Peserta mulai berkumpul seawal jam 8.00 pagi dan majlis dimulai dengan ucapan aluan oleh Pengerusi IKRAMTeens Negeri Sembilan, Sdr Abdullah DinSuhaimi. Sesi taaruf bersama fasilitator berlangsung sambil para peserta menikmati sarapan pagi yang disediakan. Seramai 20 orang peserta putera dan puteri telah mengambil bahagian pada program kali ini. Penekanan mengenai pentingnya mengenali sahabat yang baik diterjemahkan dalam aktiviti seterusnya iaitu Taaruf Game. Rata-rata para peserta begitu teruja mengenali, memahami dan berkongsi perasaan dan pengalaman bersama sahabat baru mereka.
Tazkirah ringkas oleh Sdr Mohd Noor mengenai “Kepentingan Sahabat yang Soleh” telah membuka dimensi baru di minda para peserta bahawa sahabat adalah faktor penentu keperibadian diri mereka. Seterusnya para peserta dibahagikan kepada 4 kumpulan dan bermulalah misi adventure mereka. Permainan “Ringan tapi Berat” dan “Masukkan Pen ke dalam Botol” mendidik dan menguji sifat kerjasama sesama peserta dalam menyelesaikan tugasan tersebut. Pelbagai ragam dan telatah ceria terzahir sepanjang aktiviti ini berlangsung.
Suasana ceria di Taman Tasik dihangatkan lagi dengan aktiviti yang lebih mencabar kemampuan para peserta dalam bekerjasama sebagai satu kumpulan iaitu Explorace Tasik. Peranan seorang ketua, kebijaksanaan pengetahuan dan kemampuan mengatur strategi merupakan adunan utama yang perlu diperlihatkan oleh peserta dalam menamatkan cabaran Explorace ini. Aktiviti tamat tepat jam 12.00 tengahari.
Majlis penutup dan panyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Ketua Pemuda IKRAM Negeri Sembilan iaitu Saudara Mohd Zailan Mohd Munawar. Majlis selesai pada jam 12.30 tengahari. Semoga program ini dapat memberi tonik dan momentum yang baru kepada para peserta dalam menjalani kehidupan sebagai seorang pelajar muslim dan seterusnya berjaya di dunia dan akhirat. Semoga para peserta “menyerlah jauh daipada biasa.”