Himpunan Gerakan Islam Malaysia (HIKAM) menyokong penuh usaha kerajaan Malaysia untuk membina sebuah sekolah, hospital dan masjid di Gaza bagi membantu meringankan penderitaan yang ditanggung penduduk di sana.
HIKAM yakin bahawa usaha tersebut akan dapat direalisasikan dengan menggembleng sinergi dan kerjasama semua pihak, termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC), badan bukan kerajaan (NGO), sektor korporat dan swasta serta seluruh rakyat Malaysia.
HIKAM juga bersedia untuk terlibat sama dengan usaha pembangunan itu demi membina semula bumi Gaza yang musnah akibat peperangan yang berlaku sejak 7 Oktober 2023, yang mengorbankan lebih 46,000 nyawa, dan telah memulakan gencatan senjata dengan Israel pada 19 Januari lalu.
Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) PBB pada 28 Januari lalu melaporkan bahawa sebanyak 69% struktur bangunan di seluruh Gaza telah musnah.
Untuk pendidikan, sebanyak 88% iaitu 496 daripada 564 buah sekolah di Gaza musnah dan memerlukan pembinaan semula sepenuhnya atau pemulihan besar, manakala 51 buah universiti musnah dan 57 telah rosak.
Bagi sektor kesihatan, badan PBB itu melaporkan bahawa sebanyak 50% iaitu 18 daripada 36 buah hospital di Gaza hanya dapat berfungsi sebahagian, manakala 11 buah hospital lapangan berfungsi, termasuk lapan (8) secara penuh dan 49 sebahagian.
Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Agama Palestin pula melaporkan bahawa sebanyak 815 buah masjid di Gaza telah musnah sepenuhnya dan 151 buah rosak sebahagian, manakala tiga gereja musnah.
Konflik ini adalah satu bentuk malapetaka yang memberi impak yang sangat besar kepada kehidupan rakyat Palestin di Gaza. Sudah pasti tragedi yang penuh tragis ini mendorong kita untuk terus membantu dan meringankan beban mereka atas sifat ihsan dan rasa kemanusiaan.
Bantuan yang ingin kita berikan adalah untuk membantu memulakan kehidupan yang bermaruah untuk rakyat Palestin. Bagaimanapun, HIKAM meyakini usaha ini sudah pasti tidak akan menjejaskan bantuan untuk rakyat Malaysia. Pelan pembangunan dan pemulihan ekonomi negara akan berterusan untuk memberi manfaat kepada rakyat Malaysia.
Dalam pada itu, HIKAM juga menyokong komitmen Malaysia dan negara-negara Kumpulan The Hague yang bersidang pada 31 Januari lalu dalam usaha menegakkan undang-undang antarabangsa, menangani ancaman terhadap Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dan mempertahankan hak rakyat Palestin.
Selain Malaysia, lapan negara yang turut bersama dalam Kumpulan The Hague ialah Belize, Bolivia, Colombia, Cuba, Honduras, Namibia, Senegal dan Afrika Selatan.
Dengan sokongan penuh rakyat Malaysia dan komitmen bersama di peringkat antarabangsa untuk membangunkan semula Gaza, ia melambangkan keprihatinan dan tanggungjawab moral serta tindakan solidariti kemanusiaan yang nyata dan berterusan terhadap wilayah Palestin itu.
Harapan HIKAM adalah agar usaha-usaha ini menjadi langkah awal yang memberi impak positif kepada keamanan, kemakmuran dan perlindungan bagi membina negara Palestin yang merdeka.
Himpunan Gerakan Islam Malaysia (HIKAM)
- Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH)
- Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
- Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
- Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN)
Sekretariat Himpunan Gerakan Islam Malaysia (HIKAM)
Azizuddin Ahmad
Setiausaha Agung WADAH
Shahrul Aman Mohd Saari
Setiausaha Agung IKRAM
Muhammad Aliemran Norasid
Setiausaha Agung ABIM
Mohd Sabbri Md Yudin
Setiausaha Agung HALUAN