Bahasa Melayu: Memupuk Aspirasi yang Mengukir Bangsa

Bahasa melambangkan sebuah masyarakat dan berperanan sebagai penentu corak laku anggota masyarakat. Di Malaysia, terdapat pelbagai kaum minoriti seperti Kadazan Dusun, Bidayuh, Iban, dan lain-lain. Manakala Melayu, Cina dan India membentuk tiga kaum utama atau majoriti.

Kerajaan telah menetapkan bahasa rasmi iaitu bahasa Melayu sebagai medium komunikasi untuk memastikan interaksi yang efektif antara kaum dalam kalangan rakyat Malaysia.

Bahasa Melayu dengan statusnya sebagai bahasa kebangsaan membantu mengurangkan perbezaan etnik dan memupuk keharmonian serta perpaduan nasional melalui penggunaannya dalam kehidupan seharian.

Alat penyatuan

Kata ‘aspirasi’ merujuk kepada harapan, cita-cita, atau keinginan yang kuat untuk mencapai sesuatu tujuan mahupun impian. Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan Malaysia memainkan peranan penting dalam sistem pendidikan negara. Ia bukan sahaja medium utama pengajaran dan pembelajaran, tetapi juga alat penyatuan yang memperkukuhkan identiti nasional.

‘Mengukir Bangsa’ bermaksud membentuk atau membangunkan bangsa dengan usaha yang signifikan dan bermakna, sehingga membawa perubahan positif dan berkesan dalam kehidupan masyarakat dan negara.

Ia menggambarkan proses mencipta identiti, kejayaan dan masa depan bangsa melalui tindakan, pencapaian serta dedikasi daripada individu juga kelompok. Ungkapan ini sering kali digunakan untuk menekankan pentingnya peranan setiap orang dalam membina bangsa yang maju, bermartabat dan dihormati.

Cabaran-cabaran untuk mempromosikan bahasa Melayu memerlukan pendekatan yang strategik dan penyelesaian yang inovatif. Untuk mengatasi persaingan dengan bahasa Inggeris dan kekurangan sumber pendidikan, perlu ada kerjasama yang lebih erat antara institusi pendidikan, kerajaan dan organisasi kebudayaan.

Pendekatan ini dapat membantu dalam mengatasi halangan yang ada dan memperluaskan jangkauan bahasa Melayu secara lebih berkesan di peringkat antarabangsa.

Sebagai pusat pengajaran dan penyelidikan

Walau bagaimanapun, kajian ini juga menunjukkan beberapa kejayaan yang dicapai dalam usaha memperluaskan penggunaan bahasa Melayu. Salah satu pencapaian utama ialah kewujudan institut dan pusat bahasa yang khusus untuk bahasa Melayu di beberapa negara.

Institut-institut ini berfungsi sebagai pusat pengajaran dan penyelidikan yang menyediakan kursus dan program yang menyeluruh mengenai bahasa Melayu. Dengan penubuhan institusi dan pusat-pusat ini, bahasa Melayu dapat diperkenalkan secara lebih mendalam kepada pelajar antarabangsa dan menjadi lebih dikenali dalam kalangan masyarakat global.

Melalui strategi yang betul dan kerjasama yang berkesan, bahasa Melayu dapat diperluaskan ke luar Nusantara dengan jayanya. Institut dan pusat bahasa memainkan peranan yang kritikal dalam pendidikan juga penyelidikan, manakala kerjasama antarabangsa memperluaskan rangkaian dan pengaruh bahasa Melayu.

Pencapaian ini memberikan asas yang kukuh untuk usaha-usaha masa depan dalam memajukan bahasa Melayu di peringkat global. Selain itu, peningkatan kerjasama antarabangsa juga merupakan kejayaan penting dalam memperluaskan penggunaan bahasa Melayu.

Kerjasama antara universiti, agensi kebudayaan dan organisasi bahasa di Nusantara dengan rakan-rakan di luar negara telah memudahkan pertukaran ilmu dan pengalaman. Program pertukaran pelajar, seminar antarabangsa dan projek penyelidikan bersama  membantu dalam membina jaringan global yang menyokong usaha mempromosikan bahasa ini.

Peranan institusi pendidikan dalam mempromosikan bahasa Melayu tidak terhad kepada pengajaran sahaja. Institusi ini juga sering terlibat dalam penyelidikan dan penerbitan yang berkaitan dengan bahasa Melayu, menghasilkan karya akademik yang diiktiraf secara antarabangsa.

Seminar, persidangan dan penerbitan yang melibatkan kajian bahasa Melayu memperkukuhkan kedudukan bahasa ini dalam arena global dan menggalakkan pertukaran idea serta pengetahuan antara akademik dari pelbagai negara.

Mempromosikan budaya dan sastera Melayu

Dengan cara ini, institusi pendidikan menyumbang secara langsung kepada penyebaran dan penerimaan bahasa Melayu di seluruh dunia (Musa, 2014). Universiti dan pusat pengajian tinggi di negara-negara Nusantara sering menawarkan program bahasa Melayu dan kajian Asia Tenggara yang menarik perhatian pelajar antarabangsa.

Program pertukaran pelajar dan kursus bahasa yang ditawarkan di institusi pendidikan ini bukan sahaja meningkatkan keupayaan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar luar negara tetapi juga membuka peluang untuk mempromosikan budaya dan sastera Melayu secara lebih meluas. Ini membantu dalam membina rangkaian akademik yang kukuh yang menyokong penggunaan dan pemeliharaan bahasa Melayu di luar kawasan Nusantara.

Kerjasama antara negara-negara Nusantara dengan negara-negara lain dalam bidang budaya dan pendidikan juga memainkan peranan penting dalam mempromosi bahasa Melayu.

Penganjuran Simposium Antarabangsa Aspirasi Bahasa Melayu dan Malam Puisi Mengukir Bangsa diadakan pada 23 dan 24 September lalu dengan tema “Bahasa Membina Bangsa” di Kuala Lumpur sempena Kursi Pengajian Melayu dan Ketamadunan Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob di Thai Global Business Administration Technological College (TGBC) dan Rajamangala University of Technology Thanyaburi (RMUTT) di Thailand dengan kerjasama Ikhtisas Kepimpinan Kamarazaman (IKK) dan  Asia Lecturers and Teachers Community (ALTC) di Indonesia.

Ini bagi menyahut kenyataan yang mahukan bahasa Melayu dimartabatkan dalam negara dan diperluas penggunaannya di peringkat ASEAN dan antarabangsa di samping memperkasa sosial budaya

Program di sekolah seperti Hari Bahasa Melayu atau Kelab Bahasa Melayu boleh diwujudkan untuk menggalakkan pelajar menggunakan bahasa Melayu secara aktif dalam pelbagai konteks.

Selain itu, kerjasama dengan komuniti tempatan untuk melibatkan pelajar dalam projek yang menggunakan bahasa Melayu seperti kerja sukarela atau program pertukaran budaya, boleh memberi mereka peluang tambahan untuk berlatih dan memperbaiki kemahiran bahasa mereka.

Dalam Forum Remaja Peringkat Kebangsaan untuk Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka, penguasaan Bahasa Melayu sangat baik dalam kalangan penutur bukan Melayu dengan semangat cintakan bahasa dan budaya.

Diksi bahasa, intonasi dan pertautan idea yang digunakan begitu sopan, penuh beradab dan etika. Itulah jasa guru yang mendidik mereka untuk memupuk kemahiran dalam bidang komunikasi.

Memanfaatkan teknologi dan media digital

Memanfaatkan teknologi dan media digital merupakan kunci utama dalam usaha memperluaskan pengaruh bahasa Melayu di peringkat antarabangsa. Platform digital seperti laman web, blog dan media sosial boleh digunakan untuk menyebarkan maklumat mengenai bahasa Melayu secara meluas.

Melalui laman web dan blog yang menyediakan bahan pengajaran, artikel dan berita terkini mengenai bahasa Melayu serta media sosial yang membolehkan interaksi secara langsung dengan audiens global, bahasa Melayu dapat diperkenalkan kepada khalayak yang lebih luas dan pelbagai latar belakang.

Selain itu, aplikasi telefon pintar dan perisian pendidikan dalam bahasa Melayu memainkan peranan penting dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa ini. Aplikasi interaktif yang menawarkan kursus, latihan dan permainan bahasa membantu dalam memudahkan proses pembelajaran dan menjadikan pengalaman belajar lebih menarik.

Perisian pendidikan yang menyertakan bahan-bahan multimedia seperti video, audio dan latihan interaktif juga boleh meningkatkan pemahaman dan penggunaan bahasa Melayu serta menjadikannya lebih relevan dalam konteks digital masa kini.

Penggunaan teknologi dan media digital membuka peluang baru untuk memperkenalkan dan mempopularkan bahasa Melayu di pelbagai platform, menjadikannya lebih dikenali dan diterima di peringkat antarabangsa.

Dengan menjadikan bahasa Melayu lebih mudah diakses melalui teknologi, ia bukan sahaja dapat menjangkau khalayak yang lebih luas di seluruh dunia tetapi juga memperkuatkan kedudukannya sebagai bahasa global yang penting.

Slogan “Bahasa Jiwa Bangsa” bermaksud bahasa menunjukkan bangsa dan bahasa juga mampu menyatukan semua dan mengukir bangsa.

Prof Madya Ts Dr Jessica Ong Hai Liaw
Pensyarah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia & Pengerusi Women in Logistics and Transport (WiLAT) Malaysia, CILTM

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia