Fenomena banjir yang sedang melanda negara ketika ini telah menyebabkan puluhan ribu menjadi mangsanya.
Setakat 8 Mac, seramai 41,986 orang mangsa di tiga negeri telah ditempatkan di 236 Pusat Perlindungan Sementara (PPS), bahkan pernah mencecah 54,205 pada 5 Mac.
Dalam pada itu, beberapa nyawa telah diragut yang mana kebanyakannya terdiri daripada golongan warga emas.
Selanjutnya, telah berlaku kerosakan infrastruktur bangunan dan jalan raya yang kritikal, kehilangan sumber pencarian, kerosakan kenderaan, kemusnahan tempat tinggal dan harta benda.Â
Bahkan banyak premis perniagaan dilaporkan mengalami kerugian yang tinggi ekoran keadaan banjir yang tidak terjangka.Â
Oleh itu, Kerajaan Perpaduan telah memperuntukkan sejumlah wang yang banyak bagi meringankan penderitaan mangsa banjir.Â
Punca BanjirÂ
Tahun lepas, Jabatan Perangkaan Malaysia menganggarkan jumlah kerugian akibat banjir di seluruh negara ialah RM6.1 bilion, satu jumlah yang sangat tinggi.
Kejadian banjir adalah masalah yang kompleks. Menguruskan bencana ini memerlukan pendekatan integrasi dan komitmen yang berterusan daripada pelbagai pihak, tidak ketinggalan rakyat sekali.Â
Sudah tentu perubahan iklim dan cuaca adalah aktiviti alam yang tidak dapat dikawal. Namun, kenaikan aras laut yang menjadi salah satu punca terjadinya tragedi banjir ada kaitan dengan tindakan tidak bertanggungjawab manusia.
Persoalannya, apakah langkah sewajarnya yang boleh diambil untuk mengurangkan impak bencana pada masa akan datang?
Pemanasan global daripada kesan rumah hijau, penggondolan hutan daripada pembalakan haram, pembangunan pesat yang mengurangkan kapasiti penampungan air dan pembuangan sampah tidak terkawal sehingga menyumbat aliran air menjadi antara faktor yang menambah teruk situasi banjir.
Manusia akhirnya terpaksa menerima impak memudaratkan daripada tangan sendiri. Malang sekali apabila kehidupan bumi lain turut terjejas.Â
Langkah Mengurangkan Impak
Dalam apa jua permasalahan yang melibatkan penyelesaian, pencegahan sentiasa menjadi langkah terbaik. Kos merawat dan memulihkan adalah sukar serta menelan perbelanjaan yang amat tinggi.
Malah, sering kali impak yang terjadi sudah tidak dapat diperbaiki seperti keadaan asalnya atau memakan masa yang terlampau lama untuk dipulihkan.
Kerajaan telah merangka Pelan Induk Teknologi Hijau (GTMP) yang dimulakan pada tahun 2017 sehingga 2030.
Pelan ini secara strategik meletakkan dasar dan langkah-langkah untuk suatu pembangunan ekonomi dan gaya hidup yang mementingkan kelestarian alam melalui pembangunan teknologi hijau di Malaysia.Â
Kesungguhan kerajaan persekutuan dan negeri bersama penglibatan sektor swasta melaksanakan polisi dan perancangan teknologi hijau yang telah tersedia digariskan akan memberi hasil yang signifikan.
Namun, ekosistem yang kondusif untuk pembangunan dan kemampanan teknologi hijau harus benar-benar direalisasikan tanpa perlu menunggu waktu lagi di kala dunia sedang perhadapan dengan perubahan iklim yang ketara.Â
Sudah terlalu banyak projek pembangunan yang mengetepikan peranan bumi sebagai ekosistem pemelihara alam dan kehidupan. Apabila pembangunan tidak menitikberatkan faktor alam sekitar, kerosakannya harus ditanggung.Â
Misalnya, permukaan bumi yang asalnya sebagai penyerap air menjadi kalis air, lalu air berlebihan ketika hujan lebat berterusan tidak dapat diserap segera ke dalam tanah mencetuskan banjir kilat.
Aliran air daripada projek-projek pembangunan melebihi kapasiti takungan air sungai di kawasan berkenaan gagal menampung lebihan air ketika hujan lebat menambah teruk keadaan.Â
Kolam-kolam takungan, sistem saliran parit dan longkang yang tersumbat harus diselanggara dengan baik secara berkala agar paras air tidak naik terlalu pantas dan impak banjir akan dapat dikurangkan.Â
Di samping itu, langkah penguatkuasaan, pemantauan dan tindakan undang-undang terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab adalah sangat penting bagi membanteras sebarang kerosakan akibat pembangunan atau pembuangan bahan secara salah.Â
Sewajarnya projek pembangunan harus disertai dengan pelan pemuliharaan alam sekitar. Langkah bertanggungjawab seperti ini dapat mengelakkan bencana seperti hakisan atau banjir yang tidak dijangka.Â
Peranan Masyarakat
Masyarakat juga harus terlibat secara aktif dan agresif dalam amalan gaya hidup hijau yang mesra alam. Pemeliharaan alam seharusnya menjadi agenda bersama milik setiap anggota rakyat Malaysia.
Menurut kajian daripada Luois Lugas (2021), Malaysia tersenarai sebagai negara ketiga tertinggi di dunia yang mempunyai pencemaran sampah plastik di perairan lautan yang mana sampah-sampah ini turut berpunca dari daratan yang dibawa arus air ke laut.Â
Setiap rakyat seharusnya memikul amanah memperbaiki keadaan ini. Sisa domestik harus diuruskan dengan baik dan terancang. Mana yang boleh dikitar, asingkan dan hantarkan ke pusat atau tong kitar semula yang sudah mudah didapati di sekeliling.Â
Pastinya kita semua ingin terus menikmati keindahan alam semula jadi. Maka atas kecintaan ini, setiap daripada kita harus bersama mengekalkan kecantikannya.Â
Masyarakat harus memahami dan menyedari risiko banjir dan berusaha menghindarinya. Menikmati alam semakin mahal apabila perlu bayar lebih untuk mendapatkannya. Kini, air laut atau sungai yang jernih semakin sukar dinikmati di tempat awam.Â
Sikap pencegahan semudah memastikan kebersihan saluran air, menanam pepohon mahupun mengurus sampah dengan sempurna, mampu memberikan perubahan yang besar dalam mengurangi risiko banjir.Â
Salah satu tindakan yang boleh diamalkan setelah banjir surut adalah membersihkan persekitaran daripada sampah terutamanya di saluran air dan sungai.
Lihat dan pekalah dengan perubahan diri ketika melakukan kerja pembersihan. Apabila sudah terbiasa dengan amalan kebersihan, minda mampu teranjak ke suatu tahap yang lebih tinggi menjadi minda kelas pertama.
Bersikap reaktif dengan melakukan persediaan menghadapi banjir akan mengurangkan risiko banjir dan dampak yang dihasilkan.
Penting bagi setiap individu dalam semua peringkat memiliki sikap yang bertanggungjawab dalam menghadapi banjir. Amalan pencegahan dan semangat kerjasama dapat membantu mengurangkan risiko banjir dan dampak yang dihasilkan.Â
Setiap anggota masyarakat perlu menyedari implikasi daripada tindakan masing-masing dan menerapkan budaya amalan yang melindungi alam sekitar.Â
Manfaat yang diperolehi bukan sahaja untuk generasi kini, tetapi yang lebih penting untuk generasi yang akan datang. Ciptakan lingkungan yang aman, sihat dan mendamaikan agar bumi ini menjadi rahmah untuk semua hidupan.Â
Basmin Maarof
Pegawai Jabatan Komunikasi dan Media
Pertubuhan IKRAM Malaysia
Penafian: Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian IKRAM.