Peristiwa Hijrah sering kali dimaknakan sebagai perpindahan fizikal baginda Nabi Muhammad SAW dan para sahabat dari kota Makkah ke Madinah.
Namun, dalam konteks dunia moden hari ini, mafhum Hijrah menuntut anjakan paradigma yang lebih besar iaitu penghijrahan jiwa, pemikiran dan sistem kehidupan daripada belenggu jahiliah moden menuju keredaan Allah SWT.
Salah satu aspek Hijrah yang paling kritikal pada hari ini ialah penghijrahan ekonomi dan penyucian harta.
Di sinilah terletaknya titik pertemuan antara akidah yang sahih dan akhlak yang mulia, sebagaimana yang ditekankan dalam manhaj tarbiah AISAR (berteraskan pembinaan Akidah, Ibadah, Akhlak dan Rohani) terbitan IKRAM, yang bermatlamat melahirkan individu Muslim yang syumul (menyeluruh) kefahamannya.
Kesucian akidah: Memaknai erti “najis” maknawi
Firman Allah SWT dalam Surah at-Taubah, ayat 28:
“Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya orang-orang musyrik itu najis, maka janganlah mereka mendekati Masjidilharam sesudah tahun ini…”
Ayat ini membawa satu pengajaran yang sangat mendalam. Tafsiran para ulama menjelaskan bahawa maksud “najis” di sini bukanlah merujuk kepada kekotoran fizikal tubuh badan orang musyrik, sebaliknya ia adalah “najis maknawi” iaitu kesyirikan, kezaliman dan keburukan akhlak yang bersarang dalam diri mereka.
Dalam buku AISAR terbitan IKRAM, penyucian jiwa (tazkiyah an-Nafs) daripada sebarang bentuk syirik, kebergantungan kepada selain Allah dan sifat mazmumah adalah asas kepada pembinaan individu Muslim.
Hari ini, umat Islam perlu berhijrah daripada minda yang diselaputi “najis” materialisme dan sekularisme kepada minda yang meletakkan tauhid sebagai kompas kehidupan.
Kebimbangan ekonomi vs keyakinan kepada rezeki Allah
Rentetan daripada larangan orang musyrik memasuki Masjidilharam pada tahun kesembilan Hijrah, timbul keresahan dalam kalangan sebahagian umat Islam pada waktu itu.
Mereka bimbang ekonomi Makkah akan merudum dan perniagaan mereka akan terputus memandangkan orang musyrik merupakan rakan dagang utama yang membawa masuk bekalan makanan dan barang dagangan.
Namun, Allah SWT terus memujuk hati orang beriman dengan sambungan ayat tersebut:
“Dan jika kamu khuatir menjadi miskin, maka Allah nanti akan memberimu kekayaan daripada kurnia-Nya, jika Dia menghendaki…”
Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhayli dalam Tafsir al-Wajiz merekodkan bahawa Allah menunaikan janji-Nya dengan menurunkan hujan, menyuburkan tanaman dan membuka pintu rezeki yang lebih luas buat umat Islam.
Konteks ini sangat relevan dengan situasi kempen boikot terhadap syarikat-syarikat yang menyokong kekejaman Zionis di Palestin baru-baru ini. Ramai yang skeptikal dan bimbang, “Jika kita boikot, bagaimana dengan ekonomi negara? Bagaimana dengan nasib pekerja tempatan?” Di sinilah perlunya “hijrah keyakinan”.
Kita perlu yakin bahawa rezeki itu di tangan Allah. Boikot yang berprinsip telah membuka mata masyarakat untuk menyokong produk lokal dan industri halal tempatan, sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi fardu kifayah yang selama ini dipandang sepi.
Fiqh muamalat rahmatan lil ‘alamin: Berjual beli dengan orang bukan Islam
Walaupun Islam melarang orang musyrik memasuki Tanah Haram Makkah atas faktor kesucian tempat tersebut, Islam tidak pernah memutuskan hubungan kemanusiaan dan ekonomi dengan masyarakat bukan Islam.
Islam bahkan membenarkan umatnya bermuamalah dan berjual beli dengan orang-orang bukan Islam selagi mana ia menepati rukun dan syarat kontrak yang jelas, serta melibatkan barang yang halal dan bermanfaat.
Sejarah membuktikan Rasulullah SAW sendiri pernah membeli makanan daripada seorang Yahudi secara hutang dan mencagarkan baju besi baginda. (HR Muslim, 1603)
Imam Nawawi turut menegaskan bahawa keharusan ini adalah disepakati, kecuali dalam hal-hal yang membantu menegakkan syiar agama mereka atau memudaratkan Islam (seperti menjual senjata kepada musuh).
Hal ini selari dengan wawasan IKRAM untuk membina negara rahmah. Umat Islam di Malaysia yang hidup dalam masyarakat majmuk harus menonjolkan akhlak matinah (akhlak yang teguh) dalam perniagaan.
Kita berurus niaga dengan rakan kongsi daripada pelbagai bangsa dan agama, namun kita tetap berpegang teguh pada prinsip syarak; tiada penipuan, tiada manipulasi timbangan dan sentiasa menjaga profesionalisme.
Barah harta haram dan implikasinya terhadap individu dan negara
Perkara yang paling meruntun jiwa dalam realiti hari ini adalah keruntuhan integriti. Harta haram yang merangkumi wang rasuah, pecah amanah, hasil rompakan siber (scam), perjudian dan transaksi riba semakin menular dan dianggap normal oleh sesetengah pihak.
Perbuatan tersebut mengingatkan kita dengan amaran keras daripada Baginda Nabi SAW. Harta haram bukan sahaja menghancurkan keberkatan di dunia, malah membawa padah di akhirat.
Daripada Kaab bin Ujrah r.a. katanya, Rasulullah SAW bersabda: Tidaklah daging manusia tumbuh daripada barang yang haram kecuali neraka lebih berhak atasnya. (HR Tirmizi, 614)
Selain itu, doa-doa tidak diterima oleh Allah SWT. Bagaimana Allah ingin menolong umat Islam yang ditindas jika tangan-tangan yang menadah doa itu kotor dengan hasil rasuah dan riba?
Tambahan pula, zakat dan sedekah turut ditolak seperti mana hadis Nabi SAW riwayat Abu Dawud yang dengan jelas menyatakan bahawa amalan bersedekah, infak atau membina masjid menggunakan wang haram tidak bernilai di sisi Allah, malah pelakunya dicampakkan ke neraka.
Penjelasan ini menolak fahaman “Robin Hood” yang mencuri, menipu, atau merasuah kononnya untuk disedekahkan kepada madrasah atau anak yatim.
Saban hari, kita dihidangkan dengan berita penahanan sindiket Macau Scam, pembongkaran kartel monopoli projek kerajaan dan kes-kes rasuah (suapan) dalam kalangan penjawat awam serta korporat oleh pihak SPRM.
Terdapat juga peningkatan mendadak keterlibatan anak muda dalam judi dalam talian (online gambling) dan pinjaman ceti haram (Ah Long) akibat tekanan ekonomi kos sara hidup.
Kehancuran sesebuah negara bermula apabila sistem kewangannya dicemari oleh riba dan rasuah. Rasulullah SAW memberi amaran :
“Apabila telah marak perzinaan dan amalan ribawi di suatu negeri, maka sungguh penduduk negeri tersebut telah menghalalkan diri mereka untuk diazab oleh Allah.” (HR al-Hakim, 2198)
Membaca helaian-helaian peringatan daripada nas al-Quran dan hadis ini seharusnya membuahkan satu keinsafan. Penghayatan beragama yang ditekankan dalam buku AISAR bukanlah sekadar di tikar sejadah, tetapi mesti diterjemahkan di meja-meja pejabat, di medan perniagaan dan di parlimen.
Kita menuntut satu pusingan “Hijrah” yang menyeluruh:
- Hijrah Minda: Daripada berasa sempit dan bergantung kepada manusia, kepada keyakinan (tawakal) yang mutlak bahawa Allah adalah ar-Razzaq (Maha Pemberi Rezeki).
- Hijrah Sistem: Daripada menyokong ekosistem ekonomi kapitalis yang berpaksikan penindasan dan riba, kepada menyokong perniagaan patuh syariah yang halal dan toyyiban.
- Hijrah Peribadi: Membebaskan diri dan keluarga secara total daripada disuap dengan walau satu sen harta haram. Jika terdapat harta syubhah atau haram dalam simpanan kita, ia wajib dibersihkan dengan disalurkan kepada fakir miskin atau kemaslahatan awam, bukan digunakan untuk manfaat peribadi.
Marilah kita menjadi ejen perubahan (musleh) yang membawa rahmat kepada seluruh alam. Biarlah kita hidup sederhana dengan harta yang sedikit tetapi penuh barakah, berbanding harta yang menggunung namun muflis di mahsyar kelak. Semoga hijrah kita sentiasa diperbaharu, lillahi ta’ala.
Dr. Wan Mohd Al Faizee Wan Ab Rahaman (SRFP)
Koordinator MBA & MIBF
Arshad Ayub Graduate Business School
UiTM Shah Alam




