Bahasa Ibunda: Pelihara Warisan Budaya Negara

Sekilas pandang, bahasa mungkin dilihat hanya sebagai alat komunikasi. Walau bagaimanapun, ia lebih daripada sekadar set perkataan dan peraturan tatabahasa. 

Bahasa adalah kunci kepada kepelbagaian budaya dan linguistik dan merupakan bahagian asas identiti seseorang. Bahasa ibunda adalah sebahagian daripada warisan budaya setiap bangsa. 

Bahasa ibunda adalah istilah yang merujuk kepada bahasa leluhur (ancestral language) sesuatu kelompok etnik. Sama ada ia bahasa besar atau sebaliknya, bahasa ibunda penting dalam kehidupan sesuatu kelompok masyarakat, khususnya dalam konteks budaya yang diamalkan.

Dalam konteks ini, ia adalah salah satu daripada beberapa kaedah utama yang membolehkan kelompok berkenaan menyebar dan menurunkan tradisi, sejarah, seni dan adat resam serta mewariskan budayanya dari generasi ke generasi. 

Bahasa sentiasa menjadi agenda penting dalam matlamat Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Hak mempelajari dan menggunakan bahasa ibunda adalah hak asasi manusia yang termaktub dalam Perisytiharaan Bangsa-Bangsa Bersatu sehingga Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa telah diluluskan dan diiktiraf pada Persidangan Umum UNESCO tahun 1999.

Ia disambut setiap tahun pada 21 Februari bermula pada tahun berikutnya untuk mempromosikan kesedaran kepelbagaian bahasa dan budaya. 

Tarikh itu juga bagi memperingati kejadian empat orang pelajar yang terbunuh akibat kontroversi bahasa pada 21 Februari 1952. Peristiwa ini melibatkan sebilangan penuntut universiti Bangladesh yang dibunuh oleh polis dan tentera Pakistan di Dhaka ketika menyertai Gerakan Bahasa Bengali.

Ia adalah rentetan kepada pengisytiharan bahasa Urdu sebagai satu-satunya bahasa untuk  Pakistan Barat dan Pakistan Timur oleh Mohammed Ali Jinnah, Gabenor-Jeneral Pakistan, pada 21 Mac 1948, dan ini telah membangkitkan kemarahan warga Pakistan Timur (kini Bangladesh) yang bertutur bahasa Bengali sebagai bahasa ibunda.

Bahasa ibunda adalah alat yang paling ampuh bagi mengekalkan dan membangunkan warisan sesuatu bangsa.

Segala usaha penggunaan bahasa ibunda bukan sahaja sebagai galakan kepelbagaian linguistik dan pendidikan multilingual bagi meningkatkan kesedaran terhadap bahasa ibunda, bahkan juga sebagai wadah perpaduan berasaskan kefahaman, toleransi dan dialog pelbagai budaya di dunia ini.

Melihat kepada kepentingan pemeliharaan warisan bangsa di Malaysia yang unik dengan kepelbagaian bangsa serta pertuturan dalam pelbagai bahasa ibunda, Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa telah mula disambut pada tahun 2003 di negara ini.  

Sambutan tersebut telah dianjurkan oleh Pusat Pengajian Tinggi Dong Jiao Zong dengan kerjasama badan bahasa pelbagai kaum, termasuk Persatuan Linguistik Malaysia, Yayasan Penyelidikan dan Pembangunan Pendidikan Tamil Malaysia, Yayasan Bahasa Kadazandusun dan Institut Penyelidikan Borneo.

Kepentingan bahasa ibunda sebagai warisan bangsa

Bahasa ibunda di setiap negara mempunyai keunikan yang tersendiri, baik daripada segi adat, tradisi, nilai serta tatatertib dalam sejarah kehidupan manusia.

Bahasa ibunda adalah tradisi dan sejarah bagi setiap negara dan harus terus hidup dan  dipertahankan sebagai satu tradisi, budaya, seni dan sains selain sejarah sesuatu bangsa.

Malaysia merupakan sebuah negara unik yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan etnik. Antara bangsa yang terbesar di Malaysia ialah Melayu, Cina dan India yang masing-masing mempunyai pelbagai bahasa dan dialek tersendiri.

Terdapat 18 kumpulan minoriti suku kaum Orang Asli, antaranya Temiar, Jakun, Semang dan Mah Meri di Semenanjung Malaysia. 

Di Sabah, terdapat lebih daripada 30 suku kaum yang menggunakan tidak kurang daripada 50 jenis bahasa dan dialek seperti Kadazan, Dusun dan Melayu Brunei.

Di Sarawak pula, banyak suku kaum yang bertutur tidak kurang daripada 32 bahasa seperti Bahasa Iban, Bidayuh, Melanau dan Orang Ulu. Kesemuanya terdapat sebanyak 137 bahasa ibunda yang boleh dibanggakan oleh masyarakat di negara ini. 

Kepelbagaian bahasa yang dituturkan oleh semua kaum ini mewarnai kehidupan masyarakat majmuk di Malaysia.

Namun demikian, walaupun semua bahasa memainkan peranan sosialnya dan kita meraikan semua bahasa, dalam masyarakat berbilang bahasa, ada bahasa yang mendapat keutamaan lebih daripada yang lain. Pertembungan adakalanya akan menyebabkan pengekalan dan peralihan kepada sesuatu bahasa itu sendiri. 

Peralihan bahasa (language shift) adalah fenomena linguistik yang menarik dan tidak dapat dielakkan terutama dalam masyarakat minoriti yang tinggal di dalam negara yang mengamalkan dasar dwibahasa yang bersandar kepada satu bahasa yang dominan.

Pemodenan yang pesat menyebabkan kesan pergeseran bahasa berbeza daripada satu komuniti bahasa ke satu komuniti bahasa yang lain.

Faktor-faktor yang boleh mendorong kepada pengekalan dan peralihan bahasa antaranya adalah demografi, sosioekonomi, sosiopolitik dan sosial seperti pendidikan, perkahwinan, penghijrahan, sikap dan nilai.  Fenomena globalisasi dan era teknologi maklumat juga memberi kesan terhadap penggunaan isu ini.

Di samping itu, banyak bahasa semakin hilang setiap hari kerana penguasaan beberapa bahasa utama dunia dalam sumber maklumat. Sumber maklumat ialah semua sumber yang menyediakan maklumat, sama ada kandungan teks, bahan audio dan video, imej atau bentuk data lain.

Separuh daripada 6,700 bahasa yang dituturkan pada hari ini di seluruh dunia bakal lenyap sebelum penghujung abad ini jika tiada tindakan segera oleh kerajaan-kerajaan dan komuniti penutur yang terbabit.

Program Bahasa Terancam UNESCO menggerakkan kerjasama antarabangsa untuk memberi tumpuan kepada permasalahan ini di samping menggalakkan penyelesaian inovatif kepada komuniti, pakar dan pihak yang terlibat.

Bahasa adalah manifestasi budaya yang paling berkuasa dan bahasa ibunda adalah lambang bagi budaya seseorang, Oleh itu, ia perlu dipelihara sementara meneruskan proses mempelajari kepelbagaian bahasa ibunda yang lain.

Hal ini adalah bagi memastikan peluang, tradisi, kenangan, cara pemikiran dan eskpresi yang unik serta sumber-sumber yang berharga tidak akan hilang.

Pemeliharaan bahasa boleh berterusan selagi bahasa masih diajar dan dilihat sebagai aspek penting dalam kehidupan berbudaya di sesebuah negara. 

Seorang ahli bahasa bernama Fishman menyarankan agar komuniti penutur bahasa mesti menyokong dan menjalankan aktiviti pemeliharaan bahasa. Ahli bahasa mungkin harus menerima hakikat bahawa sesetengah masyarakat mungkin tidak lagi menjaga bahasa warisan mereka.

Melestarikan bahasa ibunda di Malaysia

Sejarah membuktikan bahawa bahasa Melayu mampu menjadi bahasa lingua franca atau bahasa perantaraan. Pada zaman kegemilangan zaman Kesultanan Melayu Melaka, bahasa Melayu dituturkan oleh semua pedagang dari Arab, China, India dan Eropah.

Ketika itu, bahasa Melayu dianggap sebagai bahasa perpaduan dan bahasa komunikasi antarabangsa. Dianggarkan lebih 300 juta orang di seluruh dunia boleh bertutur dalam bahasa Melayu

Dari aspek sejarah, bahasa Melayu berasal daripada rumpun bahasa Austronesia atau dikenali juga sebagai bahasa Melayu-Polinesia. Bahasa Melayu berkembang menjadi pelbagai dialek yang unik dan tersendiri. 

Pada hari ini, bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan di Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei. Di Malaysia, bahasa Melayu dimartabatkan dalam Perlembagaan Persekutuan (Perkara 152) yang menyatakan bahawa bahasa Melayu ialah bahasa rasmi negara. 

Walaupun bahasa Melayu yang dikenali juga sebagai bahasa Malaysia menjadi bahasa rasmi di negara ini, namun Malaysia cuba sedaya upaya mengekalkan bahasa ibunda yang ada dalam masyarakat.

Kelestarian bahasa ibunda yang ada perlukan sokongan padu semua pihak terutama daripada pihak kerajaan dan juga kelompok yang menuturkan bahasa tersebut. 

Jika bahasa ibunda dianggap sebagai simbol penting identiti sesuatu kumpulan masyarakat terutamanya kumpulan minoriti, maka pengguna bahasa ibunda itu mestilah terus menggunakan dan memelihara bahasa tersebut. 

Sokongan institusi secara amnya akan dapat mempertahankan bahasa kumpulan minoriti ini. Pendidikan, undang-undang dan pentadbiran, agama dan media merupakan domain-domain penting yang masih boleh melestarikan penggunaan bahasa ibunda dan patut diberikan perhatian.

Dari segi pelestarian bahasa ibunda, negara kita terkehadapan. Sebelum wujudnya Hari Bahasa Ibunda Sedunia lagi Malaysia sudah melestarikan bahasa ibunda. Yang paling ketara ialah penjagaan bersistem dan rapi bahasa ibunda kaum Cina dan India sebagai bahasa pengantar pendidikan dan bahasa komunikasi.

Mesej iklan pelbagai bahasa di televisyen juga dapat ditafsirkan sebagai menyarankan kelangsungan bahasa ibunda pelbagai kaum sebagai bahasa komunikasi.

Selain itu, Malaysia komited menjaga bahasa ibunda suku kaum. Tiga bahasa yang mendapat perhatian istimewa dan diajarkan di sekolah ialah bahasa Semai, Iban dan Kadazandusun. Di sekolah rendah, pengajaran ketiga-tiga bahasa ini diperuntukkan 120 minit seminggu dan diajarkan di luar jadual waktu rasmi.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mempunyai peranan melestarikan bahasa suku kaum. Selain menerbitkan buku teks bahasa suku kaum, DBP mempunyai Projek Kajian Kosa Kata Bahasa Sukuan sejak tahun 1985.

DBP sudah menerbitkan 15 buah buku daftar bagi bahasa suku kaum di Sabah. Antara buku yang sudah diterbitkan termasuklah Daftar Kata Bahasa Sukuan Sabah: Bahasa Melayu – Bahasa Murut Tahol  pada tahun 2005 dan Daftar Kata Bahasa Sukuan Sabah: Bahasa Melayu – Bahasa Bajau Sama pada tahun yang sama.

Perkembangan teknologi maklumat telah menjadikan bahasa ibunda dalam dunia inovasi digital semakin kritikal. Penciptaan dan pembangunan perisian, aplikasi dan sumber Internet dalam bahasa ibunda menyumbang kepada pembangunan teknologi dan memudahkan akses kepada maklumat, pendidikan dan perkhidmatan dalam komuniti setempat.

Ia juga boleh membantu mewujudkan pekerjaan dan mengekalkan daya saing dalam pasaran digital global.

Namun, era digital telah membawa cabaran baharu untuk kelestarian bahasa ibunda. Globalisasi dan penguasaan beberapa bahasa utama dalam persekitaran dalam talian boleh menyebabkan kehilangan kepelbagaian linguistik.

Di samping itu, penyebaran pesat teknologi maklumat boleh memberi tekanan kepada bahasa dan budaya tradisional. Mengurangkan penggunaan bahasa ibunda boleh menyebabkan kehilangan warisan bahasa dan identiti budaya.

Justeru, rakyat Malaysia disarankan agar terus meraikan dan cuba seboleh mungkin berusaha mengekalkan bahasa ibunda yang kita tuturkan dan jangan sesekali kita meremehkan kepentingannya.

Kita sepatutnya berbangga dengan bahasa ibunda yang dimiliki dan terus bertutur dengannya walaupun kita menggunakan bahasa lain yang lebih dominan bagi berhubung dengan lebih meluas dalam jaringan kita. Bahasa ibunda adalah budaya bangsa kita, seperti kata pepatah “Bahasa Jiwa Bangsa”.

Nelson Mandela pernah mengungkapkan bahawa, “Jika anda bercakap dengan seseorang dalam bahasa yang difahaminya, ia akan sampai ke otaknya. Jika anda bercakap dengan seseorang dalam bahasa ibundanya, ia akan sampai ke hatinya.” 

Dengan itu, peliharalah bahasa ibunda bangsa kita dan cuba pelajari bahasa ibunda masyarakat lain di negara ini agar kesepaduan dan kasih sayang sesama kita rakyat Malaysia dapat kita hasilkan.

Dr Sabariah Baharun
Ahli Jawatankuasa Pusat
Ketua Kluster Perpaduan Nasional
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

  • 5-7 April 2024
  • Ahmad Shahimi Senawi (0124061444)

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

  • 5-7 April 2024
  • Us Rozi Abu (0103535159)

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

  • 5-7 April 2024
  • Ruzinoor Che Mat (0194726820) Khairussani Farid (0132227380)

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Dr Mohamad Heerwan Peeie (010-9112045)

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Faisal (0129725464) & Nazilah (01110540165)

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

  • 5 - 6 April 2024
  • Faisal (0129725464)

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Ustaz Muhamad Faiz bin Muhd Fadhil 019-4102067

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia