Bajet 2023: Jangan Sampai Jadi Sia-sia

Bajet 2023: Jangan Sampai Jadi Sia-sia | IKRAM

Pembentangan bajet pada tahun ini hadir dengan ura-ura sidang parlimen ini akan menjadi sesi yang terakhir sebelum dibubarkan bagi memberikan laluan Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15) berlangsung.

Lantaran itu, memang ada beberapa pandangan yang jangkakan pembentangan bajet nanti akan menjadi populis bentuknya; sebagai gula-gula mendapatkan undi rakyat pada PRU-15 nanti. 

Apa pun situasinya, pembentangan bajet pada tahun ini harus mendapat perhatian rakyat bagi memastikan kerajaan menyalurkan bajet ke tempat yang betul – agar tidak menjadi bajet yang sia-sia, serta ia diuruskan dengan cara yang betul – agar ia tidak menjadi bajet yang disia-siakan. 

Bajet Yang Sia-Sia

Negara kita pada hari ini masih lagi sedang bergelut untuk keluar daripada krisis yang berlarutan. Kita masih belum benar-benar berjaya melepaskan diri daripada kesan pasca-Covid-19 serta beberapa krisis dunia seperti perang Ukraine-Russia, sekuriti makanan dan lain-lain.

Maka, ketika negara sedang berhadapan dengan krisis pelbagai bentuk ini, kerajaan harus sedar bahawa bajet yang akan digunakan pada tahun hadapan mesti diletakkan di tempat yang benar-benar diperlukan.

Pastinya, setiap segmen masyarakat akan mengharapkan ada peruntukan buat mereka. Maka, dengan sumber yang terhad ini, kerajaan harus pastikan bajet yang bakal dibentangkan nanti benar-benar memenuhi kepentingan rakyat; tidak menjadi sia-sia.

Mudahnya, ia mesti sensitif kepada keutamaan dan keperluan rakyat. Jika masih ingat pada pembentangan bajet 2021 yang lalu, Menteri Kewangan telah mengumumkan sejumlah RM85.5 juta akan diperuntukkan kepada Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Pengumuman ini mendapatkan reaksi negatif daripada ramai pihak baik dari blok kerajaan, pembangkang mahupun masyarakat sivil di luar Dewan Rakyat. 

Mereka mempertikaikan keperluan JASA diberikan peruntukan sebegitu besar berbanding dengan keperluan lain yang dilihat lebih utama seperti peruntukan sekolah daif yang hanya menerima sebanyak RM58 juta.

Peruntukan yang besar kepada perkara yang tidak menjadi keutamaan rakyat hanya menjadikan bajet berkenaan sia-sia kerana ia tidak memberi kesan positif kepada rakyat. 

Bajet Yang Disia-siakan

Ada dua musuh utama yang mesti ditangani dengan segera dan bersungguh oleh kerajaan. Jika tidak, bajet yang diletakkan meski besar dan gah manapun, ia akan menjadi bajet yang disia-siakan.

Musuh pertama adalah gejala dan budaya rasuah. Kita perlu sedar bahawa gara-gara rasuah, negara tidak dapat membangun dengan optimum kerana kos pengurusan dan pentadbiran tiba-tiba naik berganda-ganda hanya untuk memenuhi permintaan daripada tangan-tangan ghaib; bukan tangan-tangan yang memerlukan.

Peningkatan kos ini tidak menjadikan jentera penyampaian berjalan dengan lebih efisien. Tetapi sebaliknya, hanya memenuhi kantung poket orang tertentu atas dasar ‘membantu mendapatkan projek’. Kesan buruknya? Ya, ia menimpa bertalu-bertalu kepada rakyat. 

Kita tidak boleh lupa bagaimana kes rasuah yang melibatkan Datin Seri Rosmah Mansor yang telah didapati bersalah terhadap tiga pertuduhan rasuah yang berkaitan projek hibrid solat bernilai RM1.25 bilion untuk 369 buah sekolah luar bandar di Sarawak.

Tindakan ini telah menyebabkan duit mencecah bilion ringgit yang sepatutnya menjadi hak kemudahan pendidikan untuk anak-anak di Sarawak ini, dicuri oleh mereka yang tidak bertanggungjawab demi kepentingan peribadi. 

Nah, dana rakyat telah disia-siakan. Maka, kerja keras untuk tangani rasuah ini perlu segera menjadi agenda besar buat semua pihak terutamanya agensi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kerajaan juga harus memastikan proses kelulusan bajet dilalui melalui prosedur yang telus; bukan hanya melalui panggilan telefon daripada seorang yang mempunyai hubungan peribadi dengan mana-mana Menteri.

Masalah kedua adalah proses penyampaian dana kepada sasaran bajet yang tidak cekap dan tidak berkesan.

Sama ada ia berlaku kerana kelemahan manusia yang tidak kompeten dan berintegriti atau masalah sistem itu sendiri yang tidak lengkap dan ada kelompongan tertentu, kedua-duanya menyumbang kepada ketirisan dan pembaziran. 

Kita boleh teliti semula laporan yang dikeluarkan oleh Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang telah memeriksa dan meneliti bagaimana dana awam yang telah disalurkan itu diuruskan oleh pihak yang berkenaan – agensi atau kementerian.

Kita akan dapati, sejumlah wang yang sangat besar telah dibazirkan gara-gara kegagalan manusia dan sistem. Paling dekat yang menjadi perbincangan awam adalah tentang pendedahan daripada PAC tentang Perolehan Kapal Littoral Combat Ship (LCS).

Sejumlah RM6.083 bilion telah dibelanjakan sejak tahun 2013, sehingga kini tiada satu pun kapal yang disiapkan. Lebih malang, ada inventori yang sudah usang dan tidak dapat digunakan lagi.

Nah, sekali lagi dana awam telah disia-siakan. Maka, usaha untuk menambah baik kadar ketelusan dan kecekapan dalam pengurusan kewangan perlu menjadi agenda besar kerajaan.

Kita tidak boleh hanya menunggu laporan daripada Ketua Audit Negara mahupun PAC dikeluarkan baru mahu bertindak kerana ketika itu kita sudah terlambat untuk menyelamatkan dana awam daripada dirugikan.

Sewajarnya, ketika perbelanjaan berkenaan sedang digunakanlah kerajaan harus pastikan ia mematuhi piawaian yang telah ditetapkan dengan sikap yang penuh berintegriti dan bermaruah.

Kesimpulan

Kita tidak harus cepat terpesona dengan jumlah-jumlah yang bakal diletakkan dalam pembentangan bajet nanti.

Bahkan, ia harus diperhatikan semula dengan beberapa pertanyaan; Adakah bajet berkenaan benar-benar bermanfaat buat rakyat kebanyakan? Adakah bajet berkenaan benar-benar diuruskan dengan cekap dan berkesan?

Adakah ada bajet yang tidak perlu ada dalam perancangan kerajaan? Dan adakah apa-apa ketirisan dan pembaziran dalam pengurusan bajet berkenaan? 

Pertanyaan ini mesti kita tanyakan, kerana akhirnya yang terkena kesannya adalah kita, dan generasi akan datang. Moga bajet yang dibentangkan benar-benar bermanfaat buat rakyat.

Usaid Asmadi
Ketua Penerangan dan Aktivis IKRAM Muda Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia