Bagaimana sahabat dan salafussoleh menyambut Ramadan?

Bagaimana Sahabat Dan Salafussoleh Menyambut Ramadan? | IKRAM

Para sahabat Nabi radiallahuanhum menunjukkan contoh yang sangat hebat dalam menyambut bulan Ramadan yang mulia. Diriwayatkan oleh beberapa kisah menerangkan keadaan mereka, antaranya berita gembira yang dibawa oleh Nabi SAW dengan tibanya Ramadan.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda:

“Telah datang kepada kamu Ramadan suatu bulan yang diberkati. Allah memfardukan ke atas kamu berpuasa, dibuka padanya pintu-pintu langit, ditutup padanya pintu-pintu neraka, dibelenggu padanya syaitan-syaitan. Demi Allah, padanya terdapat satu malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan, barang siapa yang disekat daripada mendapatkan kebaikannya, maka dia benar-benar rugi.” (HR Nasa’i) [1]

 1. Mencari hilal (anak bulan)

Para sahabat RA sentiasa berusaha melihat hilal bulan Ramadan. Mereka keluar pada awal malam mengharapkan dapat melihatnya kerana jiwa mereka amat merindui Ramadan. Hati mereka telah bersiap menyambutnya. Mencari hilal menunjukkan betapa rindunya mereka terhadap bulan Ramadan. Itulah antara sunnah yang sampai kepada kita.

 2. Menggantikan puasa

Antara persediaan untuk menyambut Ramadan ialah mengqadakan puasa yang ditinggalkan sebelum tibanya Ramadan berikutnya. Disebutkan bahawa Ummul Mukminin Aisyah RA bahawa dia telah menggantikan semua puasanya pada bulan Syaaban. Imam Bukhari meriwayatkan dalam sahihnya bahawa Aisyah RA berkata:

كانَ يَكونُ عَلَيَّ الصَّوْمُ مِن رَمَضَانَ، فَما أسْتَطِيعُ أنْ أقْضِيَ إلَّا في شَعْبَانَ

“Saya menanggung beberapa hari puasa Ramadan (lepas), saya tidak beruapaya menggantikannya kecuali pada bulan Syaaban.” [2]

 3. Doa

Para sahabat RA amat mengambil berat mempersiapkan diri untuk menyambut Ramadan dengan memperbanyakkan doa kepada Allah enam bulan sebelum agar Allah memanjangkan usia mereka ke Ramadan berikutnya.

Kemudian mereka berdoa lagi kepada Allah pada enam bulan berikutnya agar Allah menerima ibadat puasa dan ketaatan mereka. Demikianlah para sahabat menjadikan sepanjang tahun itu seolah-olah menjadi Ramadan. [3]

Antara doa yang sampai kepada kita daripada para sahabat berkaitan persediaan mereka menyambut Ramadan ialah doa Umar ibn Khattab RA:

اللهمَّ زِدْنا ولا تَنقُصْنا وأَكرِمْنا ولا تُهِنَّا وأَعطِنا ولا تَحرِمْنا وآثِرْنا ولا تُؤثِرْ علينا وارضَ عنَّا وأَرضِنا

“Ya Allah! Tambahkan kami, jangan Engkau kurangkan. Muliakan kami, jangan Engkau hinakan, Kurniakan (nikmat) kepada kami, jangan haramkan kami (mendapatkanya). Berilah kelebihan kepada kami, jangan (sebaliknya) Engkau tidak memperdulikan kami. Radhailah kami dan jangan Engkau jadikan kami hilang perasaan redha (terhadap) ketentuan Engkau.” [4]

Usaid bin Abi Talib RA pernah berdoa:

اللهمَّ أحسنْ عاقبتَنَا في الأمورِ كلِّها، وأجرْنَا منْ خِزْيِ الدنْيَا وعذابِ الآخرةِ

“Ya Allah! Perelokkanlah buat kami akibat segala sesuatu, kurniakan ganjaran baik kepada kami di atas kesusahan dunia dan daripada azab di akhirat.” [5]

Husain bin Ali RA pernah berdoa: [6]

اللَّهمَّ اهدِنا فيمَنْ هدَيْتَ وعافِنا فيمَنْ عافَيْتَ وتولَّنا فيمَنْ تولَّيْتَ وبارِكْ لنا فيما أعطَيْتَ وقِنا شرَّ ما قضَيْتَ إنَّك تَقضي ولا يُقضَى عليكَ إنَّه لا يذِلُّ مَن والَيْتَ تبارَكْتَ وتعالَيْتَ

4. Memperbanyakkan puasa pada bulan Syaaban

Bulan Syaaban adalah mukaddimah bagi bulan Ramadan. Disunatkan kita memperbanyakkan puasa, tilawah al-Quran dan ibadat-ibadat lain lagi sebagai galakan dan persediaan untuk bulan Ramadan yang bakal tiba. Ia mendidik agar jiwa terbiasa mentaati Allah Taala.

Nabi SAW memperbanyakkan puasa pada bulan Syaaban kerana katanya disebabkan kebanyakan orang alpa daripada berpuasa pada bulan ini. Nabi SAW bersabda berkenaan puasa pada bulan Syaaban ini:

ذلِكَ شَهْرٌ يَغفُلُ النَّاسُ عنهُ بينَ رجبٍ ورمضانَ ، وَهوَ شَهْرٌ تُرفَعُ فيهِ الأعمالُ إلى ربِّ العالمينَ ، فأحبُّ أن يُرفَعَ عمَلي وأَنا صائمٌ

 “Yang demikian kerana ia merupakan bulan yang dilupai oleh manusia di antara Rejab dan Ramadan. Ia adalah bulan di mana diangkat padanya segala amalan kepada Allah Tuhan semesta Alam, maka aku suka agar amalanku diangkat sedang aku berpuasa.” [7]

Sebagaimana Nabi SAW laksanakan, begitu juga golongan salafussoleh juga sentiasa melakukan persediaan menyambut bulan Ramadan dengan melakukan amalan-amalan soleh di samping doa di atas. Imam Bukhari meriwayatkan daripada Aisyah RA katanya:

لَمْ يَكُنِ النبيُّ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ يَصُومُ شَهْرًا أكْثَرَ مِن شَعْبَانَ

“Nabi SAW tidak pernah berpuasa dengan banyaknya selain daripada bulan Syaaban.” (HR Bukhari) [8]

Diceritakan bahawa Ammar bin Yasir RA bersedia untuk berpuasa pada bulan Syaaban sama sepertimana dia bersedia untuk bulan Ramadan.

5. Taubat nasuha

Seorang hamba Allah itu sepatutnya sentiasa memuhasabah dirinya, sentiasa bertaubat dan kembali kepada Allah Azzawajalla, kemudian memelihara taubatnya itu dengan teguh. Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّـهَ وَلْتَنظُرْ نَفْسٌ مَّا قَدَّمَتْ لِغَدٍ وَاتَّقُوا اللَّـهَ إِنَّ اللَّـهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi PengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan.” (Surah al-Hasyr: 18)

 

Allah memerintahkan hamba-hamba-Nya melihat amalan yang telah dilakukannya, memuhasabah diri sebagai persediaan untuk hari penghisaban. Ia sebagai syarat kesejahteraan mereka daripada azab di akhirat. [9]

Zubair bin Bakkar menceritakan bahawa sahabat Nabi SAW bernama Suhail melakukan solat, puasa dan sedekah dengan banyaknya. Dikatakan bahawa dia sentiasa berpuasa, bertahajud pada waktu malam sehingga pucat mukanya dan banyak menangis ketika mendengar Quran dibacakan. [10

6. Memperbanyakkan membaca al-Quran

Salamah bin Kuhail mengatakan bahawa bulan Syaaban merupakan bulan Qurra’ (bacaan Quran). Habib bin Abi Thabit menyebutkan pada permulaan bulan Sya’aban: “Ini adalah bulan pembacaan Al-Quran.”

Amru bin Qais memperuntukkan sepenuh masanya untuk membaca al-Quran[11]. Zubair al-Yami mengumpulkan para sahabat RA dan berlumba-lumba membaca al-Quran dan mengkhatamkannya lebih daripada sekali.

 7. Memperbanyakkan amalan-amalan sunat

Golongan salafussoleh RA amat mengambil berat menunaikan ibadat nawafil seperti puasa sunat dan sebagainya. Imam Syatibi dalam Kitabnya Al-Muwafaqat menyatakan bahawa ibadat nawafil dan perkara sunat yang lain dikira sebagai landasan untuk masuk kepada ibadat fardu, ia juga sebagai penyempurnaan untuk mendapatkan reda Allah Azzawajalla.[12]

 8. Ithar (mengutamakan orang lain)

Majoriti golongan salafussoleh RA mengutamakan orang lain bila berbuka puasa pada bulan Ramadan. Contohnya Abdullah bin Umar, Daud At-Tai’e, Malik bin Dinar, Ahmad bin Hambal. Diberitakan bahawa Ibn Umar RA tidak berbuka melainkan bersama orang miskin dan anak-anak yatim.[13]

 9. Qiamullail

Antara contoh penting dalam masalah qiamullail ialah amalan Othman Ibn Affan RA di mana dia membaca Al-Quran lengkap 30 juzuk dalam satu malam. [14]

 10. Memahami kepentingan bulan Ramadan

Seorang Muslim mesti memahami betapa pentingnya mempersiapkan diri untuk menyambut bulan Ramadan bermula seawal bulan Rejab dan Syaaban lagi dengan pelbagai ibadat demi mendekatkan diri kepada Allah SWT. Berkata seorang salaf:

“Solat itu akan menyampaikan tuannya ke setengah jalan, puasa akan menyampaikannya ke pintu Tuhan al-Malik dan sedekah pula akan memimpin tangannya memasuki berjumpa Tuhan al-Malik.” [15]

12. Kemurahan dan kemuliaan

Kemurahan adalah antara sifat yang mendatangkan kehidupan yang baik dan seorang hamba itu akan diganjari dengan sebabnya kebaikan yang melimpah ruah. Pemberiaan bukan sahaja daripada harta, bahkan ia lebih luas.

Diriwayatkan daripada salaf bahawa Qais bin Saad bin Ubadah dikenali seorang yang amat pemurah. Ketika dia sakit, manusia lambat menziarahinya, lalu ditanya sebabnya.

Mereka menyatakan disebabkan mereka malu kerana banyak berhutang dengannya, lalu dia arahkan seseorang mengiklankan bahawa Qais telah memaafkan mereka semua. [16]

13. Tekun bekerja

Golongan salafussoleh RA amat menitikberatkan kualiti kerja dan menggesa manusia melakukan demikian. Kerja sedikit yang berkualiti lebih baik daripada banyak yang tidak berkualiti.

Diriwayatkan daripada Ibn Abbas RA mengatakan bahawa solat dua rakaat dengan khusyuk dan penuh tafakur lebih afdal daripada qiamullail semalaman penuh tanpa tafakur dan tadabbur. [17]

Dinyatakan bahawa Ummul Mukminin Aisyah RA sentiasa melazimi sesuatu kerja sehingga menghasilkan yang terbaik. [18]

 14. Khulwah dengan Allah

Bulan Ramadan adalah bulan kerohanian dan tawajjuh kepada Allah Taala. Para sahabat RA mengucapkan selamat tinggal antara satu sama lain bila memasuki bulan Ramadan kerana Ramadan adalah bulan ibadah, qiam, puasa dan khulwah (mengasingkan diri untuk fokus beribadat) dengan Allah Subhanahuwataala. [19]

 15. Memberi makan:

Ini adalah sebesar-besar pintu kebaikan. Nabi SAW telah menggesa berbuat demikian. Ali bin Abi Talib RA berkata:

“Bahawa aku mengumpulkan manusia dalam kalangan sahabatku memakan segantang makanan (gandum) lebih aku sukai daripada aku keluar ke pasar lalu aku membeli seorang hamba untuk dibebaskan.” [20]

 16. Berlapang dada

Sepatutnya seorang Islam itu berusaha menghadap Allah dan menumpukan perhatian kepada-Nya pada bulan Ramadan ini.

Sibukkan diri kamu bersama Allah dan hindarkan diri daripada perbalahan dan kebencian sesama manusia yang pastinya akan membawa kesan yang sangat buruk; antaranya menjadi faktor Allah tidak menerima amalan-amalan hamba.

Dalam Sahih Muslim diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda:

 تُفْتَحُ أبْوابُ الجَنَّةِ يَومَ الإثْنَيْنِ، ويَومَ الخَمِيسِ، فيُغْفَرُ لِكُلِّ عَبْدٍ لا يُشْرِكُ باللَّهِ شيئًا، إلَّا رَجُلًا كانَتْ بيْنَهُ وبيْنَ أخِيهِ شَحْناءُ، فيُقالُ: أنْظِرُوا هَذَيْنِ حتَّى يَصْطَلِحا، أنْظِرُوا هَذَيْنِ حتَّى يَصْطَلِحا، أنْظِرُوا هَذَيْنِ حتَّى يَصْطَلِحا.

“Dibukakan pintu-pintu syurga pada setiap hari Isnin dan khamis, maka diampunkan semua hamba yang tidak mensyirikkan sesuatu dengan Allah kecuali lelaki yang menaruh dendam terhadap saudaranya. Maka dikatakan: Tunggulah untuk kedua orang itu sehingga mereka berbaik semula (diulang sebanyak 3 kali).” [21]

Maka menjadi kewajipan seorang Islam untuk menyambut Ramadan dengan jiwa yang suci bersih daripada kebencian dan perbalahan dan menghiaskan diri dengan akhlak yang baik seperti yang dianjurkan oleh Islam dengan menghubungkan silaturahim, berbuat kebaikan dan ziarah menziarahi dengan wajah yang penuh keceriaan.

Ustaz Tajul Arifin Che Zakaria, YDP IKRAM Putrajaya

Rujukan: 

[1] Sahih an-Nasa’i (No: 2105)

[2] Sahih al-Bukhari (No. 1950)

[3] Asrar al-Muhibbin fi Ramadan (2005), Muhammad bin Husain al-Misri, Hlm 42-43

[4] Musnad Ahmad (No. 124/1)

[5] Al-Jami’ al-Saghir, Imam al-Suyuti (No. 1450)

[6] Sahih Ibn Hibban (No. 722)

[7] Sahih an-Nasa’I (No. 2356)

[8] Sahih al-Bukhari (No. 1970)

[9] Madarij al-Salikin Baina Manazil Iyyaka Na’budu Waiyyaka Nasta’in, Ibn Qayyim al-Jauziyyah, Hlm 187

[10] Siyar A’lam al-Nubala’, Shamsuddin al-Dzahabi, Hlm. 195

[11] Nida’ al-Rayyan fi Fiqh al-Saum wa Fadhl Ramadan, Sayyid al-‘Afani, Hlm 480

[12] Al-Qawa’id al-Hasan di Asrar al-Tho’ah wa al-Isti’dad li Ramadan, al-Mu’taz billah Somadi, Hlm 17

[13] Dalil al-Wa’izh ila Adillah al-Mawa’izh, Shahatah Muhammad Saqr

[14] Durus li al-Syeikh Nabil al-‘Audhi, Hlm 6 (Juz 4)

[15] Asrar al-Muhibbin fi Ramadan (2005), Muhammad bin Husain al-Misri, Hlm 48

[16] Durus Ramadan, Muhammad al-Hamd, Hlm 107

[17] Hatta La Tukhsir Ramadan, Majdi al-Hilali, Hlm 3

[18] Al-Asas fi al-Sunnah wa Fiqhiha, Sa’id Hawwa, Hlm 3444

[19] Hatta La Tukhsir Ramadan, Majdi al-Hilali, Hlm 8

[20] Madza Nurid min Ramadan, Majdi al-Hilali, Hlm 13

[21] Sahih Muslim (No. 2565)

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia