Amalkan Lima Kunci Kebahagiaan Rumah Tangga

Amalkan Lima Kunci Kebahagiaan Rumah Tangga | IKRAM

Mutakhir ini, isu penceraian semakin hari semakin hangat diperkatakan. Hal ini terbukti  apabila semakin seringnya kita mendengar berita mengenai pasangan selebriti yang mengakhiri perkahwinan di jalan penceraian.

Walau bagaimanapun, orang biasa juga tidak terkecuali daripada fenomena ini. Setiap pasangan pasti akan menghadapi dugaan dalam perkahwinannya.

Dugaan boleh datang dalam bentuk konflik, penipuan, perselisihan, kesedihan, kekecewaan dan berbagai-bagai perkara lagi.

Bermula daripada hal-hal kecil, ia kemudiannya menjadi besar sehingga sampai saat salah satu pasangan atau kedua-duanya berputus asa mempertahankan perkahwinan mereka setelah sekian lama berjuang.

Hidup ini tidak pernah sunyi daripada masalah. Namun, melarikan diri daripada masalah adalah langkah yang kurang bijak. Perceraian bukanlah satu-satunya jalan penyelesaian. Meskipun ia halal, ingatlah bahawa Allah sungguh membencinya.

Namun, adakah kita perlu membiarkan pertikaian tersebut terus berlarutan sehingga menjadi bara yang membakar perkahwinan? Apa solusi kita? 

Sebenarnya, ada beberapa perkara yang boleh kita pertimbangkan apabila kita berdepan dengan ujian dalam perkahwinan, bukan mengakhirinya dengan perpisahan semata-mata. 

Yang berikut merupakan tip asas bagi pasangan untuk mengembalikan keharmonian dalam perkahwinannya.

1. Tunaikan hak masing-masing

Kebiasaannya, ramai pasangan yang berpisah kerana gagal dalam menunaikan tanggungjawab masing-masing. Sebagai suami isteri, kita perlulah ada sifat bertanggungjawab menunaikan hak-hak masing-masing. Tanggungjawab adalah hal yang sangat mustahak dan tidak boleh diabaikan.

Sebagai contoh, suami wajib memberi nafkah dan menyediakan tempat tinggal berdasarkan kemampuannya. Isteri pula wajib taat pada suruhan suami selagi suruhan itu mengandungi kebaikan dan bukan mengajak pada kemungkaran. Ia sesuai sebagaimana yang telah diperintahkan oleh Nabi SAW dalam sabdanya yang bermaksud:

“Ketahuilah bahawa sesungguhnya kalian memiliki hak atas isteri-isteri kalian dan isteri-isteri kalian juga memiliki hak atas kalian.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah no.1851. Hasan Menurut Syeikh Nashiruddin Al-Albani)

2. Saling bekerjasama dan mudah membantu

Dalam perkahwinan, setiap pasangan hendaklah berganding bahu dan bekerjasama dalam menguruskan rumah tangga. Misalnya, dalam soal menguruskan anak, suami isteri perlulah bersama-sama dalam merawat dan memberi pendidikan terbaik kepada anak-anak.

Bahkan, digalakkan tolong-menolong meringankan beban pasangan apabila didapati pasangan dalam keadaan letih atau tidak sihat. Contohnya, Rasulullah SAW juga pernah membantu menguruskan kerja-kerja rumah.

Daripada al-Aswad, dia bertanya kepada ‘Aisyah, ‘Apa yang Nabi SAW  lakukan ketika berada di tengah keluarganya? ‘Aisyah menjawab, “Rasulullah SAW biasa membantu pekerjaan keluarganya di rumah.” (Sahih Al-Bukhari no.6039)

3. Menjaga komunikasi 

Komunikasi ataupun berinteraksi adalah perkara yang sangat penting dalam rumah tangga. Ertinya, apabila timbul hal-hal yang tidak disukai ataupun tiada kesepakatan dalam sesuatu perkara yang diputuskan, setiap pasangan wajar mengendalikan komunikasi tersebut dengan terbuka ataupun berbincang dengan cara yang rasional, bukan memendam dalam hati sehingga bersangka buruk kepada pasangan.

Meluahkan, menjaga tutur bicara dan berkomunikasi secara sihat dapat meleraikan ketidaksefahaman serta menutup jurang perselisihan.

4. Mudah memaafkan (forgiveness)

Dalam Islam, memaafkan adalah sifat terpuji dan mulia. Sebagai manusia biasa, kita tidak terlepas daripada berbuat kesalahan dan begitulah juga halnya dengan pasangan kita

Barangkali ada kesalahan atau kesilapan yang sukar dipadamkan dan meninggalkan parut yang memedihkan. Akan tetapi, memaafkan kesalahan pasangan setelah dia menginsafinya dapat menjaga perhubungan kita. Malahan, emosi dan fikiran kita juga kembali sihat dan terawat. 

ٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ فِى ٱلسَّرَّآءِ وَٱلضَّرَّآءِ وَٱلْكَٰظِمِينَ ٱلْغَيْظَ وَٱلْعَافِينَ عَنِ ٱلنَّاسِ ۗ وَٱللَّهُ يُحِبُّ ٱلْمُحْسِنِينَ

“(Iaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik pada waktu lapang mahupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan.” (Surah Ali Imran:134)

5. Belajar untuk tidak sebar keburukan pasangan

Menyebarkan aib pasangan di media sosial kini kerap dinormalisasikan. Contohnya menyebarkan keburukan pasangan di hadapan publik secara terang-terangan kerana ketidakpuashatian.

Orang ramai mulai menganggap isu ini tidak berat. Jangan biasakan tabiat tidak baik ini berlaku kerana Allah melarang kita menyebarkan aib sesama kita sendiri.

Daripada Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda, “Tidaklah seseorang menutupi aib orang lain di dunia, melainkan Allah akan menutupi aibnya pada hari kiamat kelak.” (Sahih Muslim no.2590)

Namun dalam keadaan tertentu seperti isteri dizalimi atau ditindas, berjumpalah dengan pihak berautoriti untuk menyelesaikan hal ini sekiranya didapati hidupnya semakin “berbahaya” di samping suami.

Hakikatnya, dalam perkahwinan ini, setiap pasangan akan melalui onak durinya. Tidak ada perkahwinan yang tidak diuji dalam dunia ini. Hatta Nabi SAW sendiri mengalami ujian yang dahsyat dalam rumah tangga baginda.

Oleh sebab itu, penting untuk kita mengetahui lima perkara asas ini yang selalu dianggap remeh oleh kebanyakan pasangan.

Setiap perkahwinan hendaklah dibina atas dasar ibadah kepada Allah SWT. 

Dengan tujuan murni ini, mudah-mudahan kita dapat berusaha menjadi pasangan yang bertakwa, melaksanakan kewajipan-Nya dan mengamalkan tuntutan syariat agar perkahwinan kita dikurniakan ketenangan, kasih sayang dan ketenteraman.

 

Syuhara Suriati 
Penulis Buku Whitecoat & Mustread 

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia