Awas Kluster Perosak Agama!

Awas Kluster Perosak Agama! | IKRAM

Mutakhir ini, kita dihidangkan dengan berita beberapa suara karyawan seni tanah air yang menzahirkan rasa bimbang dan kecewa dengan golongan pempengaruh atau disebutkan sebagai influencer yang kian ramai tumbuh di pelbagai laman media sosial khususnya aplikasi TikTok.

Ada yang melahirkan rasa ketidakpuasan hati dengan sebahagian pempengaruh yang menghasilkan dan menyanyi lagu yang boleh merosakkan industri seni tanah air.

Kebimbangan ini juga tidak sekadar berputar pada industri dunia seni semata-mata. Malah dalam urusan agama juga, kita berdepan dengan golongan yang kian tumbuh bagai cendawan berlagak seperti para mufti, pak ustaz dan ustazah ’segera’, suka memberi fatwa tersendiri tanpa bersandarkan ilmu. Perkara ini bukanlah suatu perkara baharu.

Namun, dengan kecanggihan dan kemajuan teknologi pada hari ini, membantu lagi pertumbuhan golongan ’ustaz segera’ ini yang lagak dan gayanya seolah-olah serba-serbi tahu, melingkupkan pengikutnya yang kurang tahu tentang agama.

Bukan penampilan yang kita pertikaikan. Jauh lebih penting daripada itu adalah soal intipati ucapan mereka dan jawapan ‘fatwa ekspres’ mereka yang ditularkan yang antara padanya terdapat hadis palsu, memetik kalam guru itu dan ini, memberikan petua yang bukan-bukan dan ini semua adalah perosak kepada agama.

Malang lagi, apabila masyarakat diajar untuk tidak bertanyakan dalil, secara tidak langsung, kita telah menanam sifat malas berfikir dan mengkaji sesuatu perkara. Tidak hairanlah ada yang sanggup label-melabel bagi memberikan gambaran buruk kepada mereka yang suka bertanyakan dalil sebagai sumber rujukan.

Ruwaibidhah

Sebelum daripada itu, ketika baginda Nabi SAW masih hidup, baginda pernah menyatakan akan kewujudan golongan Ruwaibidhah. Perkara ini sepertimana yang terdapat dalam sebuah hadis riwayat Ibnu Majah (No. 4036, Hadis Hasan), Abu Hurairah r.a. meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh dengan penipuan dan tipu daya, kata-kata pendusta dibenarkan (dipercayai) dan didustakan percakapan orang yang benar, diberi amanah kepada pengkhianat dan dikhianati orang-orang yang amanah. Kemudian akan berkatalah golongan al-Ruwaibidhah. Baginda SAW ditanya: Siapakah golongan al-Ruwaibidhah? Maka baginda menjawab: Orang yang bodoh lagi fasik berbicara (mengurus) berkaitan perkara umum yang besar.”

Berkenaan perkataan al-Ruwaibidhah, para ulama berbincang tentang maksud yang dikatakan Ruwaibidhah. Imam Ahmad dalam kitab hadisnya Musnad Ahmad, beliau menyatakan bahawa Ruwaibidhah itu adalah orang yang bodoh bercakap perkara umum.

Imam al-Syatibi pula dalam kitab al-‘Itisham menyatakan bahawa Ruwaibidhah adalah orang yang bodoh dan keji bercakap berkaitan perkara umum sedangkan dia bukan ahli dalam perkara tersebut tetapi masih ingin bercakap.

Demikian pentakrifan al-Ruwaibidhah yang dijelaskan oleh para ulama. Ringkasnya, golongan ini adalah mereka yang bodoh dan suka bercakap tanpa mempunyai pengetahuan dan kefahaman yang jelas.

Bentuk Perosak Agama

Perosak agama boleh datang dengan pelbagai bentuk seperti al-Qussas (penglipur lara), liberalis (kebebasan tanpa sempadan) dan radikal (jumud dan sempit).

Kesemua golongan ini dengan manhaj songsang masing-masing tidak dapat lari daripada sikap berdusta atas nama agama dan menunggang agama dengan berdusta atas nama Nabi. Dalam sebuah hadis riwayat Bukhari (No. 110), sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Sesiapa yang berdusta atas namaku dengan sengaja, maka siaplah tempatnya di dalam neraka.”

Berdusta atas nama Nabi SAW dengan menyebarkan hadis-hadis palsu dengan sengaja adalah jenayah besar dan penyelewengan yang meruntuhkan intipati agama. 

Akibat sebaran hadis palsu ini, ia bukan sahaja boleh mengundang murka Allah dan Nabi SAW, bahkan boleh merosakkan kepercayaan dan amalan orang Islam. Oleh itu, hidup mesti berdiri diatas ilmu yang sahih.

Al-Qussas

Antara perosak agama adalah seperti al-Qussas (penglipur lara). Golongan ini juga merosakkan agama dengan menyampaikan cerita-cerita dongeng, tidak sahih, tiada asasnya dalam agama dan seumpamanya.

Lebih-lebih lagi apabila mereka dapat menyampaikan cerita dan kisah yang boleh memukau para pendengar kuliah mereka sehingga ke tahap khayal dan merosakkan akal. Bahkan sebahagian kisah yang disebarkan telah menyalahi fakta sejarah sebenar. 

Daripada golongan ini, maka tidak pelik jika timbul pelbagai dakwaan karut seperti Nabi Adam turun ke Gunung Jerai, menara firaun 15 kilometer, pedang Nabi ditempa di Kedah dan sebagainya.

Liberalis

Selain itu, terdapat juga sebahagian golongan yang menggelarkan diri mereka sebagai liberalis dan modernis, juga telah merosakkan agama dengan menimbulkan pelbagai keraguan terhadap syariat Islam seperti syariat poligami, pembahagian faraid, syariat bertudung menutup aurat dan sebagainya. 

Atas nama hak kebebasan bersuara dan hak asasi manusia, ideologi songsang meresap masuk ke dalam akal mereka sehingga berfikir mendahului intipati agama.

Menggunakan akal adalah sesuatu yang dituntut dalam beragama. Namun berfikir dengan mengabaikan disiplin ilmu, sesuka hati mentafsirkan ayat al-Quran dan hadis, maka binasalah intipati ajaran agama di tangan mereka ini.

Radikal

Berlawanan dengan golongan liberalis, adalah golongan radikal yang berpaksikan kepada pemikiran jumud dan sempit dalam memahami agama. Disebabkan terlalu radikal, penyelewengan atas nama jihad fi sabilillah berleluasa sehingga menghalalkan darah yang haram dibunuh.

Golongan ini terpengaruh dengan pemahaman di luar konteks berkenaan jihad, terlalu sempit memahaminya sehingga akhirnya menatijahkan sikap radikal melampau hingga melebihi batasan syarak.

Maka, muncullah pelbagai gerakan gerila, seruan daulah khilafah dan sebagainya. Tidak berpijak di bumi yang nyata, kejumudan ini membuahkan kehancuran umat manusia untuk memahami intipati ajaran sebenar.

Demikian beberapa golongan dan kelompok yang harus kita hadapi pada waktu dan ketika ini. Pembela kebenaran bukan sahaja berdepan dengan golongan seperti ini, bahkan bakal berdepan dengan bongkah ketaasuban yang melampau, sehingga ada yang hingga tahap memaksumkan pandangan guru mereka.

Kita juga sedang dan akan berhadapan dengan barah kejahilan dan kemalasan berfikir, yang akibatnya akan membuat masyarakat menelan apa sahaja yang dibicarakan oleh mereka yang berperwatakan alim, bijak berkata-kata dan sebagainya.

Semoga Allah menjauhi kita semua daripada menjadi sebahagian golongan perosak agama ini.

Muhammad Faidhi Azis
Ketua Rakan Hidayah Perlis

Penafian: Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian IKRAM.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia