dikurniakan rezeki anak dan cucu serta seterusnya.

 

Selain itu, Allah yang Maha Pengasih telah menciptakan perasaan kasih sayang dan cinta antara pasangan. Allah SWT telah berfirman dalam Surah ar-Rum ayat 21:

 

وَمِنْ اٰيٰتِهٖٓ اَنْ خَلَقَ لَكُمْ مِّنْ اَنْفُسِكُمْ اَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوْٓا اِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُمْ مَّوَدَّةً وَّرَحْمَةً ۗاِنَّ فِيْ ذٰلِكَ لَاٰيٰتٍ لِّقَوْمٍ يَّتَفَكَّرُوْنَ

 

“Dan di antara tanda-tanda (kebesaran)-Nya ialah bahawa Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu daripada (jenis) dirimu sendiri agar kamu berasa tenteram kepadanya. Dia menjadikan di antaramu rasa cinta dan kasih sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berfikir.”

 

Percayalah! Jika tidak ada perasaan tersebut, hampir mustahil untuk dua jiwa melayari bahtera rumah tangga dengan jayanya. 

 

Melihat kepada fitrah dan sunnatullah ini, indahnya perjalanan hidup yang diciptakan oleh Allah SWT. Manakan tidak, setiap apa yang dilakukan dalam urusan berkeluarga semuanya dikira  ibadah dan mendapat pahala dan layak memasukkan seorang hamba ke dalam syurga.

 

Contoh teragung

 

Sebagai seorang Muslim, Rasulullah SAW merupakan uswah dan contoh teragung. Baginda terkenal sebagai orang yang paling baik dalam keluarga. Malah itulah yang dipesan dan perlu digenggam erat  oleh setiap daripada umatnya.

 

 Diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

خَيْرُكُمْ خَيْرُكُمْ لِأَهْلِهِ وَأَنَا خَيْرُكُمْ لِأَهْلِي، وَإِذَا مَاتَ صَاحِبُكُمْ فَدَعُوهُ

 

“Sebaik-baik kamu adalah yang paling baik terhadap ahli keluarganya, dan aku adalah orang yang paling baik terhadap ahli keluargaku. Dan apabila salah seorang daripada ahli keluarga kamu meninggal dunia, maka biarkanlah dia (tinggalkanlah dia dan jangan berbicara tentang keburukannya).”

 

Menjadi yang terbaik dalam keluarga mempunyai variasi yang berbeza. Baik sebagai seorang suami berbeza dengan baik sebagai isteri. Baik sebagai bapa tidak sama dengan baik sebagai sebagai ibu. Begitu juga sebagai anak, abang, kakak dan lain-lainnya.

 

Menelusuri paparan sejarah panduan Rasulullah SAW dan para sahabat berkeluarga, kita boleh mengutip panduan dan hikmah.

 

Semakin kita mendalami cerita-cerita yang diriwayatkan, semakin mendekatkan kita kepada hakikat bahawa mereka juga adalah manusia, keluarga mereka tidak terlepas daripada konflik dan masalah yang adakalanya sangat meruncing.

 

Sebagai contoh, boleh kita bayangkan bagaimanakah keadaan keluarga Rasulullah SAW menghadapi peristiwa al-ifk ketika Ummul Mukminin Aisyah RA ditohmah melakukan satu perkara yang tidak terjangkakan.

 

Allah Taala bukan sahaja menguji Aisyah RA dan Rasulullah SAW, malah telah menguji seluruh penduduk Madinah dengan peristiwa yang mencabar ini.

 

Bahagia itu sedehana

 

Sudah pasti, sikap-sikap yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat menjadi panduan kepada kita dalam menghadapi ujian dan cabaran terutamanya dalam berkeluarga.

 

Sifat-sifat seperti sabar, tawakal dan bertimbang rasa sangatlah penting. Apa yang pasti, orang-orang terdahulu telah membuktikan bahawa bahagia itu ada pada yang sederhana.

 

Sabar, sebagaimana yang kita maklum bukanlah mudah. Sabar merupakan sifat yang perlu dipupuk dan dididik. Sabar sebagai isteri, sabar sebagai bapa, apatah lagi sabar sebagai ibu bapa. Malah, sabar sebagai anak khabarnya lagi mencabar.

 

Perlu disedari, keluarga yang utuh bukanlah keluarga yang sempurna yang bebas daripada sebarang masalah.

 

Keluarga utuh yang kita inginkan ialah keluarga yang kuat menghadapi cabaran yang  iman dan takwa menjadi asas, dan yang paling penting ialah sabar dan hikmah mestilah sentiasa ada.

 

Justeru, jangan memandang serong pada keluarga yang mempunyai masalah, jangan terlalu menjulang pada keluarga yang menunjukkan bahagia.

 

Ini adalah kerana keluarga adalah wasilah dan jalan untuk kita berbakti dan meraih reda-Nya.

 

Dr Hamidah Mat
Pensyarah Kanan, Kluster Pendidikan dan Sains Sosial (CESS OUM) dan ahli Pertubuhan Ilmuwan dan Cendekiawan Muslim Malaysia (ILMAN).

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia