Budaya Integriti: Rahsia Kejayaan Jepun & Korea Selatan

korea japan

Negara kita kini dimeriahkan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor dan Negeri Sembilan dalam masa terdekat, dengan pelbagai parti politik begitu aktif berkempen bagi memenangkan calon masing-masing.

Dalam pembangunan negara pula, perhatian sering tertumpu kepada pertumbuhan ekonomi, pelaburan asing, kecanggihan teknologi dan pembinaan infrastruktur.

Namun, terdapat satu faktor yang sering kurang diberikan perhatian walaupun ia menjadi penentu kejayaan sesebuah negara dalam jangka panjang iaitu integriti.

Integriti bukan sekadar sifar rasuah. Ia merangkumi kejujuran, amanah, tanggungjawab, akauntabiliti dan kesediaan untuk melakukan perkara yang betul walaupun tiada siapa yang memerhati apa yang sedang kita lakukan.

Integriti asas kepercayaan rakyat

Dalam konteks negara, integriti menjadi asas kepada kepercayaan rakyat terhadap institusi awam, sistem politik, sektor swasta dan sesama anggota masyarakat. Integriti tidak cukup sekadar menjadi nilai yang dipegang, tetapi perlu berkembang menjadi budaya yang diamalkan.

Nilai menunjukkan apa yang kita percaya; budaya menunjukkan apa yang benar-benar kita lakukan. Justeru, cabaran sebenar bukan hanya mendidik rakyat supaya menghargai integriti, tetapi membina persekitaran, sistem dan institusi yang menjadikan integriti sebagai kebiasaan.

Kepentingan integriti sebenarnya diakui di seluruh dunia. Menurut Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2024 yang diterbitkan oleh Transparency International, lebih dua pertiga negara di dunia memperoleh skor di bawah 50 daripada 100 mata, manakala purata global kekal pada skor 43.

Dapatan ini menunjukkan bahawa krisis integriti bukan sekadar masalah sesebuah negara, tetapi merupakan cabaran pembangunan global yang memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat, kemajuan ekonomi dan kestabilan institusi.

Malaysia tidak terkecuali daripada cabaran tersebut. Dalam CPI 2024, Malaysia memperoleh skor 50 daripada 100 dan berada di kedudukan ke-57 daripada 180 negara yang dinilai.

Walaupun kedudukan ini meletakkan Malaysia dalam kelompok yang lebih baik berbanding banyak negara lain, ia masih jauh daripada kelompok negara yang menjadi rujukan dunia dalam aspek integriti dan tadbir urus. 

Menyedari hakikat tersebut, pelbagai usaha sedang dilaksanakan bagi memperkukuh budaya integriti negara, termasuk melalui Strategi Pembudayaan Integriti Nasional (NIES). Strategi ini adalah kesinambungan daripada Pelan Integriti Nasional yang telah berlalu selama sedekad sebelum ini.

Strategi ini menekankan bahawa integriti perlu dibudayakan dalam seluruh lapisan masyarakat melalui pendekatan menyeluruh yang melibatkan keluarga, institusi pendidikan, sektor awam, sektor swasta, badan agama, organisasi masyarakat sivil dan komuniti setempat.

Hakikatnya, sejarah pembangunan dunia menunjukkan bahawa negara yang berjaya bukan hanya memiliki sumber ekonomi yang besar, tetapi mempunyai tahap integriti yang tinggi dalam masyarakat dan institusinya. Jepun dan Korea Selatan merupakan dua contoh negara yang wajar diberikan perhatian.

Bagaimanakah integriti di Jepun dan Korea Selatan?

Mari kita lihat satu persatu. 

Jepun sering dikagumi kerana budaya integriti yang begitu kuat dalam kalangan rakyatnya. Di negara itu, kehilangan dompet atau barangan peribadi sering berakhir dengan pemiliknya mendapat semula barangan tersebut. Walaupun kelihatan remeh, fenomena ini mencerminkan sesuatu yang lebih besar iaitu kewujudan budaya integriti yang telah berakar umbi dalam kehidupan masyarakat.

Rajah 1: Amalan Terbaik Global Sebagai Rujukan Pembudayaan Integriti (Jepun)

Budaya tersebut tidak muncul secara kebetulan. Ia dibentuk melalui pendidikan sejak usia muda, pengaruh keluarga serta norma sosial yang menekankan tanggungjawab terhadap masyarakat. Rakyat Jepun dididik untuk menghormati peraturan, menjaga kepentingan awam dan menunaikan amanah tanpa mengharapkan pengawasan yang berlebihan.

Akibatnya, tahap kepercayaan sosial menjadi tinggi. Apabila masyarakat saling mempercayai antara satu sama lain, kos pentadbiran dan penguatkuasaan dapat dikurangkan, urusan ekonomi menjadi lebih cekap dan institusi negara berfungsi dengan lebih berkesan.

Dalam banyak keadaan, kepercayaan sosial inilah yang menjadi modal tidak ketara yang menyumbang kepada kemajuan Jepun sebagai antara negara paling maju di dunia.

Kita boleh saksikan dalam siri perlawanan bola sepak di kejohanan Piala Dunia 2026 apabila penyokong dan pasukan Jepun kerap memastikan kawasan tempat duduk mereka bersih dan bilik persalinan pemain juga ditinggalkan dalam keadaan yang kemas dan tiada sampah. Hal ini membuktikan ketinggian sifat bertanggungjawab rakyat jepun terhadap apa yang mereka lalui sepanjang hidup. 

Korea Selatan pula memberikan pengajaran yang sedikit berbeza. Negara itu pernah berhadapan dengan pelbagai skandal rasuah dan penyalahgunaan kuasa sepanjang proses pembangunan ekonominya.

Namun, melalui reformasi institusi yang berterusan, pengukuhan mekanisme semak dan imbang serta peningkatan kesedaran rakyat, Korea Selatan berjaya memperkukuh sistem tadbir urusnya.

Rajah 2: Amalan Terbaik Global Sebagai Rujukan Pembudayaan Integriti (Korea)

Apa yang menarik ialah rakyat Korea Selatan menunjukkan toleransi yang rendah terhadap salah guna kuasa. Tekanan masyarakat terhadap ketelusan dan akauntabiliti menjadikan pemimpin politik dan institusi awam sentiasa berada di bawah penelitian rakyat.

Budaya inilah yang membantu memperkukuh integriti institusi dan meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap sistem negara. Senario peletakan jawatan oleh pemimpin politik di Korea sudah dilihat biasa apabila mereka baru disyaki atau didakwa menyalahgunakan kuasa, rasuah dan sebagainya. 

Pengajaran integriti dua negara

Daripada pengalaman Jepun dan Korea Selatan, terdapat satu pengajaran yang sangat penting bahawa integriti bukan sekadar nilai moral yang bersifat peribadi, tetapi merupakan modal sosial dan aset strategik negara. 

Apabila nilai integriti tinggi, kepercayaan rakyat meningkat. Apabila kepercayaan meningkat, pelaburan menjadi lebih mudah, urusan pentadbiran menjadi lebih cekap dan pembangunan negara dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Sebaliknya, apabila integriti merosot, kesannya bukan hanya dalam bentuk kerugian kewangan akibat rasuah. Ia turut menghakis keyakinan rakyat terhadap institusi, melemahkan perpaduan sosial dan menjejaskan reputasi negara di mata dunia. Dalam jangka panjang, kerosakan terhadap kepercayaan awam sering kali lebih sukar dipulihkan berbanding kerugian material.

Misalnya pada tahun 2025, terdapat pendedahan yang eksklusif oleh SPRM berkaitan dengan isu integriti selain kes 1MDB iaitu siasatan rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob yang membabitkan rampasan pelbagai mata wang bernilai lebih RM169 juta dan 16 kilogram jongkong emas dari sebuah rumah selamat.

Selain itu, operasi SPRM juga tertumpu kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia serta Jabatan Imigresen dengan beberapa siri serbuan dilakukan di pintu masuk utama negara, depoh penyimpanan dan pejabat operasi kastam di beberapa negeri.

Kemudian, Op Rentas bagi membanteras rasuah berkaitan counter setting dengan operasi besar-besaran di KLIA berjaya membongkar ketirisan di pintu masuk negara melibatkan sindiket yang membenarkan kemasukan warga asing tanpa melalui pemeriksaan penuh dan banyak lagi. 

Pembudayaan integriti tidak boleh bergantung kepada penguatkuasaan undang-undang semata-mata. Undang-undang mampu menghukum pelaku, tetapi tidak mampu membentuk watak. Pembentukan integriti memerlukan pendidikan, keteladanan dan pembiasaan yang berterusan sejak kecil lagi. 

Kesimpulan: Budayakan integriti

Dalam kehidupan seharian, rakyat boleh memainkan peranan yang besar melalui tindakan membudayakan integriti. Berlaku jujur dalam urusan pekerjaan, tidak menipu, tidak menyalahgunakan kemudahan awam dan melaksanakan tugas dengan penuh amanah merupakan manifestasi integriti yang sebenar.

Selain itu, masyarakat perlu berani menolak budaya yang menormalisasikan salah laku. Sikap “semua orang buat” atau ini perkara biasa” sering menjadi pintu masuk kepada pelbagai bentuk pelanggaran etika yang akhirnya merosakkan sistem secara keseluruhan. Perkara yang salah tetap salah walaupun dilakukan oleh ramai orang.

Lebih penting lagi, generasi muda perlu dididik melalui contoh dan teladan. Anak-anak tidak hanya belajar melalui nasihat, tetapi melalui apa yang mereka lihat dalam kehidupan harian. Integriti yang diamalkan oleh ibu bapa, guru, pemimpin masyarakat dan penjawat awam akan membentuk budaya yang diwarisi oleh generasi seterusnya.

Sesungguhnya, integriti bukan sekadar agenda antirasuah atau slogan pentadbiran. Ia adalah budaya asas kepada pembinaan negara yang maju, berdaya tahan dan dihormati dunia. Jepun dan Korea Selatan membuktikan bahawa kemajuan yang sebenar bermula daripada pembentukan karakter rakyat dan kekuatan institusi.

Akhirnya, negara yang hebat bukanlah negara yang mempunyai undang-undang paling banyak atau hukuman paling berat. Sebaliknya, negara yang hebat ialah negara yang rakyatnya memilih untuk melakukan perkara yang betul walaupun tiada siapa yang melihat. Itulah hakikat integriti yang sebenar dan itulah asas kepada pembinaan sebuah negara yang bermaruah, dipercayai dan berjaya.

Prof. Dr Hanim Salleh
Ketua Kluster Kepimpinan
JK Agenda Nasional
Pertubuhan IKRAM Malaysia

Rujukan 

  1. Strategi Pembudayaan Integriti Nasional
  2. RTM – SPRM bongkar kes berprofil tinggi

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia