Bahaya Internet: Jari Sebar Dusta Undang Sengketa

Bahaya Internet: Jari Sebar Dusta Undang Sengketa | IKRAM

Manusia gemar berkata-kata, baik dalam bentuk perbincangan serius, berbual kosong mahupun mengumpat. 

Dengan kata-kata, seseorang itu termotivasi untuk melakukan kebaikan. Kata-kata juga boleh mengakibatkan perselisihan faham apabila lidah menjadi wadah melemparkan pendustaan.

Pada masa dahulu, lidah adalah alat komunikasi berkesan untuk menularkan kata-kata dusta. Hal ini diperihalkan melalui firman Allah SWT berikut yang bermaksud:

“Dan janganlah kamu mengatakan terhadap apa yang disebut-sebut oleh lidahmu secara dusta, “Ini halal dan ini haram,” untuk mengada-adakan pembohongan terhadap Allah. Sesungguhnya orang yang mengada-adakan pembohongan terhadap Allah tidak akan beruntung.” (An-Nahl: 116)

Kini segalanya di hujung jari. Kewujudan Internet membolehkan pelbagai laman sesawang dan aplikasi media sosial dimuat turun atau diakses.

Setakat Oktober 2022, pengguna Internet di seluruh dunia berjumlah 5.07 bilion, manakala pengguna media sosial berjumlah 4.74 bilion.

Pengguna telefon bimbit pula berjumlah 5.48 bilion. Negara yang mempunyai populasi digital terbesar di dunia adalah China yang berjumlah 1.02 bilion orang. 

  1. China – 1,020 juta
  2. India – 658 juta
  3. Amerika Syarikat – 307.2 juta
  4. Indonesia – 204.7 juta
  5. Brazil – 165.3 juta
  6. Rusia – 129.8 juta
  7. Jepun – 118.3 juta
  8. Nigeria – 109.2 juta
  9. Mexico – 96.87 juta
  10. Jerman – 78.02 juta

 

Laman sesawang yang sering dilawati pengguna Internet dunia setakat November 2022 adalah google.com dengan jumlah lawatan sebanyak 91,994,668,638.

  1. google.com – 91,994,668,638
  2. youtube.com – 80,056,916,713
  3. facebook.com – 11,268,336,055
  4. twitter.com – 8,266,532,748
  5. wikipedia.org – 6,724,463,904
  6. reddit.com – 4,785,956,342
  7. instagram.com – 4,581,804,796
  8. lectortmo.com – 3,767,748,701
  9. yahoo.com – 3,335,192,581
  10.  amazon.com – 2,935,260,581

 

Platform media sosial paling popular di dunia pada tahun 2022 adalah Facebook dengan jumlah pengguna aktif bulanan sebanyak 2.9 bilion. 

  1. Facebook – 2.9 bilion
  2. YouTube – 2.56 bilion
  3. WhatsApp – 2 bilion
  4. Instagram – 1.47 bilion
  5. WeChat – 1.26 bilion
  6. TikTok – 1 bilion
  7. Facebook Messenger – 988 juta
  8. Douyin – 600 juta
  9. QQ – 574 juta
  10.  Weibo – 573 juta

 

Segala maklumat mudah dicapai. Gandingan jari dan Internet menyebabkan pendustaan lebih pantas menular berbanding mulut. Capaian pendustaan lebih meluas sehingga ke pelosok dunia.

Terdapat juga pelaku dan penyebar yang tidak diketahui identitinya kerana menggunakan akaun media sosial palsu. Begitulah cabaran pada masa kini dalam menghadapi pendustaan dalam alam maya. 

Impak daripada perbuatan mereka amatlah besar terhadap individu, masyarakat atau pihak yang menjadi sasaran kerana boleh menimbulkan prasangka dan stereotaip negatif. Allah SWT menegah prasangka melalui firman-Nya yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah daripada berprasangka, sesungguhnya sebahagian daripada prasangka itu dosa, dan janganlah kamu mencari kesalahan orang lain, dan janganlah ada di antara kamu yang mengejek sebahagian yang lain. Apakah ada di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Tentu kamu berasa jijik. Bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat, lagi Maha Penyayang.” (Al-Hujurat: 12)

Pendustaan demi pendustaan yang ditularkan lama-kelamaan akan dianggap sebagai perkara yang benar pada mata masyarakat jika tidak diselidiki terlebih dahulu, seperti yang diperihalkan melalui firman-Nya yang bermaksud:

“Ingatlah, di antara kebohongannya, mereka benar-benar mengatakan. “Allah mempunyai anak.” Dan sungguh, mereka benar-benar pendusta.” (Al-Saffat: 151 – 152) 

Hal ini akan menyebabkan masyarakat akan mempercayai bahawa kebenaran merupakan perkara dusta seperti dalam firman-Nya yang bermaksud:

Maka siapakah yang lebih zalim daripada orang yang membuat kebohongan terhadap Allah dan mendustakan kebenaran yang datang kepadanya? Bukankah neraka Jahanam itu tempat tinggal bagi orang-orang kafir?” (Az-Zumar: 32)

Begitu juga firman Allah SWT berikut yang bermaksud:

“Tiadalah yang lebih zalim daripada orang yang mereka-reka pembohongan terhadap Allah atau mendustakan ayat-ayat-Nya? Sesungguhnya orang-orang yang berdosa itu tidak akan berjaya.” (Yunus: 17)

Oleh sebab itu, sebarang informasi yang diterima perlulah diselidiki terlebih dahulu agar tidak sewenang-wenangnya menerima dan menyebarkan khabar dusta kepada orang lain seperti dalam peringatan-Nya yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika seseorang yang fasik datang kepadamu membawa suatu berita, maka telitilah kebenarannya, agar kamu tidak mencelakakan suatu kaum kerana kebodohan yang akhirnya membawa kepada penyesalan.” (Al-Hujurat: 6)

Penularan dusta semakin menyukarkan ‘pembersihan’ prasangka dan stereotaip negatif dalam kalangan masyarakat terutama yang berbilang kaum. 

Perkembangan itu amatlah tidak baik terutama dalam persekitaran yang memerlukan kerjasama dan persefahaman. 

Penggunaan kata perlulah bersesuaian dan jelas agar tidak timbul salah faham atau menyentuh perkara yang sensitif.

Gunakanlah jari-jemari untuk mencipta atau kongsikan kandungan mahupun kata-kata yang dapat memotivasi serta mewujudkan suasana harmoni dan bersatu padu.

Zulfiqar Mohd Yusof
Pensyarah Kolej Al-Quran Sayyidina Ali

Penafian: Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian IKRAM.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia