Bengkel yang diadakan pada 24 dan 25 Mei di pejabat IKRAM Putrajaya itu melibatkan semua aspek dalam media iaitu kewartawanan, penulisan, fotografi, desain poster dan juga media sosial. Seramai 30 peserta yang hadir dibekalkan teknik-teknik berkesan dalam pelaksanaan media berupa teori dan praktikal. Ia telah dirasmikan oleh Pengerusi IKRAMedia, Hj Fadzil Salleh.
Sebanyak empat sesi dijalankan sepanjang bengkel dua hari ini, dengan hari pertama (Sabtu) membentangkan tajuk “Asas Kewartawanan” oleh Editor Perunding IKRAM Pusat, Prof Madya Mohd Saidy Ismail dan dibantu A Ralim M Yassen (Malaysia Harmoni), manakala sesi kedua, “Asas Fotografi Berkesan” disampaikan oleh Amir Farid Sabuddin, seorang arkitek di Jabatan Kerja Raya Malaysia, Kuala Lumpur.
Hari kedua (esok) akan menyaksikan pembentangan “Asas Desain Poster Digital yang Berkesan” oleh Syafiq Razak, pengamal media dari Johor Bahru, manakala sesi terakhir oleh Dr Nur Aisyah Zainordin atau lebih dikenali sebagai Muharikah dengan tajuk “Media Sosial: Bagaimana Memviral Mesej Secara Pantas dan Berkesan”.
IKRAM sememangnya mengambil langkah proaktif dalam penyampaian dakwah secara digital pada era globalisasi ini. Oleh yang demikian, IKRAMedia berusaha menerapkan nilai etika yang tinggi dalam penyampaian maklumat agar IKRAM dilihat sebagai jurubicara ummah dalam misi menegakkan al-haq.