Banjir Kilat Di Baling: Penduduk Terus Merana?

Banjir Kilat Di Baling: Penduduk Terus Merana? | IKRAM

Tragedi banjir kilat di sekitar Mukim Baling, Kedah pada 4 Julai lalu telah meninggalkan trauma mendalam kepada penduduk kampung. 

Banjir yang telah meragut nyawa tiga orang dan menjejaskan 12 buah kampung melibatkan lebih daripada 800 buah rumah terutama di Kampung Iboi dan sekitar Kupang. Sebanyak 15 kediaman musnah dan 18 lagi mengalamai kerosakan teruk akibat aliran puing.  

Sehingga kini, penduduk Baling yang terlibat masih lagi dihantui kejadian ini  apabila banjir melanda sekali lagi pada 2 Ogos yang lalu kesan daripada hujan lebat yang berterusan selama dua jam.

Kejadian banjir ini dijangka akan berlaku berulang lagi kerana terdapat banyak runtuhan berskala besar di sekitar lereng bukit menuju Gunung Inas.

Tanaman Durian Cabul EIA?

Pihak berkuasa memberikan pelbagai respons, namun masyarakat masih dibiarkan terpinga-pinga terhadap fakta punca sebenar bencana ini.

Sehingga kini tidak ada pihak yang tampil mahu mengambil tanggungjawab terhadap bencana yang berlaku. Ketidakseragaman kenyataan daripada pihak berkuasa menambah lagi keruh keadaan. 

Laporan Kajian Bencana Geologi Banjir Puing 2022 di Sungai Kupang, Baling, yang dikeluarkan oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) menyimpulkan bahawa kejadian banjir berpunca oleh fenomena proses geologi berangkai iaitu kejadian tanah runtuh serentak secara meluas, hujan lebat yang melampau, aliran dan banjir puing serta banjir lumpur. 

Namun, laporan ini masih tidak menghuraikan tentang bagaimana fenomena geologi berangkai ini terbentuk sehingga mengakibatkan impak banjir yang begitu dahsyat.

Adakah ia kuasa alam semata-mata atau angkara campur tangan manusia juga? Isu penukaran guna tanah kepada hutan ladang juga tidak dikaitkan.   

Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah mendedahkan adanya pencabulan prosedur Penilaian Impak Terhadap Alam Sekeliling (Environmental Impact Assessment/ EIA) berkenaan guna tanah dari tanaman getah kepada durian di Gunung Inas. 

Impak penanaman durian adalah berbeza dengan spesis ladang pokok hutan. Tambahan pula, durian Musang King tidak termasuk dalam senarai pokok ladang hutan yang diluluskan Jabatan Perhutanan Kedah.

Jelas ini melibatkan pelanggaran peraturan dan undang-undang. Nampaknya undang-undang seperti tidak dipedulikan apabila berlaku pertembungan dengan sesuatu yang ada nilai komersial atau membawa keuntungan besar.

Faktor Kepala Air

Menurut pakar pengurusan lembangan sungai, Ir Mazura Nor Zulkifli berkata, terdapat lima faktor terjadinya kepala air.

Faktor-faktor tersebut ialah jumlah hujan yang tinggi, kebiasaannya melebihi jumlah purata tahunan, kegagalan geologi tanah yang mengakibatkan tanah runtuh, kadar air sungai meningkat secara mendadak, aliran sungai yang deras dan kawasan cerun tinggi.

“Jumlah hujan yang tinggi, kebiasaannya melebihi jumlah purata tahunan adalah pencetus utama kejadian tanah runtuh, berikutan kegagalan geologi tanah,” jelasnya.

Tambahnya, keadaan ini membentuk ‘empangan sementara’ hasil daripada longgokan tanah dan puing-puing dan ia akan mengalami tekanan yang tinggi, berikutan aliran sungai yang deras dan himpunan kayu kayan di belakangnya empangan.

“Ini menyebabkan ‘empangan sementara’ ini pecah. Akibatnya berlakulah fenomena kepala air, antara contoh, kejadian di Gunung Jerai, Yan Kedah,” ujarnya.

Katanya lagi, kepala air akan membawa aliran puing bercampur dengan air mengakibatkan banjir lumpur melanda kawasan hilir sungai.

Antara contohnya ialah kejadian yang berlaku di lima kawasan di Titi Hayun, Batu Hampar, Seri Perigi, Gurun dan Tupah di Gunung Jerai, Yan Kedah.

Banjir Bukan Isu Baru

Hakikatnya, kejadian banjir kilat di Baling bukanlah perkara baharu. Banjir tersebut didakwa kerap melanda sejak 2018 apabila berlaku penerokaan hutan di Gunung Inas.

Menurut Sinar Harian, gesaan untuk pihak kerajaan menilai semula projek pembangunan hutan di Hutan Simpan Gunung Inas, Hutan Simpan Gunung Bongsu dan Hutan Simpan Rimba Teloi telah dibuat sejak tahun 2018. 

Penduduk kampung telah membuat bantahan terhadap projek penanaman durian Musang King di Gunung Inas kerana ia telah memberi kesan yang buruk kepada penduduk. 

Susulan banjir lumpur yang melanda pada 27 November 2018, penduduk kampung bersama Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) Cawangan Kedah telah membuat bantahan dan membuat laporan rasmi kepada Jabatan Alam Sekitar.

Namun sehingga kini, penduduk tetap menghadapi ancaman keselamatan, kesihatan, keselesaan hidup, bahkan terjejas punca pendapatan. 

Tentunya apabila melibatkan gangguan alam, kehidupan flora dan fauna di Hutan Simpan Gunung Inas dan sekitarnya turut terpaut sekali.

Banjir kilat yang membawa lumpur kerap terjadi ekoran daripada kerja-kerja penarahan bukit dan penebangan pokok membawa hakisan pasir dan lumpur setiap kali berlaku hujan lebat.

Ini mengakibatkan kerosakan pada tanaman komoditi seperti getah dan kelapa sawit, dusun buah-buahan musnah dan sungai pula menjadi semakin cetek akibat kesan lumpur yang menebal.

Pencemaran air turut terjadi akibat pembajaan dan racun serangga serta rumpai daripada durian yang ditanam. 

Ini menimbulkan isu keselamatan dan kesihatan kerana sebahagian penduduk mendapatkan air bukit sebagai sumber kegunaan harian disebabkan belum mendapat air terawat daripada Syarikat Air Darul Aman (SADA).

Sudah tentu apabila alam sekitar ternoda, kawasan tarikan pelancong seperti Lata Cetek akan terkesan keindahan alam semula jadinya. Ini turut mengganggu sumber pendapatan sampingan penduduk.

Penduduk Baling Terus Merana?

Jelas sekali, projek penanaman durian Musang King bukan sahaja telah merosakkan keindahan Hutan Gunung Inas, tapi dengan parahnya telah menganggu kualiti kehidupan penduduk sekitar sekali gus menjejaskan kitaran ekosistem sekitarnya.  

Bencana banjir kilat di Baling yang telah mengakibatkan kehilangan harta dan nyawa boleh dielakkan sekiranya tindakan awal yang berkesan diambil. 

Tidak patut lagi kejadian seumpama ini berulang lagi di tempat lain ekoran pengabaian tanggungjawab dan kelonggaran penguatkuasaan undang-undang. 

Pembangunan tidak seharusnya dihalang, tetapi jangan sampai ia menjejaskan alam hingga menjadi rosak dan sukar dipulihkan.

Pembangunan tanpa pelestarian tidak wajar berlaku. Oleh itu, kawalan pihak berwajib untuk memulihara keadaan serta mengatasi sebarang pencemaran dan kerosakan akibat pembangunan harus diperketatkan.

Sebarang projek pembangunan perlu turut disertai pelan pemuliharaan demi menjaga kualiti kehidupan dan mengekalkan kelestarian alam. 

Jangan sampai apa-apa kerosakan yang terjadi tidak diendahkan kerana ia akan hanya menjadi isu yang semakin besar sehingga tidak terkawal dan sukar dipulihkan.

Kini mangsa-mangsa banjir kilat Baling yang terkesan ibarat menyandang lemang hangat orang. Orang lain yang mengutip hasil, orang lain pula yang menanggung akibatnya. 

Sampai bila mereka ini perlu dimangsakan? Berapa ramai lagi yang akan menjadi korban? Tepuk dada tanya pihak berkuasa.

Basmin Maarof
Pegawai Jabatan Komunikasi Strategik dan Multimedia
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

  • 5-7 April 2024
  • Ahmad Shahimi Senawi (0124061444)

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

  • 5-7 April 2024
  • Us Rozi Abu (0103535159)

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

  • 5-7 April 2024
  • Ruzinoor Che Mat (0194726820) Khairussani Farid (0132227380)

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Dr Mohamad Heerwan Peeie (010-9112045)

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Faisal (0129725464) & Nazilah (01110540165)

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

  • 5 - 6 April 2024
  • Faisal (0129725464)

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Ustaz Muhamad Faiz bin Muhd Fadhil 019-4102067

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia