Apa amalan soleh yang terbaik?

Amal soleh yang dianggap sebagai sebaik-baik amalan di sisi Allah tidak ditentukan oleh syarak secara mutlak. Bahkan sebaik-baik amal soleh (afdhal al-a’mal) ditentukan berdasarkan perbezaan masa, tempat dan individu.

 

Hal ini bertepatan dengan jawapan Nabi SAW yang berbeza terhadap individu yang berlainan walaupun kesemua mereka bertanya soalan yang sama iaitu, amalan apakah yang terbaik?

 

Setiap waktu dan tempat mempunyai tuntutannya yang khusus. Oleh itu, tuntutan yang khusus itulah yang merupakan sebaik-baik amalan pada ketika itu. Hukum syarak juga mempunyai tingkatan tuntutan yang berbeza. Setiap amalan yang diperintahkan mempunyai keutamaannya yang berlainan antara satu sama lain.

 

Misalnya, sebaik-baik amalan sewaktu tetamu bertandang ke rumah adalah melayani serta meraikan tetamu berbanding membaca al-Quran ataupun berzikir.

 

Selain itu, amalan yang terbaik pada hari Arafah bagi jemaah haji yang sedang berwukuf di Arafah adalah berdoa, bermunajat serta beristighfar. Sungguhpun berpuasa sunat pada hari Arafah adalah antara ibadat sunat muakkad yang hebat ganjarannya, jemaah yang sedang berwukuf tidak dituntut untuk berpuasa.

 

Hukum fardu ain umpamanya, adalah berbeza tuntutannya kerana setiap mukalaf perlu melaksanakannya berbanding fardu kifayah. Orang yang sakit berbeza cara perlaksanaan ibadat solatnya berbanding orang yang sihat.

 

Tuntutan jihad bagi mempertahankan tanah air jika sesebuah negara itu diserang oleh musuh, berbeza dengan tuntutan jihad bagi menyerang musuh di tempat lain.

 

Contoh yang lain, Islam mengharuskan seorang doktor melihat aurat ajnabi untuk mengubati serta merawatnya kerana menyelamatkan nyawa lebih utama berbanding mendedahkan aurat.

 

Imam al-Ghazali dan Imam Ibn al-Qayyim mengatakan bahawa maksiat hati seperti riyak, ujub, takbur dan seumpamanya lebih besar dosanya berbanding maksiat anggota badan (jawarih) seperti minum arak, memukul orang dan sebagainya.

 

Begitulah seterusnya perihal dalam hukum taklifi yang lain seperti perbezaan antara perkara yang wajib dan perkara yang sunat, sunat yang muakkad dan sunat yang mustahab, dosa besar dan dosa kecil, perkara yang diharamkan dan perkara yang makruh, mengutamakan serta menyeimbangkan antara perkara-perkara yang dharuriyyat (keperluan asasi) berbanding hajiyyat (keperluan) atau tahsiniyyat (keselesaan), dan antara yang maslahah (kebaikan) atau mafsadah (kerosakan).

 

Kesimpulannya, kesemua perkara yang telah dihuraikan ini dikenali oleh para ilmuan dan sarjana Islam sebagai fikah keutamaan (fiqh al-aulawiyyat). Umat Islam perlu memahami perkara ini bagi menjalani hidup dengan lebih sempurna, teratur dan seimbang.

 

Apatah lagi buat para aktivis dakwah yang lebih dituntut agar menekuni, mendalami serta menguasai perbahasan ini ke arah menjadikan dakwah lebih efektif. Semoga Islam sentiasa relevan pada sepanjang zaman dan di semua tempat.

 

Ustaz Dr Syazalie Hirman bin Ahmad Najib
Ketua Hal Ehwal Syariah
Pertubuhan IKRAM Malaysia

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Ikuti Rancangan Jom Sembang Bersama Ustaz Dr Syazalie Hirman setiap Jumaat di TV IKRAM.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia