Bajet 2023: Pertingkat Sumber Manusia di Sektor Kesihatan

Bajet 2023: Pertingkat Sumber Manusia di Sektor Kesihatan | IKRAM

KUALA LUMPUR – Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) berharap peruntukan lebih berkesan akan diberikan kepada sektor kesihatan negara dalam Bajet 2023 yang akan dibentangkan 24 Februari ini, dengan penekanan terhadap mempertingkat sumber manusia penjagaan kesihatan. 

“Hasil tinjauan yang diterbitkan laman web berita kesihatan CodeBlue baru-baru ini, mengesahkan isu yang sering dibangkitkan MMA selama ini dan ramai pekerja sektor kesihatan awam yang kecewa dengan sistem sedia ada,” kata Presidennya, Dr Muruga Raj Rajathurai.

Beliau berkata, MMA percaya Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang juga seorang reformis memahami kepentingan sistem penjagaan kesihatan yang berdaya tahan.

“Justeru, kami berharap bajet untuk kesihatan akan mencerminkan komitmen kerajaan terhadap pembaharuan penjagaan kesihatan yang amat diperlukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Berdasarkan tinjauan yang diterbitkan CodeBlue baru-baru ini, 95 peratus daripada 1,652 kakitangan kesihatan meliputi jururawat dan doktor kerajaan menyatakan sistem kesihatan awam negara kini berdepan krisis, dengan 73 peratus daripada mereka sedang mempertimbang untuk meletak jawatan.

Menurutnya, kajian tersebut mendapati sebanyak 53 peratus responden yang sebahagiannya ialah golongan profesional, bersetuju dengan status ‘sangat marah’ akan situasi semasa sistem kesihatan awam.

“Sebanyak 83 peratus responden merasakan kerajaan bersikap remeh dalam menangani isu sistem kesihatan awam, manakala 80 peratus responden pula bersetuju yang mereka tidak dibayar gaji setimpal dan 78 peratus menyatakan bebanan kerja mereka terlalu berat.”

Dr Muruga berkata, walaupun hanya sejumlah kakitangan kesihatan yang mengambil bahagian dalam tinjauan itu membabitkan doktor, doktor gigi, ahli farmasi, pembantu perubatan, jururawat dan pekerja penjagaan kesihatan bersekutu di seluruh negara, namun ia tidak harus dipandang mudah.

“Apa yang membimbangkan, bukan hanya doktor muda yang tidak berpuas hati, malah doktor kanan dan pekerja penjagaan kesihatan bersekutu juga kecewa dengan sistem berkenaan.”

“Jika seramai itu yang terfikir untuk berhenti, kita bimbang berapa lama lagi mereka boleh menahan kekecewaan semasa menjalankan tugas. Adakah pembaharuan yang dirancang KKM akan berlaku sebelum mereka putus asa dan pergi ke peluang yang lebih baik?” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata kekecewaan juga sedang memuncak di jabatan kecemasan yang sesak di hospital awam dan data mengenai penggunaan katil dan pengagihan pegawai perubatan siswazah (HO).

“Selain itu, pegawai perubatan (MO), pakar, jururawat, penolong pegawai perubatan, ahli farmasi dan pekerja penjagaan kesihatan bersekutu harus segera digunakan bagi menangani anomali dalam pengagihan tenaga kerja.”

Dr Muruga menegaskan, MMA memahami banyak pembaharuan perlu dilakukan dan sudah tentu mengambil masa serta membabitkan perbelanjaan.

Bagaimanapun kata, sebagai langkah segera, kerajaan perlu menangani masalah yang paling cepat mampu diselesaikan, yang tidak memerlukan proses pentadbiran yang panjang dan perbelanjaan tambahan, seperti menambah baik persekitaran kerja serta keseimbangan kerja dan kehidupan dalam kalangan pekerja penjagaan kesihatan.

“Menteri Kesihatan sudah bekerja keras dan menunjukkan komitmen bersungguh-sungguh, namun beberapa penambahbaikan yang diperlukan perlu dilihat segera. Kami percaya ada data mencukupi untuk digunakan bagi membuat beberapa penambahbaikan segera.

“Sumber manusia adalah aset paling penting kepada mana-mana organisasi, justeru kami menggesa KKM untuk mengutamakan kesejahteraan pekerja penjagaan kesihatan, yang akan menyumbang kepada menambah baik sistem kesihatan,” katanya.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia