Amalan-amalan sunnah ketika berpuasa

Sesungguhnya pada bulan Ramadan ini Allah Taala turunkan banyak keberkatan dan memberikan ganjaran kepada sesiapa yang berusaha mencari reda serta keampunan-Nya.

Pahala seorang Muslim yang sedang berpuasa juga hanyalah Allah SWT sahaja yang layak menilai dan mengurniakan seberapa banyak mengikut tingkat ketakwaan seorang hamba sebagaimana janji Allah yang termaktub dalam sabda baginda.

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Setiap amalan kebaikan yang dilakukan oleh manusia akan dilipatgandakan dengan 10 kebaikan yang semisal hingga 700 kali ganda. Allah Taala berfirman, “Kecuali amalan puasa. Amalan puasa tersebut adalah untuk-Ku. Aku sendiri yang akan membalasnya, disebabkan dia telah meninggalkan syahwat dan makanan kerana-Ku. Bagi orang yang berpuasa akan mendapatkan dua kebahagiaan iaitu kebahagiaan ketika dia berbuka dan kebahagiaan ketika berjumpa dengan Rab-Nya. Sungguh bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau minyak kasturi.” (Hadis Riwayat Bukhari [1904] dan Muslim [1151])

Ketika berpuasa, terdapat amalan-amalan sunnah yang boleh dikerjakan oleh seluruh umat Islam. Oleh hal yang demikian, bagi sesiapa yang berpuasa ataupun yang sedang mengalami keuzuran, mereka diperintahkan untuk melaksanakan amalan-amalan tersebut supaya tidak ketinggalan mendapatkan pahala berlipat ganda yang sebahagiannya hanya ada pada bulan Ramadan.

Antaranya amalan-amalan sunnah tersebut ialah:

1. Bersahur. 

Nabi SAW bersabda:

تَسَحَّرُوا فَإِنَّ فِي السَّحُورِ بَرَكَةً

“Bersahurlah kamu kerana dalam sahur itu terdapat keberkatan.” (Hadis Riwayat Bukhari [1923] dan Muslim [1095])

Sesiapa yang bangun semata-mata kerana untuk bersahur, maka Allah berikan keberkatan kepada dirinya meski dengan hanya meminum seteguk air sahaja. Justeru itu, bersungguh-sungguhlah dalam mencari keberkatan dengan hanya bangun untuk bersahur. 

Abu Sa’id al-Khudri RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Makan sahur itu berkat, maka janganlah kamu tinggalkan meskipun salah seorang daripada kamu hanya minum seteguk air, kerana sesungguhnya Allah Azzawajalla dan para malaikat-Nya berselawat kepada orang-orang yang makan sahur.” [Hadis Sahih dalam At-Targhib wat Tarhib [1061])

2. Menyegerakan Berbuka Puasa. 

Daripada Sahl bin Saad RA berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

يَزَالُ النَّاسُ بِخَيْرٍ مَا عَجَّلُوا الْفِطْرَ

“Senantiasa manusia berada dalam kebaikan selama mereka menyegerakan berbuka.” (Hadis Riwayat Bukhari [1957] dan Muslim ]1098])

Seorang Muslim diperintahkan menyegerakan berbuka puasa apabila telah mendengar azan maghrib berkumandang dan menandakan waktu berbuka puasa telah pun masuk bagi kawasan masing-masing.

3. Berbuka dengan rutab. 

Jika tiada, berbuka dengan tamar atau hanya dengan air. Anas bin Malik RA berkata: 

“Dahulu Rasulullah SAW berbuka dengan beberapa rutab sebelum melakukan solat, jika tidak dengan air maka dengan beberapa kurma, dan apabila tidak ada kurma, maka baginda meneguk air beberapa kali.” (Hadis Riwayat Abu Daud, [2356])

Berbukalah dengan mencicipi makanan manis seperti rutab iaitu sejenis kurma yang belum diproses sebelum menjadi kering ataupun dengan tamar, sejenis kurma yang kering. Jikalau tiada, cukup berbuka sekadar dengan air.

4. Perbanyakkan doa. 

Allah Taala berfirman:

“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” (Surah Al-Baqarah: 186)

Daripada Abu Hurairah RA, dia berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ثَلاَثَةٌ لاَ تُرَدُّ دَعْوَتُهُمُ الإِمَامُ الْعَادِلُ وَالصَّائِمُ حَتَّى يُفْطِرَ وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ

“Ada tiga doa yang tidak tertolak: (1) doa pemimpin yang adil, (2) doa orang yang berpuasa sampai dia berbuka, dan (3) doa orang yang dizalimi.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah [1752])

5. Mengerjakan solat tarawih. 

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

“Barang siapa yang menunaikan solat pada malam bulan Ramadan (solat tarawih) dengan penuh keimanan dan mengharap (pahala daripada Allah), maka dosa-dosanya yang telah berlalu akan diampuni.” (Hadis Riwayat Muslim [759])

6. Memberi orang makan (Sedekah). 

Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ غَيْرَ أَنَّهُ لَا يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِ الصَّائِمِ شَيْئًا

“Siapa yang memberi makan orang yang berpuasa, maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa, tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa tersebut sedikit pun.” (Hadis Riwayat Tirmidzi [807])

7. Membaca al-Quran. 

Abdullah bin Amr RA berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

اقْرَإِ الْقُرْآنَ فِي شَهْرٍ قُلْتُ إِنِّي أَجِدُ قُوَّةً حَتَّى قَالَ فَاقْرَأْهُ فِي سَبْعٍ وَلَا تَزِدْ عَلَى ذَلِكَ

“Bacalah (khatamkanlah) al-Quran dalam sebulan. Abdullah bin Amr lalu berkata, “Aku mampu menambah lebih daripada itu.” Baginda pun bersabda, “Bacalah (khatamkanlah) al-Quran dalam tujuh hari, jangan lebih daripada itu.” (Hadis Riwayat Bukhari [5054])

8. Menghidupkan 10 Malam Terakhir. 

Rasulullah SAW bersungguh-sungguh beribadah pada 10 malam terakhir. Baginda bersemangat membangunkan ahli keluarganya untuk bersama-sama mengerjakan ibadah pada pertengahan malam. Carilah malam al-Qadr pada waktu ini.

Aisyah RA berkata:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ الْعَشْرُ شَدَّ مِئْزَرَهُ وَأَحْيَا لَيْلَهُ وَأَيْقَظَ أَهْلَهُ

“Nabi SAW apabila memasuki sepuluh akhir (bulan Ramadan), baginda mengetatkan sarungnya, menghidupkan malamnya dengan beribadah dan membangunkan keluarganya.” (Hadis Riwayat Bukhari [2024] dan Muslim [1174])

Ayuh, rebutlah pahala mengerjakan amalan-amalan sunnah ini ketika berpuasa pada bulan Ramadan. Usahlah membiarkan bulan Ramadan ini berlalu tanpa menghidupkan amalan tersebut selama sebulan penuh.

Syuhara Suriati
Penulis buku dan pengulas buku

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia