Bahasa Melayu wajar jadi bahasa rasmi ASEAN

Bahasa Melayu Bahasa Rasmi ASEAN

Bahasa Melayu wajar diangkat sebagai bahasa rasmi ASEAN. Saya akan kemukakan hujah-hujah untuk menyokong pendirian saya.

 

Bahasa di Nusantara, lingua franca

 

Bahasa Melayu adalah bahasa penyatuan sejak awal lagi apabila Islam menjadi anutan di seluruh Nusantara. Ia menjadi medium penyebaran agama Islam di kepulauan yang diduduki oleh hampir 300 suku etnik yang bertutur dalam bahasa daerah masing-masing.

 

Kesemua teks berkaitan akidah, fekah dan tasauf menggunakan bahasa Melayu tulisan Jawi. Ulama-ulama dari Aceh sehingga Maluku menggunakan bahasa Melayu dalam penulisan mereka. Bahkan Syeikh Nuruddin ar-Raniri (berbangsa Gujerat) menulis dalam bahasa Melayu (Manuskrip asal boleh dirujuk sebagai bukti).

 

Bukan sahaja bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu dan perbahasan ilmiah di Nusantara, bahkan ia diangkat menjadi bahasa perhubungan dan perdagangan antarabangsa.

 

Ia mencapai status sebagai lingua franca. Ia dipertuturkan di semua pelabuhan-pelabuhan di sepanjang laluan rempah di Teluk Benggala, Lautan Hindi, Laut Arab/Merah hingga laut Tengah (Mediterranean).

 

Ia dipertuturkan di pelabuhan pelabuhan Eropah di Venice, Genoa dan Lisbon. Bahkan hubungan persuratan diplomatik menggunakan bahasa Melayu. Antara dokumen terawal yang dapat dikesan ialah surat di antara Raja Maluku dan Portugis pada kurun ke-15 Masihi.

 

Melangkaui rantau Pasifik

 

Bahasa Melayu turut menjadi bahasa pertuturan di sebelah timur dan sisi barat Lautan Teduh (Pasifik). Kehadiran komuniti melayu Champa, komuniti Melayu Brunei (yang dirujuk sebagai Poni di Tanah besar Cina) memperkasakan penggunaan bahasa Melayu.

 

Komuniti Arab dan Parsi yang telah bermastautin di sepanjang pesisir Tanah Besar Cina (Guangzhou, Hangzhou antaranya) dan berulang alik dengan pelabuhan-pelabuhan era Srivijaya (kurun ke-7 Masihi) menggunakan bahasa Melayu utk tujuan terjemahan, urusan diplomatik dan perdagangan.

 

Kerana itu nama asal dan sebenar Laut Cina Selatan adalah laut Melayu yang dirujuk oleh pelaut Portugis, Sepanyol, Latin dan Arab. 

 

Dari sudut linguistik pula, bahasa Melayu adalah kelompok bahasa Austronesia dan berkongsi istilah dengan suku suku etnik sejauh Formosa (Taiwan). Lebih luas lagi dalam konteks Polinesia (Central Malayo dan Western Malayo sehingga kepulauan Hawaii dan Guam; dan Selatan Pasifik (Solomon, Fiji, New Zealand: Oceanic).

 

Ke arah barat pula kesan daripada penerokaan orang Melayu menyebarluaskan bahasa Melayu di Pulau Christmas dan Cocos-Keeling di Lautan Hindi, Pulau Serendib (Sri Lanka), sehingga Madagascar di timur Afrika.

 

Alat komunikasi

 

Apabila berlaku kekacauan di Guangzhou pada tahun 784 Masihi, sekitar 250,000 umat Islam (Arab, Parsi dan Cina) berhijrah ke Kedah, Palembang, Terengganu, Brunei dan Patani. Apakah yang menjadi faktor tarikan kepada tempat-tempat ini?. Tempat-tempat tersebut adalah pelabuhan antarabangsa dan bahasa Melayu adalah alat komunikasinya.

 

Pada era penjajahan Barat, ramai para pejuang dan ulama di Nusantara dibuang ke pelbagai tanah jajahan yang jauh yang tiada persamaan bahasa, budaya dan latar belakang sejarah umpamanya di Afrika Selatan dan Surinam.

 

Di Afrika Selatan, lebih 1,000 ulama, pejuang atau raja diasingkan oleh Belanda. Pulau Robben menjadi pusat komuniti pelbagai suku etnik dari Nusantara. Bahasa Melayu menjadi bahasa komunikasi sehingga menjadi warisan anak cucu di Afrika Selatan.

 

Bahasa Melayu walaupun dalam bentuk yang sudah berubah, dari segi sebutan dan tatabahasa kekal sehingga hari ini. Istilah seperti kali (sungai) masih digunakan, termasuk tuanta (tuan) dan selamata (selamat), begitu juga mungkin di Pulau Seychelles yang menjadi destinasi pengasingan penjajah British dan Perancis (Raja Abdullah Perak diasingkan di sini).

 

Dominasi bahasa Melayu di rantau ini mengambil alih bahasa AustroAsiatik (Aslian) yang dipertuturkan oleh suku-suku pengasas Senoi, Semang, Negrito atau Bateq yang berkongsi akarnya dengan pelbagai suku zaman Neolitik (sekitar 10,000 tahun dahulu) di Asia Tenggara (Indo-China) dan Selatan China (Yunnan sehingga Yangtze – Proto AustroAsiatik).

 

Penggunaan dalam majlis rasmi

 

Merujuk kepada perkembangan bahasa Melayu pada kurun ke-20, penggunaannya dalam majlis rasmi semakin jelas. Bukti sejarah yang jelas ialah pengalaman yang ditempa oleh SDI (Syarikat Dagang Islam) yang didirikan pada tahun 1905/6.

 

Kongresnya yang pertama dihadiri oleh 80 orang delegasi termasuk dari Kalimantan, Sulawesi dan Bali. Apakah bahasa yang digunakan sebagai bahasa pengantar Kongres? Jawabnya adalah bahasa Malajoe (Melayu).

 

Apabila Haji Omar Said Cokroaminato mengambil alih kepimpinan SI (Serikat Islam), logo SI diperkenalkan pada tahun 1917. Pada lambang hati di tengah tengah logo tertulis tiga kalimah bahasa Melayu yang ditulis dalam Jawi iaitu ‘KEMAHUAN, KEKUATAN, KEMENANGAN’. 

 

Mungkin itulah yang mendorong seorang wartawan bertanya kepada Haji Omar Said apakah nama negara kesatuan yang diimpikan ‘Melayunesia atau Indonesia’. 

 

Sungguhpun beliau orang Jawa dan Pulau Jawa adalah tanah kelahiran SI, namun kesatuan seluruh penduduk di Nusantara adalah intipati perjuangan dengan bahasa Melayu sebagai penyatuan tanpa mengetepikan kepelbagaian budaya suku etnik seperti yang tergambar pada 13 senjata tradisi yang mewakili seantero Nusantara.

 

Ia amat bertentangan dengan visi Budi Utomo yang ditubuhkan pada tahun 1908 yang jelas ditubuhkan untuk menyatu dan memperkasa suku etnik Jawa. Objektif yang meliputi seluruh Nusantara hanya termaktub bermula tahun 1930.

 

Orang melupakan bahawa tokoh pertama yang mengungkapkan kemerdekaan Indonesia (zelfbestuur) ialah Haji Omar Said Cokroaminato dalam kongres SI di Bandung pada tahun 1916.

 

Sebaliknya Sumpah Pemuda yang digerakkan oleh Perhimpunan Pelajar-Pelajar Indonesia (yang digerakkan oleh Sekolah Tinggi Hukum Batavia/Jakarta, Sekolah Tinggi Bandung dan STOVIA-Sekolah Perubatan Jakarta) pada tahun 1928 yang diangkat sebagai deklarasi unggul.

 

Bahasa Indonesia dan MABBIM

 

Apabila Indonesia memproklamir kemerdekaan pada tahun 1945 dan mendapat pengiktirafan De Jure oleh PBB pada tahun 1950, bahasa Melayu diangkat sebagai bahasa Indonesia, meskipun suku etnik Melayu hanya mewakili 12 peratus berbanding suku Jawa 40 peratus. 

 

Asasnya bahasa Melayu bukan identiti eksklusif suku etnik Melayu, tetapi ia telah menjadi bahasa yang dinisbahkan kepada seantero Nusantara.

 

Pada tahun 1985, terbentuk MABBIM (Majlis Bahasa Brunei Indonesia Malaysia) sebagai kesinambungan MBIM (Majlis Bahasa Indonesia/Malaysia). Singapura kekal sebagai status pemerhati. Objektif MABBIM untuk bekerjasama erat dalam memajukan bidang penyelidikan bahasa, tatabahasa, ejaan dan peristilahan.

 

MABBIM menjadi wahana memperkasakan bahasa Melayu yang semakin mencabar dalam era teknologi maklumat. MABBIM diperkasa untuk pembinaan dan permasyarakatan bahasa Melayu serantau.

 

Hakikatnya di sini ialah, MABBIM bermatlamat untuk mengangkat bahasa Melayu yang menjadi bahasa ibunda bagi negara serumpun yang bukan menjadi milik eksklusif mana-mana negara atau penutur bahasa Melayu di Asia Tenggara seperti di Singapura, Patani dan Selatan Thai, komuniti melayu Cham di Vietnam dan melayu Kemboja, bahkan Melayu di Tanah Seri (Tanasserim-Myanmar).

 

Bahasa rasmi ASEAN

 

Hasrat untuk mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi ASEAN bukan untuk mempertahankan ego Malaysia.

 

Ia lahir daripada sanubari yang murni untuk menyatukan seluruh Nusantara di bawah satu bahasa ibunda yang berkembang sejak lebih seribu tahun yang lalu. Tapaknya adalah Kepulauan Melayu-Nusantara (the Malay archipelago). 

 

Jika bahasa Indonesia yang didesak-desak untuk mewakili ASEAN, maka akan tersudutlah warga penutur bahasa Melayu di Malaysia, Brunei, Singapura, Thailand, Vietnam, Kemboja dan Myanmar. Ia secara sedar mengangkat nasionalisme negara bangsa Indonesia yang bernuansa eksklusif.

 

Jika bahasa Melayu diangkat, maka terangkumlah seluruh Asia Tenggara termasuk kepulauan Filipina yang dipaksakan identiti asing oleh conquistadors Sepanyol.

 

Dr Hafidzi Mohd Noor
Akademi Sejarah Dr Hafidzi

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Ikuti Rancangan Jom Sembang Bersama Ustaz Dr Syazalie Hirman setiap Jumaat di TV IKRAM.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia