KUALA LUMPUR – Satu kerjasama unik termeterai di mana setiap pembelian kenderaan di Chery Bangi, sebuah khemah bernilai RM1,500 akan didermakan untuk Projek Kelangsungan Kehidupan di Gaza di bawah Ops Ihsan.
Memorandum Persefahaman (MoU) kerjasama tersebut telah berlangsung antara Sekretariat Induk Ops Ihsan yang diwakili oleh Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) dan WH Oneplus Auto Sdn Bhd @ Chery Bangi pada Selasa, 2 Julai lalu.
MoU kerjasama ditandatangani oleh Ops Ihsan diwakili Pengerusi Sekretariat, Jismi Johari manakala WH Oneplus Auto Sdn Bhd diwakili Dato’ Wan Chew Khow.
Turut hadir meraikan majlis tandatangan MoU Pakej Kemanusiaan Chery Bangi itu ialah Setiausaha Agung IKRAM, Hj Shahrul Aman Mohd Saari yang merupakan Ketua Misi Keterlihatan Ops Ihsan.
Istimewanya melalui pakej ini, pembeli akan mendapat ganjaran tambahan yang meliputi jaminan tujuh tahun untuk enjin dan kotak gear, servis percuma selama dua tahun, cermin gelap percuma, dashcam percuma, tag RFID percuma, tangki petrol penuh, nombor plat kristal dan kotak hadiah misteri.
Pakej ini juga antara kolaborasi sokongan oleh Bank Rakyat dan Bank Muamalat dengan tawaran pembiayaan pada kadar yang sangat kompetitif.
Inisiatif Pakej Kemanusiaan Chery Bangi merupakan satu contoh kerjasama yang baik antara usahawan dan Ops Ihsan di mana sumbangan untuk bantuan kemanusiaan di Palestin dapat disebarluaskan.
Diharapkan inisiatif kemanusiaan sebegini dapat diperbanyakkan lagi dalam kalangan usahawan dan sektor korporat sebagai tanda solidariti kepada nasib saudara kita di Gaza, insya-Allah.