Pernahkah anda berjalan di suatu tempat tanpa tujuan yang jelas? Adakah anda pernah, pada suatu hari, bangun pagi dengan fikiran kosong, tiada perancangan yang jelas tentang apa yang bakal dilalui pada hari itu?
Situasi seperti di atas bukan perkara luar biasa bagi manusia yang normal. Sebenarnya, setiap hari adalah peluang yang baru bagi kita untuk melaluinya.
Sebuah “hari” yang diberikan menjadi ladang tanaman bagi seorang Muslim, sama ada ingin mengisi harinya dengan semaian benih kebaikan yang akan tumbuh sebagai amal kebaikan atau hanya satu jangka masa yang akan dijalani sebagai rutin dengan mengisi masa yang berlalu seperti hari sebelum-sebelumnya.
Lebih buruk lagi, sebuah hari dilalui dengan kosong begitu sahaja tanpa tujuan yang jelas.
Maqasid sebagai kompas kehidupan
Dalam keadaan beginilah, manusia perlukan sesuatu yang lestari sebagai panduan. Syariat Islam hadir sebagai pemandu kepada manusia untuk menjalani kehidupan. Syariat menjadikan kehidupan seorang manusia berbeza dengan yang lain pada sudut tujuan dan cara, bukan sahaja di dunia bahkan di akhirat.
Maqasid asy-syariah pula berperanan menerangkan matlamat di sebalik pensyariatan sesuatu panduan berupa hukum dan ketetapan. Justeru, bagi individu Muslim, kefahaman yang jelas tentang gagasan ini akan membantu mereka untuk memperbaiki persepsi dan memiIih jalan hidup yang tepat dengan tujuan penciptaan manusia di dunia.
Dalam keadaan beginilah maqasid asy-syariah hadir sebagai kompas. Maqasid asy-syariah bukan sekadar gagasan ilmu yang penting dalam pembinaan hukum yang diwacanakan oleh para ulama, bahkan ia dekat dengan kehidupan seorang Muslim yang faham akan agamanya.
Pada peringkat individu Muslim, kefahaman yang jelas tentang gagasan ini akan membantu mereka membina persepsi yang lebih matang tentang kehidupan dan dan menjalaninya dengan penuh makna selari dengan tujuan penciptaan makhluk.
Apa itu maqasid asy-syariah?
Sebelum kerancakan perkembangan dunia digital, maqasid asy-syariah merupakan topik eksklusif yang hanya dibincangkan dalam kelas-kelas pengajian di institut pengajian tinggi.
Namun, kini dalam dunia maklumat tanpa sempadan, ilmu ini semakin mudah disebarkan dan dihadam oleh orang awam. Hal ini menjadikan maqasid tidak lagi bersifat akademik semata-mata, tetapi dapat diaplikasikan dalam kehidupan seharian masyarakat umum.
Maqasid asy-syariah merujuk kepada lima tujuan utama syariat Islam diturunkan kepada kita. Pertama, menjaga agama (hifz ad-din) iaitu memastikan hubungan manusia dengan Allah SWT terpelihara melalui akidah yang benar, ibadah yang sahih dan akhlak yang luhur.
Kedua, menjaga nyawa (hifz an-nafs) dengan memberi perhatian kepada keselamatan, kesihatan dan maruah diri. Ketiga, menjaga akal (hifz al-‘aql) melalui ilmu pengetahuan dan menjauhi perkara yang merosakkan kewarasan akal seperti arak atau dadah.
Keempat, menjaga keturunan (hifz an-nasl) dengan memelihara institusi keluarga, kehormatan dan kesinambungan generasi. Kelima, menjaga harta (hifz al-mal) iaitu memastikan harta diperoleh dengan halal, diurus dengan berhemah dan dimanfaatkan untuk kebaikan semua.
Walaupun kelima-lima prinsip ini lahir daripada kerangka ilmu Islam, hakikatnya ia membawa kepentingan sejagat yang dapat dikongsi oleh seluruh manusia tanpa mengira agama atau bangsa mahupun negara.
Misalnya, menjaga nyawa bukan hanya nilai Islam, tetapi nilai kemanusiaan sejagat iaitu semua manusia menolak pembunuhan, penindasan dan pencabulan maruah.
Menjaga akal juga tidak terbatas kepada Muslim sahaja; pendidikan, kebebasan berfikir dan penolakan terhadap perkara yang merosakkan minda adalah kepentingan universal. Begitu juga halnya dengan menjaga keturunan, ia berkait rapat dengan kelestarian institusi keluarga yang merupakan asas tamadun manusia di mana-mana.
Dalam konteks dunia moden, menjaga harta boleh dilihat sejajar dengan isu-isu global seperti membanteras rasuah, mengurus sumber ekonomi dengan adil dan memastikan kekayaan diagihkan secara saksama.
Sementara itu, menjaga agama dalam erti luas boleh difahami sebagai menghormati hak setiap manusia untuk berpegang kepada keyakinan masing-masing dan mengamalkannya dengan aman tanpa diskriminasi.
Kepentingan ini juga bermaksud agama Islam mestilah dipertahankan apabila kehormatannya diceroboh atau kedudukan umat Islam tergugat.
Dalam hal ini, jelas terlihat dalam isu perjuangan rakyat Palestin, bukan sahaja disikapi sebagai isu agama mempertahankan Bait al-Muqaddis, tetapi ia adalah perjuangan kemanusiaan mempertahankan hak untuk kekal tinggal di tanah air berdaulat.
Inilah keindahan maqasid asy-syariah, ia bukan hanya kerangka hukum untuk Muslim, tetapi juga satu falsafah hidup yang menjunjung nilai kemanusiaan sejagat.
Ia membina jambatan antara ajaran Islam dengan keperluan dunia moden, menjadikan Islam relevan bukan sahaja kepada penganutnya tetapi juga sebagai sumbangan berharga untuk kesejahteraan seluruh umat manusia.
Membumikan maqasid dalam diri
Apabila seseorang Muslim memahami bahawa inilah lima prinsip besar yang menjadi teras syariat, mereka akan mampu menterjemahkan nilai-nilai maqasid dalam kehidupan.
Ajaran dan saranan yang berteraskan maqasid akan lebih mudah diaplikasikan dalam menentukan sikap dan tindak-tanduk dalam kehidupan seharian.
Sama ada dalam hal kecil seperti memilih makanan, berkongsi sesuatu di media sosial ataupun dalam keputusan besar seperti memilih kerjaya dan membina keluarga, semuanya boleh ditimbang dengan neraca maqasid.
Gagasan maqasid mengajar seorang Muslim untuk memikirkan kebaikan dan keburukan dalam tindakan. Soalan mudah yang boleh ditanya ialah adakah pilihan ini memberikan kebaikan kepada diri? Adakah ia mendatangkan maslahat kepada orang sekeliling atau sebaliknya membawa mudarat?
Misalnya, ketika seseorang ingin berkongsi sesuatu di media sosial, dia boleh bertanya: “Adakah perkongsian ini mendekatkan saya kepada kebaikan atau sekadar menimbulkan fitnah?”
Dengan menapis niat dan kesan, perkongsian itu boleh berubah daripada sekadar hiburan kosong kepada sesuatu yang mendidik atau menyebarkan manfaat.
Begitu juga halnya dalam hal pekerjaan. Seorang Muslim yang ditawarkan pekerjaan dengan gaji tinggi tetapi bidang kerjanya berkaitan dengan perkara yang tidak halal perlu menimbang dari perspektif maqasid.
Gaji lumayan mungkin membawa keselesaan sementara, tetapi ia tidak menjaga agama dan tidak membawa keberkatan dalam jangka panjang. Sebaliknya, memilih rezeki halal walaupun lebih sederhana akan memelihara maruah dan memberi ketenangan jiwa.
Dalam soal pembangunan diri contohnya, seseorang mestilah memikirkan tentang kemajuan diri secara holistik. Pembangunan diri yang seimbang pada sudut rohani, jasmani dan emosi mestilah berada dalam perhatian sepanjang hayat.
Selaras dengan maqasid asy-syariah, seorang Muslim mestilah menjadikan pendidikan dan pembangunan diri sebagai agenda yang berterusan.
Contoh lain dapat dilihat dalam mengurus harta. Seorang individu yang memilih untuk berbelanja secara berhemah, menabung dan bersedekah sedang mempraktikkan maqasid.
Keputusan ini bukan sahaja menjaga kepentingan dirinya, tetapi juga memberi maslahat kepada orang lain melalui amalan kebajikan.
Ringkasnya, setiap kali kita berhadapan dengan pilihan, maqasid asy-syariah mengingatkan kita untuk melihat lebih jauh daripada kepentingan sementara.
Ia membantu kita membuat keputusan yang bukan sahaja baik untuk diri sendiri, tetapi juga memberi kesan positif kepada keluarga, masyarakat dan kehidupan akhirat.
Syariah bukan hanya sekadar senarai hukum
Dengan kefahaman ini, seorang Muslim tidak lagi melihat hukum hanya sebagai senarai arahan dan larangan, tetapi sebagai panduan yang membawa hikmah dan kesejahteraan.
Maqasid asy-syariah akhirnya mengubah cara kita berfikir, cara memandang sesuatu dan cara membuat keputusan dalam kehidupan seharian.
Justeru, jadikanlah maqasid sebagai pembantu kita untuk melihat kehidupan bukan sekadar rutin, tetapi sebuah perjalanan yang punya arah dan makna.
Apabila maqasid asy-syariah menjadi kompas hidup, kita tidak hanya menjadi Muslim yang patuh, tetapi juga Muslim yang bijak, tenang dan membawa rahmat kepada sekelilingnya.
Prof Madya Dr Hamidah Mat
Dekan Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan
Open University Malaysia (OUM)




