SERDANG – Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) amat menghargai kerjasama Pusat Islam UPM dalam penganjuran Bicara Rahmah Islam (Siri 2) bertajuk “Membongkar Misteri – Ajaran Sesat dan Bahaya Taasub” yang berlangsung semalam.
“Kami mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Pengarah Pusat Islam UPM, Tn Zuhaimi Abdul Rahim A.M.P. serta kakitangan yang terlibat daripada peringkat perbincangan, perlaksanaan sehingga program selesai,” kata Dr. Mohd Faridz Ismail, Ketua Jabatan Pendidikan Masyarakat IKRAM.
Bicara kali ini menampilkan Ketua Institut Hadis dan Aqidah, Universiti Islam Selangor, Ustaz Dr. Mohamed Fairooz Mohamed Fathillah sebagai pembicara utama, yang diwawancara oleh hos versatil, Ustaz Azlan Shah Nabees Khan, seorang pendakwah dan salah seorang pengasas kepada ARBA Foundation.
Program anjuran IKRAM dengan kerjasama Pusat Islam UPM dan IKRAM Kawasan Serdang ini dihadiri seramai 65 orang yang turut dapat ditonton oleh ribuan secara langsung di media sosial seperti YouTube, Facebook dan TikTok.
Program Bicara Islam Rahmah Siri 2 ini mempunyai objektif untuk memberikan penerangan dan mendidik masyarakat agar berhati-hati dengan ajaran sesat dan akibat daripada budaya taasub.
Selain itu, masyarakat diberikan penerangan berkaitan ciri-ciri ajaran sesat yang sedang berlaku dalam masyarakat sekarang.
“Semoga kerjasama ini tetap diteruskan pada program-program yang akan datang agar tugas kita untuk mendidik dan mengislah masyarakat ke arah kefahaman Islam yang sahih serta amalan Islam yang benar dapat diamalkan,” ujar Dr Faridz.
Di samping penghargaan kepada pihak Pusat Islam UPM, Masjid UPM dan UPM secara amnya kerana memberikan peluang dan ruang kerjasama seperti ini, Jabatan Pendidikan Masyarakat IKRAM turut berterima kasih kepada keseluruhan kepimpinan IKRAM Serdang atas kerjasama yang telah diberikan.
Antara tetamu yang hadir dalam program ini Timbalan Yang Dipertua IKRAM Serdang, Tn Hasmin Hakim Hasbullah, AJK Kawasan Prof. Dato’ Dr. Mohd Ali Hassan, Ketua Wanita IKRAM Serdang Pn Aida Abd. Rahim, ahli-ahli IKRAM Serdang, ahli kariah Masjid UPM serta penduduk setempat.