Bersatu Tenaga Lakukan Perubahan

Alhamdulillah, dengan limpah kurniaan-Nya, pada tarikh hari ini, 16 September, 54 tahun yang lalu, wujudlah negara kita Malaysia sebagai sebuah negara yang merdeka, berdaulat dan aman makmur, dihiasi dengan pelbagai bangsa di dalamnya.

Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman Putra mengulangi prinsip-prinsip yang pernah beliau ungkapkan dalam Pemasyhuran Kemerdekaan yang telah dilaksanakan dengan penuh gilang-gemilang di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur, pada 31 Ogos 1957, bahawa negara ini…

“…dengan limpah rahmat Allah Subhanahu Wa Ta’ala akan kekal menjadi sebuah negara yang merdeka dan berdaulat serta berdasarkan kebebasan dan keadilan dan sentiasa menjaga dan mengutamakan kesejahteraan dan kesentosaan rakyatnya dan mengekalkan keamanan antara segala bangsa.”

Tentunya bukan negara sahaja yang perlu aman, tetapi rakyatnya juga perlu sejahtera. Dan kitalah yang memilih serta menentukan untuk hidup dalam keadaan bersaudara lagi harmoni. Marilah kita sebagai warga Malaysia hidup bersama dalam keadaan toleransi, rahmah dan damai. Marilah kita kekalkan tradisi ini untuk kebahagiaan generasi kita dan akan datang.

Sejak 31 Ogos 1957, negara kita telah mencapai status sebuah negara yang merdeka dan berdaulat. Pada tahun 1963 pula, bertepatan dengan tarikh hari ini iaitu 16 September, negara Malaysia yang terdiri daripada Tanah Melayu Semenanjung, Sabah dan Sarawak diisytiharkan.

Realiti kemerdekaan sesebuah negara dan masyarakat ialah bebasnya mereka daripada cengkaman-cengkaman kehidupan yang membelenggu pilihan dan kebebasan mereka.

Kewujudan masyarakat yang berbilang bangsa, etnik dan agama menjadikan negara kita sangat unik. Justeru, kitalah yang perlu memelihara keunikan dan kedamaian tersebut agar tidak tercemar dengan sebarang anasir yang merosakkan, apatah lagi dengan unsur-unsur jelik yang menyalahi norma agama, budaya dan kesusilaan.

Sebagai warganegara Malaysia janganlah kita ditindas, difitnah, diugut, dikecam, dicerca, dipecahbelahkan dengan perbezaan bangsa dan dimiskinkan dengan hak-hak kewarganegaraan yang telah dijamin suatu perjanjian kenegaraan atau ‘aqad ad-daulah iaitu Perlembagaan Persekutuan dalam sebuah negara demokrasi.

Sebagai sebuah pertubuhan Islam yang prihatin, Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) menginginkan kebaikan untuk rakyat dan negara Malaysia yang sama-sama kita cintai ini.

Bersempena dengan sambutan ulang tahun Hari Malaysia yang ke-54 ini, IKRAM berharap agar semua pihak dapat memperbaharui tekad dan melaksanakan kewajipan sebagai warganegara untuk melakukan perubahan ke arah yang lebih baik, menjadikan Malaysia sebuah negara Baldatun Tayyibatun Warabbun Ghafur iaitu negeri yang baik dan mendapat keampunan Allah SWT.

Baldatun Tayyibatun Warabbun Ghafur adalah sebuah negeri yang subur dan makmur, adil lagi aman, yang berhak akan mendapat haknya, yang bertanggungjawab akan melaksanakan kewajipannya dan yang berbuat baik akan mendapat anugerah sebesar kebaikannya. Kemakmuran begitu melata hinggakan pada waktu itu tiada lagi keganasan, kezaliman, ketidakadilan dan kejahatan.

Sebagaimana yang dimaklumi, kita semakin hampir kepada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) negara ini, walaupun tarikh sebenar belum diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abd Razak.

Sebagai rakyat Malaysia, kita mestilah melaksanakan tanggungjawab memilih pemimpin dengan penuh sedar dan bijak. Pilihlah pemimpin yang terbaik untuk memimpin negara ini sebagaimana kehendak Allah dan Rasul-Nya.

Kita harus lebih berhati-hati dalam menentukan pemimpin di kawasan DUN dan Parlimen kerana apa pun yang mereka lakukan, rakyat akan merasai kesannya.

Jika baik kepimpinannya, maka kita sebagai rakyat Malaysia akan mengecap nikmatnya. Sebaliknya, jika buruk kepimpinannya, maka kita pun akan merasai kerosakan dan kehancurannya.

Negara Malaysia dan seluruh warganya hendaklah bersatu tenaga mencurahkan idea dalam mencorakkan rupa bentuk Malaysia pada masa hadapan. Inilah tanah air yang akan kita wariskan kepada generasi mendatang.

Seluruh rakyat Malaysia harus bersatu meskipun kita berbeza latar belakang, status sosioekonomi dan fahaman politik. Jangan sekali-kali tunduk menyerah kepada sekam kebencian dan kecurigaan yang akhirnya akan mengheret kita ke lembah kebinasaan.

Bersama-samalah kita realisasikan negara Malaysia sebagai sebuah negara idaman, Baldatun Tayyibatun Warabbun Ghafur kerana ia merupakan cita-cita seluruh bangsa di dunia ini.

Hanya dengan usaha, kerja keras serta doa, dan tentunya dengan izin Allah SWT, impian dan harapan menuju Negara Rahmah ini akan dapat kita gapai bersama.

Selamat Hari Malaysia.

Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad
Presiden IKRAM

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia