Ramadan adalah peluang terbaik mencapai darjat takwa. Ia juga hadir sebagai latihan intensif bagi kita untuk memperbaiki akhlak dan membentuk budi pekerti yang mulia.
Allah SWT telah menjadikan saum (puasa) pada bulan Ramadan sebagai wasilah bagi para sha-imin (orang-orang yang berpuasa) untuk menjadi golongan mulia iaitu muttaqin (orang yang bertakwa).
Dalam rangka mencapai darjat takwa, ternyata ia mempunyai hubungan yang erat dengan keperluan menjaga lidah. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Ahzab ayat 70:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَقُولُوا قَوْلًا سَدِيدًا
“Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar.”
Begitu pentingnya menjaga lisan, sehingga Allah SWT meletakkan perintah untuk bertakwa seiring dengan perintah menjaga lisan (mengucapkan kata-kata yang baik).
Perintah Rasulullah SAW untuk menjaga lidah
Rasulullah SAW juga menekankan kepentingan menjaga lisan terutama pada bulan Ramadan. Baginda mengingatkan umatnya agar tidak hanya berpuasa daripada makanan dan minuman, tetapi juga berpuasa daripada perkataan dan perilaku buruk, sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadis:
مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّورِ وَالعَمَلَ بِهِ، فَلَيْسَ لِلَّهِ حَاجَةٌ فِي أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ
“Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan keji dan amalannya, maka Allah tidak berhajat pada seseorang yang meninggalkan makan dan minumnya”. (HR Bukhari)
Hadis ini menegaskan bahawa meninggalkan perkataan dan perbuatan yang buruk adalah sama pentingnya dengan meninggalkan makanan dan minuman.
Dalam hadis lain, Nabi SAW bersabda (maksudnya):
“Apabila (pada) hari seseorang antara kamu berpuasa, maka janganlah kamu berbicara kotor dan bertengkar (sambil berteriak). Jika seseorang menghinanya atau mengajaknya bertengkar, maka hendaklah dia mengatakan: “Aku sedang berpuasa.” (HR Muslim)
Teladan Zainab al-Jahsy dalam menjaga telinga
Sidang pembaca yang dikasihi, bagaimana pula dengan menjaga telinga? Mari kita renungkan bersama kisah berikut.
Pada tahun keenam hijrah, terjadi peristiwa Hadithul Ifki, iaitu fitnah besar (tuduhan zina) terhadap Aisyah r.a, isteri baginda Nabi Muhammad SAW. Sebahagian sahabat percaya akan fitnah tersebut dan khabar angin itu tersebar di seantero Madinah sehingga Nabi SAW turut gelisah.
Rasulullah SAW bertanyakan pandangan beberapa sahabat tentang perkara ini. Baginda juga meminta pandangan isterinya, Zainab al-Jahsy r.a. tentang khabar angin yang sedang hangat diperkatakan menimpa madunya itu. Menanggapi isu ini, Zainab al-Jahsy berkata:
يَا رَسُولَ اللَّهِ أَحْمِي سَمْعِي وَبَصَرِي وَاللَّهِ مَا عَلِمْتُ عَلَيْهَا إِلَّا خَيْرًا قَالَتْ وَهِيَ الَّتِي كَانَتْ تُسَامِينِي فَعَصَمَهَا اللَّهُ بِالْوَرَعِ
“Wahai Rasulullah, aku menjaga telinga dan mataku. Tidak aku tahu berkenaan Aisyah melainkan yang baik-baik sahaja. Dia memang sentiasa menyaingi aku akan tetapi Allah menjaganya dengan kewarakan yang ada padanya.”
Ungkapan tersebut merupakan teladan luar biasa yang dicontohkan oleh Zainab al-Jahsy. Jika dia menuruti emosi, mungkin dia boleh memberikan komentar yang negatif terhadap Aisyah r.a. kerana dia dan madunya Aisyah selalu bersaing dan saling cemburu dalam banyak perkara. Namun beliau memilih sebaliknya.
Begitulah selayaknya sikap seorang Muslim sejati. Iman dan akalnya mendahului nafsu dan emosinya. Kuncinya ada pada sikap mulia iaitu menjaga telinga daripada mendengar perbualan negatif dan fitnah yang tidak berasas serta gosip murahan yang hanya mempermainkan emosi dan membuang masa kita.
Golongan yang mendengar dengan lidah
Ketika peristiwa Hadithul Ifki ini terjadi, turun beberapa ayat al-Quran sebagai panduan rabbani untuk kita. Salah satunya ialah ayat ke-15 daripada Surah an-Nur:
إِذْ تَلَقَّوْنَهُ بِأَلْسِنَتِكُمْ وَتَقُولُونَ بِأَفْوَاهِكُم مَّا لَيْسَ لَكُم بِهِ عِلْمٌ وَتَحْسَبُونَهُ هَيِّنًا وَهُوَ عِندَ اللَّهِ عَظِيمٌ
“(Ingatlah) pada waktu kalian menerima berita bohong itu dari mulut ke mulut dan kalian katakan dengan mulut kalian apa yang tidak kalian ketahui sedikit juga, dan kalian menganggapnya suatu yang ringan saja, padahal ia pada sisi Allah adalah besar.”
Allah memulakan ayat ini dengan kalimah إِذ تَلَقَّونَهُ بِأَلسِنَتِكُم. Kalau diterjemahkan perkataan demi perkataan, ”Ingatlah semasa kalian menerima berita bohong itu dengan lisan kalian”, atau boleh dikatakan “mendengar berita dengan (lisan) lidah kalian”.
Mendengar dengan lidah? Bukankah manusia mendengar dengan telinga? Begitulah perumpamaan kita yang mendengar suatu berita, tetapi kemudian kita sampaikan kepada orang lain tanpa kita ketahui kebenarannya. Adakah kita termasuk dalam golongan ini?
Cukuplah peringatan Allah pada penggalan akhir ayat ini agar kita tidak memandang ringan perkara ini kerana di sisi Allah ia sangatlah besar.
Menyaring pendengaran agar mendapat hidayah
Oleh yang demikian, kita perlu berlatih memilih input yang masuk ke mata dan telinga kita. Jika kita sengaja mendedahkan diri kepada tontonan dan kandungan media sosial yang banyak perkataan kasar, kata-kata yang menghina, gosip murahan dan lain-lain, maka wajar sahaja lidah kita juga lebih mudah mengucapkan kata-kata yang negatif.
Sidang pembaca yang dimuliakan, saya akhiri tulisan ini dengan firman Allah SWT:
ٱلَّذِينَ يَسْتَمِعُونَ ٱلْقَوْلَ فَيَتَّبِعُونَ أَحْسَنَهُۥٓ ۚ أُو۟لَٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ هَدَىٰهُمُ ٱللَّهُ ۖ وَأُو۟لَٰٓئِكَ هُمْ أُو۟لُوا۟ ٱلْأَلْبَٰبِ
“(Orang) yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya (pada segi hukum agama), mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna.” (Surah az-Zumar: 18)
Indah sekali peringatan yang Allah SWT berikan kepada kita. Ciri-ciri orang yang mendapat hidayah dan berakal adalah mereka yang menyaring pendengaran mereka.
Mungkin mereka mendengar pelbagai jenis informasi dan berita, sama ada yang baik mahupun yang buruk. Akan tetapi, mereka hanya mengikuti yang sebaiknya sahaja daripada apa yang mereka dengar.
Pohonlah kepada Allah SWT agar kita semua diberikan kekuatan untuk menjaga telinga dan lisan kita sepanjang bulan ini. Semoga usaha ini membawa kita kepada Ramadan yang lebih sempurna.
Ustazah Sallawahiu Mohd Salleh
Ketua Wanita
Pertubuhan IKRAM Malaysia