Antara siakap, senohong, gelama dan ikan duri

 Pembayang pantun yang menggunakan nama-nama ikan yang biasa menjadi santapan orang ramai, secara tidak langsung menggambarkan betapa maksud pantun yang hendak disampaikan juga sesuatu yang sering berlaku dan tidak asing lagi. Ikan–ikan ini juga dikatakan daripada jenis pemangsa yang menggunakan pelbagai kaedah untuk memperdayakan mangsanya yang diburu.

 

Pembayang yang dipilih – ikan siakap dan ikan senohong (nama lain: ikan kurau atau ikan senangin) membawa bayangan ritma kepada satu perbuatan buruk yang hendak diketengahkan dalam pantun klasik ini iaitu bercakap bohong. Sementara pembayang ikan duri pula menjurus kepada satu lagi perbuatan keji iaitu mencuri.

 

Yang lebih menarik, ikan gelama menjadi pembayang kepada kata penghubung (lama-lama) yang menggambarkan hubung kait antara dua perbuatan tersebut. Pantun tersebut begitu mudah untuk difahami maksudnya. Sekiranya seseorang itu sering bercakap bohong berulang kali dalam tempoh masa yang panjang dan lama, akhirnya dia akan mudah pula melakukan perbuatan mencuri tanpa rasa bersalah.

 

Sebenarnya, pembohongan dan perbuatan mencuri tergolong dalam kategori amalan pecah amanah. Berbohong adalah perbuatan yang berlawanan dengan berkata benar, sementara mencuri pula bertentangan dengan sifat amanah dalam menjaga hak orang lain.

 

Perbuatan berbohong, menipu, memperdaya dan mencuri hak orang lain akan membawa kepada krisis kepercayaan yang serius dalam masyarakat. Semua orang akan hidup dalam ketakutan dan curiga, tidak tahu siapa yang boleh dipercayai lagi.

 

Masyarakat terpaksa meningkatkan kewaspadaan dalam menjaga keselamatan diri, keluarga, harta benda dan kedudukan kerana yakin ada sahaja pemangsa yang sedang mengintai-intai peluang, mencari mangsa untuk dibohongi dan ditipu, dirampas hak peribadi tanpa belas kasihan.

 

Mengapakah seseorang itu berbohong? Apakah yang menghalang dirinya daripada berkata benar dan jujur menjelaskan duduk perkara sebenar? Kebanyakan pembohongan dan penipuan dilakukan kerana individu itu mahu melepaskan diri daripada dihukum dan didenda, didedahkan aib dan kesalahannya di depan khalayak ramai, mendapatkan sesuatu ganjaran yang diidam-idamkan, melindungi orang lain, melakukan eksploitasi dan memperkukuhkan kawalan atau cuba meraih pengaruh dan kuasa daripada orang bawahannya.

 

Kadangkala tabiat berbohong dan menipu sudah mendarah daging, sehingga individu tersebut sudah tidak rasa bersalah, malahan sudah merasakan kebohongan tersebut menjadi suatu kebenaran yang diyakininya.

 

Apakah faktor yang mendorong seseorang itu mencuri dan merampas hak orang lain yang bukan miliknya? Perasaan tamak haloba boleh menguasai diri seseorang yang mahu mendapatkan sesuatu yang diinginnya, namun ia berada di luar batas kemampuan. Helah dan tipu daya digunakan untuk mendapatkan juga apa yang diidam-idamkan, tanpa diketahui atau dikesan oleh orang lain.

 

Si pencuri semakin lama merasa ‘kebal’ apabila tiada siapa yang menyedari perbuatannya atau dapat menangkapnya. Sering kali juga si pencuri akan terus berbohong untuk menyelamatkan dirinya. Bermula daripada benda-benda kecil seperti sebatang pen atau pemadam pensil, si pencuri akan semakin berani mencuri dalam skala yang lebih besar lagi.

 

Hari ini, berbohong sudah menjadi mainan hidup seharian. Ibu dan bapa sering berbohong kepada anak-anak, suami menipu isteri begitu juga sebaliknya. Anak-anak pula khususnya remaja kerap menipu ibu bapa, guru dan penjaga. Orang bawahan sengaja curi tulang dan memperdayakan majikan.

 

Majikan pula mengambil kesempatan atas kesulitan, kesusahan dan desakan hidup pekerjanya. Pemimpin mempergunakan pengikut dengan menabur janji palsu yang tidak pernah ditepati. Terlalu banyak penipuan melibatkan interaksi digital dalam bentuk penyamaran dan transaksi palsu yang menyebabkan kerugian yang besar.

 

Bila sudah terlalu biasa dengan penipuan, amat mudah untuk seseorang itu mengambil dan mencuri sesuatu yang bukan haknya. Bukan setakat wang tunai dan barangan sahaja, idea, karya kreatif, identiti individu dan harta intelek juga turut dicuri.

 

Apa yang membimbangkan, ketirisan yang berlaku daripada dana awam disebabkan tipu helah dan muslihat golongan yang diberi amanah untuk menjaga kepentingan rakyat jelata dan negara. Ibarat mengharapkan pagar, pagar yang makan padi.

 

Sifat tanggungjawab dan amanah juga semakin terhakis. Apabila pecah amanah berlaku dalam kalangan barisan pimpinan tertinggi dalam organisasi, fenomena itu pasti tersebar ke peringkat bawahan pula.

 

Hancurlah negara sekiranya barah krisis integriti ini terus bermaharajalela tanpa kawalan. Menjadi tanggungjawab semua untuk memastikan gejala kerakusan dan ketamakan tidak terus menghakis tunjang integriti dalam negara ini. Integriti bermula daripada diri sendiri!

 

Profesor Datuk Dr Harlina Halizah Siraj
Ahli Dewan Perwakilan Nasional
Pertubuhan IKRAM Malaysia

Sumber: Sinar Harian

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Aneka bangsa dan juga budaya,
Perpaduan terjalin sekian lama,
Selamat menyambut Hari Malaysia,
Walau berbeza, tetap teguh bersama.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia