Apa Itu Islam? – Panduan Mudah Dakwah Non-Muslim

Apa Itu Islam? - Panduan Mudah Dakwah Non-Muslim | IKRAM

Tugas menyampaikan mesej Islam kepada masyarakat terutamanya mereka yang bukan Islam (non-Muslim) adalah menjadi tanggungjawab kepada semua Muslim. Tugas ini bukanlah terbeban kepada golongan ‘ustaz’ dan ‘ustazah’ sahaja.

Dalam al-Quran, begitu banyak ayat yang menuntut kita untuk berdakwah dan berkongsikan keindahan Islam sebagai agama rahmat buat semua manusia.

Persediaan untuk memberikan penjelasan mengenai Islam kepada bukan Muslim adalah suatu aspek yang perlu diberikan perhatian.

Seseorang Muslim itu perlu bersedia pada bila-bila masa untuk menyampaikan mesej Islam kerana di sekeliling kita sebenarnya ada ramai bukan Muslim yang sedang ternanti-nanti akan penerangan mengenai Islam daripada kita.

Lebih penting lagi ialah bagaimana untuk kita sampaikan ajaran Islam secara mudah dan berkesan kepada mereka yang mungkin pada waktu itu sedang mencari kebenaran.

Bayangkan jika tidak semena-mena ada seorang bukan Islam datang kepada kita dan bertanyakan, “Boleh anda jelaskan kepada saya, apa itu Islam?”

Agaknya apa reaksi kita pada waktu itu? Terkejut? Terdiam sebentar? Tergaru-garu kepala yang tidak gatal? Dan akhirnya kita berikan jawapan ini, “Oh saya tidak tahu untuk menjawab soalan ini.”

Jika soalan yang ditanya oleh mereka adalah seperti “Mengapa lelaki Islam boleh berkahwin lebih daripada seorang perempuan?” atau “Mengapa wanita Islam perlu memakai hijab?” atau “Mengapa agama Islam menggalakkan keganasan?”, tidak mengapa jika kita katakan kepada mereka bahawa kita tidak tahu untuk menjawabnya.

Ia adalah isu-isu mengenai syariat Islam yang perlu kita ada ilmu yang sesuai untuk merungkainya. Jika berikan jawapan dalam keadaan kita tiada ilmu, takut-takut mereka akan lebih keliru tentang agama Islam.  

Namun, jika soalan yang ditanyakan oleh mereka ialah “Apa itu Islam?”, agak tidak patut jika kita katakan tidak tahu untuk menjawabnya.

Ia adalah satu soalan asas yang perlu seseorang itu ada pengetahuan untuk menjelaskannya, lebih-lebih lagi bagi kita yang sudah lama menganut agama Islam. 

Selain itu, aktiviti dakwah di lapangan yang kerap kami laksanakan saban minggu di tempat-tempat awam juga memerlukan untuk bersedia memberikan penerangan mengenai Islam kepada bukan Muslim.

Dalam aktiviti ini, kita bukan sahaja mendapatkan pandangan bukan Muslim mengenai Islam berdasarkan tema yang ditetapkan (contoh tema ialah ketuhanan, Nabi Muhammad, al-Quran, puasa dan sebagainya).

Malah kadangkala kita dihujani soalan dan maklum balas daripada bukan Muslim yang jelas menampakkan mereka mempunyai salah faham tentang agama Islam. 

Lebih menarik, tidak kurang juga dalam kalangan mereka yang berminat dan bersedia untuk mendengar lebih lanjut mengenai Islam.

Definisi Islam

Baik, mari kita kembali kepada persoalan asal: Apa itu Islam?

Di sini saya akan kongsikan jawapan kepada soalan ini berdasarkan definisi perkataan Islam itu sendiri. Jawapan tersebut boleh kita berikan kepada kepada bukan Muslim secara ringkas dan mudah difahami.

Islam adalah perkataan Arab yang berasal daripada beberapa kata akar, antaranya ialah ‘aslama’.

Dari segi bahasa, aslama bermaksud tunduk, patuh dan berserah diri. Maka Islam boleh difahami sebagai kepatuhan dan penyerahan diri kepada Allah.

Islam juga berasal daripada kata akar ‘salima’. Dari segi bahasa, salima bermaksud suci, tulen, sahih dan selamat. Daripada pengertian ini, Islam boleh diertikan sebagai menurut jalan yang sahih dan selamat, iaitu al-Quran dan sunnah.

Selain itu, Islam juga berasal daripada kata akar ‘salam’.  Dari segi bahasa, salam ialah aman, bahagia, tenteram dan harmoni. Maka Islam boleh disimpulkan sebagai agama yang menjamin keamanan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Justeru, untuk menjelaskan pengertian Islam secara mudah kepada bukan Muslim, daripada kata akar aslama, salima dan salam, Islam boleh didefinisikan sebagai “tunduk, patuh dan berserah diri kepada Allah menurut cara yang ditunjukkan oleh al-Quran dan sunnah bagi menjamin kebahagiaan di dunia dan akhirat.”

Penjelasan Lanjut

Namun jangan berhenti setakat itu. Sebolehnya kita berikan penjelasan lebih lanjut mengenai Islam jika mereka sudi untuk mendengar.

Semoga dengan penjelasan yang kita berikan secara berhemah dan berhikmah, mereka akan lebih memahami ajaran Islam yang sebenar dan dengan kuasa Allah, terbuka pintu hati mereka untuk menerima Islam sebagai cara hidup mereka. 

Maka, jika seorang bukan Islam bersedia untuk mendengar penjelasan lebih lanjut mengenai Islam, apakah perkara mengenai Islam yang perlu kita dahulukan? Sudah pasti perkara tersebut adalah mengenai akidah Islam itu sendiri.

Kita jelaskan kepada mereka mengenai aspek keimanan kita kepada Allah, keimanan  kepada kitab al-Quran, keimanan kepada rasul-rasul dan keimanan kepada hari akhirat yang menjadi sebahagian daripada kepercayaan kita sebagai Muslim seperti yang terkandung dalam Rukun Iman. 

Pertama, kita berikan penjelasan mengenai keimanan kepada Allah. Ia adalah topik yang paling penting kerana isi kandungan al-Quran sendiri paling banyak menceritakan tentang Allah, malah ia adalah rukun pertama dalam Rukun Iman. 

Selain itu, ia juga terkandung dalam lafaz dua kalimah syahadah yang merupakan pintu masuk kepada agama Islam. 

Untuk menjelaskan Islam kepada bukan Muslim yang tidak beragama atau tidak mempercayai Tuhan, kita haruslah terlebih dahulu memberikan penerangan tentang kewujudan Tuhan.

Justeru, untuk membuktikan kewujudan Tuhan, kita boleh menggunakan analogi yang sesuai, misalnya arus elektrik.

Walaupun kita tidak dapat melihat arus elektrik, namun manusia itu boleh mengesan kewujudannya apabila ada alat elektrik seperti kipas angin, pendingin hawa atau televisyen berfungsi dalam sesebuah bangunan. Tidak mungkin alat-alat tersebut boleh berfungsi jika bangunan itu ketiadaan bekalan elektrik.

Kewujudan Tuhan

Dengan hujah itu kita kaitkan pula dengan kewujudan Tuhan. kita yakin Tuhan itu wujud apabila kita berfikir mengenai penciptaan dan perjalanan alam semesta ini. 

Kita perhatikan apa yang ada di langit dan di bumi, malah kita perhatikan diri kita sendiri. Tidak mungkin semua ini boleh wujud dengan sendirinya tanpa ada kuasa yang Maha Besar yang mencipta dan mentadbirnya dengan begitu hebat. Inilah bukti kewujudan Tuhan dalam hidup kita. 

Firman Allah dalam al-Quran:

“Sesungguhnya pada pertukaran malam dan siang itu dan pada apa yang diciptakan Allah di langit dan di bumi, benar-benar terdapat tanda-tanda (kekuasaan-Nya) bagi orang yang bertakwa.” (Yunus 10 : 6)

Kepada mereka yang beragama namun bukan dalam agama Islam, kita harus jelaskan pula tentang konsep keesaan Tuhan. Sekali lagi kita boleh menggunakan hujah analogi, yang mana kita ajak mereka berfikir tentang persoalan berikut: 

“Bolehkah sebuah sekolah ditadbir oleh dua orang Pengetua?” atau “Bolehkah sebuah syarikat mempunyai tiga orang CEO?” atau “Bolehkah sebuah negara diperintah oleh lebih daripada seorang Presiden?” 

Secara normal adalah tidak logik jika sesebuah organisasi mempunyai lebih daripada seorang ketua. Apa akan terjadi jika berlaku hal sedemikian?

Pastilah akan berlaku kepincangan dan huru-hara dalam pentadbiran organisasi tersebut memandangkan setiap ketua ingin kehendak masing-masing dipenuhi, lebih-lebih lagi jika kehendak mereka bertentangan antara satu sama lain.

Maka, jika kembali berfikir tentang alam semesta ini dan perkaitan yang unik dan teliti di antara bahagian-bahagiannya, kita dapat mengetahui bahawa ia telah dirancang dengan mengikut hanya satu kehendak Tuhan, bukannya kehendak dua pencipta yang mempunyai kehendak yang bertentangan.

Hingga kini planet bumi tetap kekal beredar di orbitnya yang menyebabkan kelancaran pertukaran malam dan siang. Sel-sel di dalam tubuh manusia juga menjalankan aktiviti masing-masing secara sistematik.

Semua itu hanya boleh berlaku dengan kehendak satu-satunya Tuhan yang mentadbir alam semesta ini. Kita fikirkan lagi, apa akan berlaku jika terdapat lebih daripada satu ‘Tuhan’? Pastilah alam semesta ini telah lama hancur binasa. 

Firman Allah dalam al-Quran:

“Kalau ada di langit dan di bumi tuhan-tuhan yang lain daripada Allah, nescaya rosaklah pentadbiran kedua-duanya. Maka (bertauhidlah kamu kepada Allah dengan menegaskan): Maha Suci Allah, Tuhan yang mempunyai Arasy, daripada apa yang mereka sifatkan.” (Al-Anbiya’ 21 : 22)

Dosa Syirik

Dalam hal ini juga kita harus jelaskan tentang dosa syirik, iaitu perbuatan menyembah tuhan-tuhan yang lain selain Allah. Menurut Islam, syirik adalah satu-satunya dosa yang Allah tidak ampunkan.

Walau sebaik mana seseorang itu dalam kehidupannya di dunia ini, namun jika dia mempunyai tuhan selain Allah dan menolak untuk bersama dalam agama Islam, dia akan mendapat balasan neraka di hari akhirat kelak.

Firman Allah dalam al-Quran:

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik, dan Dia mengampuni segala dosa selain syirik bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Barang siapa mempersekutukan Allah, maka sungguh ia telah berbuat dosa yang besar.” (An-Nisaa’ 4 : 48)

Kitab al-Quran

Seterusnya, kita jelaskan mengenai kitab al-Quran. Al-Quran adalah wahyu yang diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad SAW secara beransur-ansur selama 23 tahun selepas baginda diangkat menjadi rasul.

Ia adalah kitab yang penuh mukjizat dan kekal terpelihara ayat-ayatnya sehingga kini, tanpa ada perubahan walaupun satu huruf.

Al-Quran adalah manual lengkap yang membimbing manusia untuk mengenal Allah dan cara yang betul untuk menyembah-Nya dan mengamalkan ajaran Islam dalam pelbagai aspek kehidupan.

Sejak dahulu hingga sekarang, ramai orang bukan Islam memeluk agama Islam disebabkan mukjizat yang terkandung dalam al-Quran. 

Sebelum al-Quran, Allah telah menurunkan kitab-kitab lain seperti Taurat, Zabur dan Injil. Namun kitab-kitab tersebut telah lenyap kerana Allah tidak memeliharanya, malah ajaran kitab-kitab tersebut hanya relevan kepada kaum, tempat dan waktu ia diturunkan sahaja.

Al-Quran adalah kitab terakhir yang diturunkan Allah untuk menjadi panduan kepada sekalian manusia hingga akhir zaman. 

Firman Allah di dalam Al-Quran:

“Al-Quran ini tidak lain hanyalah peringatan bagi semesta alam.” (Sad 38 : 87)

Keimanan

Kemudian, kita jelaskan pula tentang keimanan kepada Nabi Muhammad SAW. Baginda adalah nabi dan rasul terakhir yang membawa ajaran yang sama sebagaimana ajaran rasul-rasul sebelum baginda, iaitu mengajak manusia untuk menyembah Allah yang Maha Esa. 

Selain itu, baginda juga adalah seorang manusia yang terkenal dengan akhlak yang mulia dalam kalangan kawan dan lawan baginda sehingga digelar ‘Al-Amin’ yang bermaksud ‘Yang Dipercayai.’

Ketinggian akhlak baginda ini turut dipuji oleh Allah di dalam kitab al-Quran yang mulia:

“Dan sesungguhnya kamu (wahai Muhammad) memiliki akhlak yang agung.” (Al-Qalam 68 : 4)

Terakhir, kita jelaskan kepada bukan Muslim, ganjaran yang bakal mereka peroleh jika kembali kepada agama Islam. Di akhirat kelak, seseorang Muslim akan memperoleh ganjaran syurga dan mereka akan hidup selama-lamanya di sana.

Nikmat yang ada di dalam syurga tidak pernah dilihat oleh mata, tidak pernah didengar oleh telinga dan tidak pernah terlintas dalam fikiran manusia.

Dia akan mendapat apa sahaja yang diinginkan di dalam syurga, malah berpuluh kali ganda lebih baik daripada apa yang dia peroleh sewaktu di dunia. 

“Dan sampaikanlah berita gembira kepada mereka yang beriman dan beramal salih, maka bagi mereka disediakan syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai di bawahnya.”

“Setiap daripada mereka diberikan rezeki buah-buahan di dalam syurga-syurga itu, mereka mengatakan: ‘Inilah yang pernah diberikan kepada kami dahulu.’ Mereka diberi buah-buahan yang serupa dan untuk mereka di dalamnya ada isteri-isteri yang suci dan mereka kekal di dalamnya.” (Al-Baqarah 2 : 25)

Selain itu, bagi seseorang yang kembali kepada agama Islam, dia akan mendapat kebahagiaan yang sebenar dalam hidupnya di dunia.

Allah akan sentiasa mempermudahkan segala urusannya dan memberikan ketenangan jiwa yang diidamkannya.

Malah sebaik sahaja seseorang itu melafazkan dua kalimah syahadah, semua dosa yang dilakukannya sebelum memeluk Islam diampunkan oleh Allah, seolah-olah bayi yang baru dilahirkan. 

“(Iaitu) orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram.” (Ar-Ra’d 13 : 28)

“Katakanlah kepada orang yang kafir itu, ‘Jika mereka berhenti (daripada kekafirannya), nescaya Allah akan mengampuni dosa-dosa mereka yang telah lalu..’” (Al-Anfaal 8 : 38)

Demikianlah antara isi kandungan penting mengenai akidah Islam yang perlu disampaikan oleh Muslim kepada golongan bukan Muslim di sekelilingnya, terutamanya kepada mereka yang ingin mengetahui dan mendekatkan diri kepada agama Islam.

Penjelasan secara terperinci mengenai aspek keimanan kepada Allah, al-Quran, Nabi Muhammad SAW dan Hari Akhirat ini akan saya kongsikan dalam bab-bab seterusnya, insya-Allah.

Mudah-mudahan dengan penjelasan kita tersebut akan menjadi asbab untuk Allah memberikan hidayah kepada mereka untuk bersama dalam Islam, satu-satunya agama yang diredai-Nya.  

Wan Muhammad Wan Ibrahim
Pengarah Jabatan Pengurusan Daie dan Sukarelawan, Hidayah Centre Foundation
Ketua Jawatankuasa Dakwah, IKRAM Negeri Selangor

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

  • 5-7 April 2024
  • Ahmad Shahimi Senawi (0124061444)

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

  • 5-7 April 2024
  • Us Rozi Abu (0103535159)

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

  • 5-7 April 2024
  • Ruzinoor Che Mat (0194726820) Khairussani Farid (0132227380)

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Dr Mohamad Heerwan Peeie (010-9112045)

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Faisal (0129725464) & Nazilah (01110540165)

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

  • 5 - 6 April 2024
  • Faisal (0129725464)

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Ustaz Muhamad Faiz bin Muhd Fadhil 019-4102067

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia