SERI KEMBANGAN – Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyertai pemimpin dunia yang lain mengucapkan tahniah kepada Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan yang telah memenangi pilihan raya penentu pada Ahad.
Anwar dalam ucapan tahniahnya berkata, Malaysia berharap dapat bekerjasama rapat dengan Turkiye untuk meningkatkan lagi hubungan dua hala sedia ada.
“Tahniah kepada Tuan Yang Terutama Presiden Erdogan kerana dipilih sebagai Presiden ke-13 Republik Turkiye dalam pilihan raya presiden baru-baru ini.”
“Turkiye akan terus memainkan peranan membina sebagai pemain serantau dan global yang penting,” kata Anwar di akaun Twitternya.Â
Dunia Islam Ucap Tahniah
Dalam pada itu, beberapa pemimpin Islam dan dunia Arab turut menghantar perutusan tahniah masing-masing atas kemenangan Erdogan.
Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani dalam panggilan telefon kepada Erdogan mengucapkan tahniah atas kemenangan beliau dan mendoakan Turkiye di bawah kepimpinan Erdogan semakin pesat membangun.
Erdogan turut merakamkan ucapan penghargaan beliau dan berharap agar kerjasama dua hala yang terjalin antara kedua-dua negara dapat diperkukuh dalam mencapai kemaslahatan bersama demi kesejahteraan serantau, menurut Agensi Berita Qatar (QNA).
Di Arab Saudi, Penjaga Dua Kota Suci, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud dalam perutusan tahniah baginda berkata: “Tahniah kerana mendapat mandat sekali lagi daripada rakyat sebagai Presiden Turkiye bagi penggal kedua.”
Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman Abdulaziz Al Saud turut mendoakan Erdogan dan Turkiye, “Semoga hubungan baik yang terjalin antara kedua-dua negara sejak sekian lama akan terus utuh,” menurut laporan Agensi Berita Saudi (SPA).
Presiden Palestin, Mahmoud Abbas yang dipetik WAFA, agensi berita rasmi negara itu turut menyampaikan ucapan tahniah beliau kepada Erdogan dan menyatakan penghargaan kepada sokongan kerajaan Turkiye kepada perjuangan rakyat Palestin selama ini.
Raja Bahrain Raja Hamad Isa Al Khalifa pula bertitah: “Tahniah kerana mendapat mandat sekali lagi daripada rakyat sebagai Presiden Turkiye bagi penggal kedua.”
“Semoga hubungan baik yang terjalin antara kedua-dua negara sejak sekian lama akan terus utuh,” titah baginda dalam perutusan tahniah sempena kemenangan Erdogan, lapor Agensi Berita Bahrain (BNA).
Selain itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Hissein Brahim Taha di akaun Twitter rasminya hari ini, turut mengutuskan ucapan tahniah atas kejayaan Erdogan mempertahankan jawatan presiden Turkiye, di samping mendoakan kemajuan republik berkenaan.
Turut tidak ketinggalan menyampaikan ucapan tahniah, Raja Jordan Raja Abdullah II, Sultan Oman Sultan Haitham bin Tariq Al Said dan Emir Kuwait Sheikh Nawaf Al Ahmad Al Jaber Al Sabah.
Liputan Luas Media Amerika
Kemenangan Erdogan mempertahankan kedudukannya turut menerima liputan meluas media di Amerika.Â
CNN membuat liputan menyeluruh sepanjang pilihan raya termasuk sambutan meriah yang berlangsung sehingga larut malam di Ankara selepas Erdogan diisytiharkan sebagai pemenang, lapor Agensi Anadolu.Â
The New York Times, turut menyediakan ruangan khas di laman sesawangnya untuk berita dan kemas kini mengenai pilihan raya itu. Â
“Presiden Erdogan menang pemilihan semula selepas berdepan cabaran besar,” tulis The Times.
The Wall Street Journal (WSJ) pula melaporkan artikel bertajuk: “Pemimpin paling lama berkhidmat di negara itu menewaskan pencabar utamanya dalam pilihan raya penentu.”
Artikel itu turut memuatkan kenyataan bekas duta Amerika Syarikat (AS) ke Turkiye, James Jeffrey, yang menyifatkan Erdogan “tenang berdepan tekanan” dan “tahu apa yang dilakukannya.”
The Washington Post melaporkan: “Penyandang presiden terselamat daripada dicabar oleh calon yang disokong gerakan pembangkang bersatu.”
Akhbar Politico pula mengeluarkan berita bertajuk “Erdogan Turki Menang Lagi.”
“Erdogan berada dalam kedudukan yang kuat untuk mempengaruhi bukan sahaja hala tuju masa depan demokrasi di negara yang dihuni 85 juta penduduk itu, malah membentuk politik di rantau ini dan selainnya,” lapor Politico.
Pengerusi Majlis Pilihan Raya Turkiye, Ahmet Yener, mengumumkan Erdogan telah dipilih semula sebagai presiden dalam pilihan raya penentu yang diadakan pada Ahad, dengan mengatasi pencabarnya Kemal Kilicdaroglu.
Menurut keputusan tidak rasmi, Erdogan memperoleh 52.14 peratus, manakala Kilicdaroglu mendapat 47.86 peratus undian.Â
Pada pengundian pusingan pertama 14 Mei lalu, Erdogan memperoleh kelebihan hampir lima mata ke atas Kilicdaroglu tetapi gagal mencapai 50 peratus undian yang diperlukan untuk menang.
Sumber: Bernama