Menurut beliau, sikap-sikap tersebut akan banyak mengasuh kita berfikir panjang, bersabar mendepani kesulitan, berdiri teguh di tengah-tengah medan dan berhati-hati dalam membuat keputusan.
“Itu adalah sebahagian daripada hasil tarbiah medan, kesemuanya merupakan kualiti-kualiti yang diperlukan barisan kepimpinan ummah bagi menjana kejayaan pada masa hadapan,” jelas beliau semasa berucap dalam Perhimpunan Ahli Teras (PAT) IKRAM 2015 pada Sabtu lalu.
Tambahnya, usaha-usaha yang sedang dilakukan bagi memacu IKRAM maju kehadapan dan membangun keupayaannya untuk menggalas misi perjuangan akan sentiasa berhadapan dengan pelbagai cabaran.
“Cabaran terbesar datang daripada dalam diri kita sendiri, jika ia dapat diatasi, cabaran-cabaran yang lain menjadi mudah untuk diatasi,” kata beliau.
Lantaran itu, katanya lagi, sebahagian daripada tuntutan Islam yang paling besar ialah mengasuh diri dengan sifat-sifat dan akhlak-akhlak yang mulia, mengikis sifat-sifat dan akhlak yang keji terutamanya yang berkaitan dengan akhlak-aklak batin yang tersembunyi dalam lubuk hati kita.
“Di sinilah letaknya kepentingan tarbiah diri, tazkiah al-nufus (penyucian jiwa), semua kita dituntut Allah dan Rasul-Nya mengurus urusan yang amat penting ini, yang akan menentukan jatuh bangunnya seseorang manusia, jatuh bangunnya sesebuah perjuangan,” tegas beliau.
Dr Parid turut menggariskan cabaran-cabaran dari dalam diri antaranya komitmen yang merudum, iman yang cedera dan malap serta sikap bertangguh yang tidak menjadi.
Barisan Jawatankuasa Pusat (JKP) IKRAM yang hadir PAT 2015
Cabaran dari dalam negara antaranya ialah ummah yang hilang ingatan, generasi yang terpedaya dengan agenda musuh, pemerintah yang sibuk mempertahan kuasa dan suasana negara yang tidak stabil sementara cabaran dari luar negara ialah persekitaran yang tidak aman, menzalimi umat dan campur tangan kuasa luar.
“Kehidupan ini sebenarnya ujian, fitan (fitnah-fitnah), penuh dengan cabaran, berbagai-bagai, lebih tinggi kualiti seseorang manusia itu, lebih besar cabarannya,” jelasnya lagi.
Lantaran itulah, tambah beliau, cabaran-cabaran yang dihadapi para Nabi lebih besar daripada apa yang dihadapi manusia lain dan dalam kalangan mereka, cabaran yang dihadapi oleh Rasulullah SAW merupakan yang paling getir.
Menurut beliau, golongan duat zaman kini pasti akan berhadapan dengan ujian-ujian besar dalam usaha-usaha kita memperbaharui kembali kehidupan ummah terhadap Islam dengan segala dimensi-dimensinya sesudah sekian lama dihambat musuh, menjauhkan diri dan kehidupan masing-masing dari bimbingan Islam.
“Sudah pasti ia akan menuntut daripada kita pengorbanan yang amat besar,” ujar Dr Parid.
Beliau juga menggariskan unjuran-unjuran kepimpinan umat bagi mendepani cabaran-cabaran masa hadapan iaitu:
- Menggerakkan amal dakwah menerusi pendekatan aman menerusi wadah yang memiliki legitimasi.
- Memperkuat arus kebebasan, perkembangan demokrasi dalam negara.
- Membangun hubungan yang baik antara masyarakat Muslim dan masyarakat non-Muslim dalam negara yang penduduknya pelbagai bangsa dan agama berasaskan pendekatan fiqh kewarganegaraan, mendorong integrasi sosial sesama penduduknya.
- Memperluas daerah amal dan kegiatan dakwah ke seluruh wilayah negara-negara di mana umat Islam di dalamnya merupakan kumpulan minoriti.
- Menghalang gerakan pemisahan wilayah oleh umat Islam dalam negara, sama ada penduduk Muslimnya merupakan kumpulan minoriti atau majoriti.
- Membangunkan tapak politik umat yang kuat dalam negara-negara yang majoriti penduduknya Muslim.