Jika kita berbicara tentang kelangsungan hidup (survival), perubahan bukan sekadar satu pilihan, tetapi merupakan keperluan vital yang menentukan sama ada seseorang individu, masyarakat atau organisasi mampu terus bertahan dan relevan dalam menghadapi cabaran zaman.
Perubahan dalam bahasa yang mudah adalah resipi untuk menyesuaikan diri, bertindak balas secara bijak terhadap perubahan persekitaran serta membaiki diri secara berterusan untuk mengelakkan kemunduran atau kebantutan.
Sama ada sedar atau tidak, perubahan adalah respons semula jadi terhadap cabaran. Kehidupan manusia tidak pernah statik; ia sentiasa diwarnai oleh perubahan sosial, ekonomi, politik dan teknologi, malah dalam dirinya sendiri.
Tanpa perubahan, seseorang akan menjadi lemah dan tidak mampu menghadapi realiti baru yang muncul, sama ada permasalahan berskala kecil dalam isu kekeluargaan, kesihatan atau konflik hubungan ataupun perubahan dalam konteks yang lebih luas di peringkat dunia global.
Oleh itu, kemampuan untuk menyesuaikan minda, sikap dan tindakan adalah kunci kepada kelangsungan hidup yang lestari.
Bertuahnya makhluk bergelar manusia, Allah Taala mengurniakan akal yang berperanan untuk berfikir tentang cara beradaptasi terhadap persekitaran yang sentiasa berubah. Dunia pada hari ini bukan sahaja bergerak, malah berlari pantas.
Justeru, konsep life-long learning dan pembangunan kendiri sangat berkait rapat dengan kelangsungan hidup. Warga dunia pada hari ini perlu sentiasa memperbaharu ilmu, kemahiran dan cara berfikir bagi memastikan mereka kekal relevan.
Tanpa pembaharuan dan perubahan, seseorang mudah menjadi usang (obsolete), bukan sahaja dari sudut kerjaya, malah dari segi peranan sosial dalam keluarga dan masyarakat.
Mendakap ketidaksempurnaan diri
Persoalan ini amat dekat dengan inti pati buku terbaru saya iaitu Tidak Perlu Sempurna, Hidup Seadanya. Saya tidak menjawab soalan ini secara langsung dalam buku tersebut, tetapi cuba mengajak pembaca untuk memerhati diri dan kehidupan melalui gaya penulisan reflektif dan pengalaman–pengalaman yang dikongsi, lalu pembaca akan menemui jawapan secara halus.
Salah satu sebab utama mengapa perubahan terasa sukar adalah kerana kita terlalu menekan diri untuk menjadi “sempurna” dalam tempoh yang singkat.
Kita meletakkan harapan yang tinggi untuk berubah sepenuhnya, tanpa menyedari bahawa perubahan adalah proses yang perlahan dan tidak linear. Maka, adalah penting untuk difahami bahawa kesukaran berubah bukan tanda kegagalan, tetapi satu fasa dalam pertumbuhan diri yang wajar dihormati dan diterima.
Apabila kita melihat kelemahan diri dengan rasa benci atau malu, kita sebenarnya sedang menolak asas yang sepatutnya menjadi tapak perubahan.
Jadi, kunci utama untuk berubah ialah mengakui kelemahan diri dan mendakap kekurangan tersebut dengan hati terbuka. Ini bermakna, berdamai dengan ketidaksempurnaan adalah titik mula untuk berubah, bukan pengakhiran sebuah usaha ke arah yang lebih baik.
Bilakah masa terbaik untuk berubah?
Kehidupan manusia dibingkaikan dengan satu jangka masa yang telah ditentukan Allah Taala. Masa, yang juga makhluk Allah, mempunyai keistimewaan dan penghormatannya yang tersendiri, hinggakan ada satu surah dalam al-Quran yang dinamakan bersempena kepentingan masa.
Melakukan perubahan, walau sebesar zarah, jika ditujukan kepada yang lebih baik, akan menjadi satu amal dan menatijahkan pahala dan keberkatan.
Mari kita renungi sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas r.a., bahawa Rasulullah SAW bersabda:
اغْتَنِمْ خَمْسًا قَبْلَ خَمْسٍ: شَبَابَكَ قَبْلَ هِرَمِكَ، وَصِحَّتَكَ قَبْلَ سَقَمِكَ، وَغِنَاءَكَ قَبْلَ فَقْرِكَ، وَفَرَاغَكَ قَبْلَ شُغْلِكَ، وَحَيَاتَكَ قَبْلَ مَوْتِكَ
“Gunakanlah dengan baik lima perkara sebelum datang lima (yang lain): Masa mudamu sebelum datang masa tuamu, sihatmu sebelum datang sakitmu, kayamu sebelum datang fakirmu, waktu lapangmu sebelum datang waktu sibukmu dan hidupmu sebelum datang matimu.”
Hadis ini mengajar kita tentang kepentingan “urgency” (kesegeraan) dalam kehidupan seorang Muslim. Masa tidak akan menunggu kita. Jika kita ingin membuat kebaikan, lakukan segera! Begitu juga halnya jika kita ingin berubah ke arah yang lebih baik, jangan menunggu-nunggu, sebaliknya mulakanlah dengan hikmah!
Bagaimana mahu bermula?
Ramai orang pada hari ini suka menuding jari kepada orang lain dalam kebanyakan hal. Kadang-kadang benar juga pepatah sinis warisan Melayu, “gajah depan mata tak nampak”.
Peribahasa ini adalah peringatan agar kita lebih peka terhadap diri sendiri dan masalah yang ada di hadapan mata sebelum menuding jari pada kesalahan orang lain. Akur atau tidak, mengubah orang lain adalah berpuluh kali ganda lebih susah daripada mengubah diri sendiri.
Perubahan diri adalah satu proses yang bersifat dalaman, perlahan dan berteraskan kesedaran jiwa. Perubahan diri bermula dengan menerima diri seadanya, iaitu perubahan perlu bermula dengan penerimaan, bukan penolakan diri.
Kita tidak boleh berubah dengan baik jika kita membenci siapa diri kita sekarang. Benci kepada diri akan memerangkap kita dalam masa yang statik dan jumud serta tidak akan ke mana-mana.
Perubahan harus bermula dengan yang kecil. Jika ingin berubah, jangan terbeban dengan perubahan besar secara drastik. Perubahan yang kecil tetapi konsisten seperti mengubah cara berfikir, memaafkan diri sendiri atau mengubah cara melihat ujian dianggap lebih realistik dan berkesan.
Mulakan dengan mengubah cara berfikir dan merespons terhadap apa yang berlaku di depan mata. Jangan terlalu fikirkan masalah, sebaliknya berusahalah mencari jalan bagaimana cara ingin menyelesaikannya.
Sentiasa melakukan refleksi
Berfikir secara reflektif bukanlah perkara baru dalam hidup umat Islam. Kita telah diajar tentang kepentingan untuk bermuhasabah.
Umat Islam dianjurkan agar sentiasa mengambil ibrah, berfikir dan mengambil pengajaran daripada apa yang dilalui dan dialami serta dilihat dalam hidup. Proses ini akan membantu mengenal punca kelemahan dan membina kekuatan baru. Itulah resepi kepada perubahan.
Tidak dilupakan, dalam melakukan perubahan, kekuatan spiritual dan pergantungan yang utuh kepada Allah Taala sangatlah penting. Kita tidak dapat berubah dengan sendiri.
Sematkan keikhlasan pada setiap usaha untuk berubah, syukur atas kesedaran dan kekuatan yang Allah berikan untuk berubah, sabar sudah pasti perlu mengiringi perubahan diri, dan akhirnya reda dan rasa puas dengan usaha akan menerbitkan rasa semangat dan kelangsungan untuk sentiasa menjadi lebih baik.
Maknai hidup dengan perubahan berterusan
Perubahan yang mendasar kepada ilmu dan pengetahuan yang benar ialah perubahan yang dituntut. Rujuklah kepada ilmu panduan kehidupan yang benar bersumberkan wahyu dan perbincangan ulama yang asli. Jangan ditinggalkan bahan bacaan yang berat mahupun ringan tentang agama dan syariah yang akan memandu kita dalam setiap sendi kehidupan.
Bacaan yang mudah dan ringkas tetapi penuh makna seperti yang terkandung dalam buku AISAR terbitan Jabatan Pendidikan Masyarakat IKRAM adalah satu pemula yang baik untuk kalian yang ingin menyegarkan ilmu berkaitan agama dan kehidupan.
Dengan itu, perubahan yang dibuat akan menjadikan hidup kita lebih bermakna. Seperti kata Hamka: “Hidup hanya sekali, justeru biarlah bererti.” Minda yang sedar tentang kepentingan melakukan perubahan ke arah lebih baik akan menjadikan seseorang itu bersikap progresif dan dinamik.
Individu yang progresif akan memaksimumkan potensi dan masa yang ada dalam hidupnya. Mereka yang dinamik pula tidak akan memerangkap diri dengan masalah, apalagi jika berpunca daripada persepsi diri sendiri yang tidak berasas.
Dr Hamidah Mat
Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Open university Malaysia (OUM)