Anugerah itu amanah

Anugerah itu datang dalam pelbagai bentuk, zahir atau batin. Yang zahir dapat dirasai sendiri juga disaksikan oleh orang lain seperti harta, kuasa, anak-anak dan ilmu.

 

Manakala yang batin pula, seringkali tersembunyi, dinikmati hanya oleh segelintir insan-insan yang berupaya menghargai seperti Islam, iman, ketenangan dan seumpamanya. Nikmat-nikmat ini sering dilupakan dan ‘taken for granted.

 

Lantaran anugerah zahir itu lebih menonjol, mari kita lihat satu persatu. Anugerah paling ketara ialah harta. Dengan harta, kita mampu memiliki hampir semua yang dicita-citakan; kediaman tersergam indah, kereta mewah, pakaian dan aksesori berjenama (tentunya mahal!), makanan yang enak dan lain-lain. Oh! Betapa bahagianya apabila diri bermandikan kemewahan!

 

Bukan sahaja kemahuan material dapat diperolehi, tetapi juga keperluan emosi. Apa tidaknya, wang itu kadang-kadang mampu membeli kasih sayang! Namun perlu sedar, keperluan yang dinikmati lantaran harta yang dimiliki beriring dengannya amanah yang perlu dipenuhi. Ya… Ada hak orang lain dalam harta milik kita itu.

 

Justeru, saat melihat insan yang memerlukan, ringankanlah tangan untuk menghulur bantuan. Bila cukup haul dan nisabnya, zakat perlu dikeluarkan. Saat kita diulit kesenangan, ada insan-insan lain yang diuji dengan kesulitan dan kesempitan hidup; kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

 

Kita? Wang ribuan, malah jutaan ringgit dalam simpanan! Syukurilah anugerah harta dengan memberi. Itu kehendak ilahi. Raihlah reda pemberi, Allah Maha Kaya, dengan memanfaatkan anugerah harta selaras dengan kehendak-Nya.

 

Tidak cukup dengan harta, sesetengah orang, Allah anugerahkan lagi kuasa; jadi penguasa negara, orang ternama, pemimpin masyarakat, wakil rakyat dan sebagainya. Hidup makin bahagia dan bermakna! Diri dipandang mulia, ke mana pergi, disanjung, dipuja dan dituruti segala kata.

 

Namun, itu bukan segalanya. Saat berkuasa, ada amanah yang perlu ditunaikan. Orang di bawah (rakyat, masyarakat) perlu diberi bantuan, sokongan dan teladan. Segalanya perlu dilakukan dengan penuh keadilan. Apakah itu adil? Iaitu meletakkan sesuatu pada tempatnya, membantu individu, kumpulan, masyarakat sesuai dengan apa yang diperlukan.

 

Saat menetapkan hukum juga, harus berasaskan al-Quran dan Sunnah, adil untuk semua tanpa mengira ahli keluarga, rakan rapat dan kategori-kategori insan lain atas kepentingan peribadi.

 

Kuasa itu amanah, jika dilaksanakan dengan bijak, bukan sekadar kebahagiaan dunia mampu diraih, malah di akhirat nanti akan digolongkan dalam tujuh kumpulan yang mendapat lindungan Allah di Padang Mahsyar, iaitu pemimpin yang adil.

 

Kita lihat anugerah berikutnya. Pernah dengar nama Ibnu Sina, Ibnu Khaldun, Imam Nawawi, Imam Ghazali dan imam-imam lain? Kenapa nama-nama ini tetap terukir indah di tinta sejarah walaupun mereka sudah lama berpindah ke alam sana?

 

Ya, kerana ilmu yang dimiliki. Satu ketika, kita kagum dengan pembentang hebat seorang profesor dalam satu seminar, betul-betul terkesan kita dibuatnya. Punca? Ilmu yang dimiliki. Ilmu itu sememangnya satu anugerah.

 

Amanah ilmu pula? Iaitu menyampaikan ilmu itu kepada orang lain dengan cara bijaksana dan penuh hikmah, mengajar kemahiran yang dimiliki agar insan lain juga dapat berkongsi dan sama-sama mendapat manfaat daripadanya. Jadikan ilmu yang dimiliki itu sebagai penjana kebahagiaan dunia dan akhirat.

 

Saat di dunia, jadilah pembimbing, pendamping kepada orang lain. Curahkan ilmu itu agar ianya dapat diamalkan insan lain. Natijahnya nanti, ilmu itu akan jadi saham akhirat kerana antara perkara yang bermanfaat saat kita telah berpindah ke alam baqa ialah ilmu yang dimanfaatkan.

 

Alangkah malangnya sekiranya anugerah ilmu itu menjadi wasilah murka Allah kepada pemiliknya. Bagaimana? Ia menjadi sombong dan angkuh dengan ilmu, memandang rendah dan remeh pada orang lain, merasakan hanya diri sendiri yang benar dan menggunakan ilmu untuk menipu orang jahil. Di samping itu, ilmu juga digunakan untuk melakukan jenayah ‘berprestasi tinggi’, penipuan yang melibatkan jutaan ringgit… Nauzubillah!

 

Anugerah seterusnya? Anak. Anak-anak juga merupakan anugerah Allah yang tidak ternilai harganya, menyambung zuriat dan keturunan serta harapan ayah dan bonda pada masa hadapan.

 

Anak, saat kecil jadi hiburan, bila remaja jadi teman, setelah dewasa, ia mampu membantu meringankan beban. Tapi yang paling bermakna, saat ibu bapa sudah disemadikan di pusara, seharusnya anak-anak masih dapat meneruskan baktinya dengan doa dan amalan soleh yang dilakukan.

 

Memiliki anak bukan sesuatu yang perlu dimegahkan tapi amanah yang datang bersama kehadiran mereka jangan sekali-kali dipersiakan. Anak-anak perlu dididik dengan penuh kasih sayang agar jadi insan berguna kepada dirinya, keluarga, masyarakat, bangsa, agama dan negara. Salah didikan, anak-anak juga akan menjadi penyebab nasib malang ibu bapa di akhirat nanti…

 

Syukurilah setiap anugerah yang dilimpahkan dengan melaksanakan segala amanahnya dan juga untuk  membahagiakan orang lain. Nanti kita juga bakal menikmati bahagia itu lantaran bahagia itu membahagiakan! Allah juga menjanjikan bahawa anugerah itu akan ditambah sekiranya kita bersyukur.

 

“Jika kamu bersyukur, nescaya akan Ku tambahkan nikmat itu padamu, jika kamu kufur, sesungguhnya seksaan-Ku amat keras.” (Surah Ibrahim : 7)

 

Tuntasnya, segala anugerah Allah berupa harta, kuasa, ilmu dan anak-anak bukan merupakan tiket percuma kebahagiaan di dunia, juga  bukan untuk dibanggakan. Segalanya beriringan dengan amanah yang perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab yang bakal dipersoalkan pada Hari Pengadilan. Besar atau kecil anugerah yang diperolehi, semua akan diperhitungkan…

 

Berbahagialah orang yang mampu menunaikan segala hak-hak harta, kuasa, ilmu dan anak-anak. Kebahagiaan yang dikecapi itu bukan sahaja mampu dinikmati di dunia ini, malah berterusan hingga ke akhirat apabila diredai Maha Pemberi dan mengizinkannya menjadi warga syurga yang kekal abadi!

 

Nik Zaharah Nik Yaacob

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

  • 5-7 April 2024
  • Ahmad Shahimi Senawi (0124061444)

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

  • 5-7 April 2024
  • Us Rozi Abu (0103535159)

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

  • 5-7 April 2024
  • Ruzinoor Che Mat (0194726820) Khairussani Farid (0132227380)

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Dr Mohamad Heerwan Peeie (010-9112045)

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Faisal (0129725464) & Nazilah (01110540165)

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

  • 5 - 6 April 2024
  • Faisal (0129725464)

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Ustaz Muhamad Faiz bin Muhd Fadhil 019-4102067

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia