Isnin 4 Jun 2012
Dakwah Masyarakat Majmuk
Slot Dakwah Dalam Masyarakat Majmuk bersama Cikgu Kamarul Zaman Noor Mohamed daripada Hidayah Centre bermula dengan membuka minda para peserta tentang kepentingan dakwah kepada masyarakat majmuk.
Beliau juga menerangkan punca-punca salah tanggapan orang bukan Islam terhadap Islam dan hujah-hujah bagi menangkis tanggapan tersebut. Antara punca salah tanggapan tersebut ialah peranan media, perbezaan budaya, serta fatwa yang dikeluarkan oleh mereka yang kurang pakar. Kelakuan umat Islam yang tidak mengikuti ajaran Islam dengan sebenar-benarnya juga menjadi punca.
Terdapat juga isu-isu lazim seperti isu wanita dalam Islam, isu masuk Islam masuk Melayu, juga isu tohmahan-tohmahan terhadap Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam menyebabkan mereka tidak mahu mendekati Islam. Umat Islam sebagai umat yang telah diberi hidayah dan memahami kebenaran-kebenaran di sebalik salah faham itu perlu memainkan peranan yang cukup besar dalam menyedarkan masyarakat akan hakikat Islam yang sebenar.
Selain itu, bagi persediaan para peserta yang akan menjalani dakwah jalanan pada sebelah petang nanti, beliau memberikan tips-tips dalam memulakan perbualan dengan non-Muslim. Amat penting bagi peserta menjaga adab dan akhlak mereka agar non-Muslim tersebut berasa senang untuk berbual. Beliau juga memberikan soalan-soalan untuk diajukan kepada non-Muslim bagi menilai tahap pemahaman mereka tentang Islam seterusnya membuka ruang bagi menerangkan Islam kepada mereka.
Street Dakwah
Selepas solat Zohor dan makan tengah hari, peserta bertolak ke Selayang Mall bagi menjalankan Street Dakwah dengan menaiki bas. Di Selayang Mall, peserta diberi kesempatan untuk bermain boling. Selepas solat Asar ditunaikan peserta dilepaskan untuk menjalankan ‘street dakwah’ secara berkumpulan. Peserta turut dibekalkan dengan buku ‘A Brief Illustrated Guide to Understanding Islam” serta beberapa brochure sebagai bekal dakwah untuk diedarkan.
Peserta memulakan tugas yang diamanahkan. Mencari sasaran untuk didekati bagi menerangkan tentang Islam. Semangat berkobar-kobar terpancar di mata setiap peserta. Namun seperti yang dimaklumi, dakwah itu bukan mudah, ramai yang menolak untuk didekati. Peserta meneruskan juga tugas mereka. Beberapa sasaran berpotensi berjaya dihampiri. Terpancar wajah kegembiraan kerana mereka dapat menerangkan kebenaran Islam kepada masyarakat.
Bersama Tokoh – Hj Syed Ibrahim Syed Noh
Pada malamnya, slot ‘Bersama Tokoh’ mengundang Naib Presiden Ikram, Hj Syed Ibrahim Syed Noh. Beliau menyampaikan tajuk ‘Menganalisis dan Memahami Isu Semasa’. Isu adalah pelancaran, debat atau pertikaian. Ia membawa kepentingan atau kebimbangan awam, ekonomi dan lain-lain.
Beliau menerangkan bagi membina kemahiran menganalisis dan memahami isu semasa, penggunaan akal perlulah selari dengan konsep yang digariskan oleh Islam. Selain itu, seseorang itu juga perlulah bersikap positif, berfikiran tenang dan mudah membuang perasaan ego namun tetap bersikap tegas serta sentiasa berfikir di luar kotak dalam menangani isu semasa.
Beliau juga mengingatkan peserta agar mengambil kira emosi dan perasaan orang lain dan sentiasa memikirkan alternatif yang lebih baik sebelum membuat keputusan. Idea juga mestilah global dan perlu ada perincian supaya kita tidak melencong dari landasan sebenar. Pemikiran perlu diakhiri dengan tindakan yang seharusnya mendatangkan kesan yang baik kepada orang lain. Syed Ibrahim turut mengajak peserta sebagai pemuda harapan negara, agar berfikiran secara kritis dan kreatif.
Selasa 5 Jun 2012
The Power Of Connections
Sebelah pagi, tajuk motivasi dibincangkan bertajuk “The power of connections” oleh Saudara Mohd Syamil Mohd Yusuff daripada team Raudhatus Sakinah Master Training & Consultancy (RSMTC). Beliau membicarakan bahawa seseorang yang mahu menjadi pendakwah hebat mestilah mempunyai ‘mind setting’ yang positif.
Beliau banyak memberikan tips berguna antaranya ‘Leaders touch a heart before they ask for a hand’ yang menerangkan keutamaan ‘connection’ hati ke hati dulu sebelum melakukan apa-apa saja. Beliau memberi contoh Rasullullah Sallallahu Alaihi Wasallam memukau hati-hati para sahabat dengan menjalinkan hubungan yang baik dengan mereka terlebih dahulu.
“Yang paling penting adalah, kita bawak semua ‘connection’ itu kepada yang Maha Agung! Yang Maha Besar! Yang Maha Bijaksana! Kerana tanpa Dia kita tak mampu nak buat sebarang ‘connection’ pun”, tegasnya.
Beliau juga menyentuh empat komponen dalam membina ‘connection’ iaitu membina hubungan mesra (rapport), kesedaran Sensori (sensory awareness), pemikiran penyudah (outcome thinking) dan perlakuan fleksibel (behavioural flexibility).
Peserta turut didedahkan dengan Raudhatus Sakinah, sebuah pusat sokongan dan perlindungan remaja belia puteri yang bermasalah untuk dididik dan ditarbiah supaya lebih mengenali Allah, menggalakkan qiyamullail dan ibadah-ibadah sunat yang lain. Mereka juga diajar untuk berdikari dengan memasak dengan sendiri serta kemahiran-kemahiran hidup yang lain. Mereka dididik dengan matlamat hidup yang sebenar supaya menjadi harapan bangsa dan juga harapan Islam.
Beberapa peserta MISI12 dipilih oleh para fasilitator RSMTC untuk membuat sesi simulasi bagaimana mengendalikan bermesyuarat untuk membincangkan tentang Minggu Orientasi Pelajar Baru, bagi menunjukkan seseorang yang bertanggungjawab hendaklah sentiasa bersedia dan mengawal emosi dalam sesuatu mesyuarat walaupun kadang-kadang rakan sekerja membuat kita marah. Lemparkan senyuman, jangan kedekut dengan senyuman. Paling penting, sebelum memulakan sesuatu mesyuarat, ketua mestilah membentangkan dulu “rules dan regulation” supaya ahli mesyuarat yang lain patuh dan mesyuarat berjalan dengan lancar.
Keindahan Bersama-Mu (KBM)
Pada malamnya pula, peserta bersama dengan slot Keindahan Bersama-Mu. Slot KBM membuatkan peserta untuk merasakan keindahan bersama Allah, keindahan bersama Rasul, keindahan bersama ibu bapa dan keindahan bersama sahabat seperjuangan. KBM ini diselang-seli dengan motivasi daripada para penceramah.
Tiba masanya untuk para peserta membersihkan hati dan dengan adanya slot yang berbentuk ruhi ini, para peserta lebih mendekatkan diri dengan-Nya. Peserta diingatkan tentang akhirat di mana mulut akan terkunci dan anggota yang lain akan bersuara.
Peserta diseru supaya mesti sentiasa muhasabah kembali dosa-dosa yang kita lakukan selama ini. Kadang-kadang manusia sibuk mengejar cinta sesama sendiri sampai kita lupa untuk merebut cinta Yang Maha Esa. Sesi ini banyak mengumpulkan air mata para peserta, mereka diberi ruang untuk mengenang kembali amalan-amalan yang telah mereka lakukan, kerana dengan amalan dan belas kasihan Allah yang menentukan di mana pengakhiran manusia, Syurga nan Indah atau Neraka nan menakutkan.
Rabu 6 Jun 2012 – Dakwah Fardiyyah, Menjahit dan Dakwah Kampus
Sebelah pagi, tajuk Dakwah Fardiyyah telah disampaikan oleh Saudara Azraai. Beliau menjelaskan peri pentingnya melakukan dakwah untuk membawa manusia ke jalan Allah. Dakwah Fardiyyah adalah komponen paling asas dalam mengajak individu kepada perubahan dan kebaikan. Petangnya, peserta diajar cara menjahit sebagai persediaan ke alam berkeluarga. Empat jahitan mudah diajar secara praktikal oleh Puan Fauziah, Puan Norliah dan Saudari Jawahir.
Ahli JKP Ikram, Hj Nahar Md Nor mengisi slot pada malamnya dengan membicarakan tentang kepentingan dakwah di kampus dan memacu perubahan masyarakat kampus ke arah yang yang lebih baik dan positif. Sebelum tidur, peserta bertadarus dan mendengar tazkirah sebagai khatimah yang rahmah.