Agihan Zakat: Antara Tanggungjawab dan Kepercayaan

Agihan Zakat: Antara Tanggungjawab dan Kepercayaan | IKRAM

Pengagihan harta dalam Islam

Harta merupakan teras dan sumber kekuatan kepada individu dan umat. Manusia tidak mampu untuk melangsungkan kehidupan, mempertahankan diri dan keluarga, seterusnya menjaga kedaulatan negara tanpa harta.

Harta yang dimiliki oleh setiap individu perlu diuruskan. Terdapat tiga dimensi pengurusan kehartaan iaitu:

1. Pengembangan dan pembangunan harta untuk memastikan ia digunakan bagi tujuan keperluan kehidupan.

2. Pengembangan melalui pelaburan untuk menghasilkan peningkatan kepada nilai harta.

3. Pengagihan yang saksama serta mencegah daripada penumpuan kekayaan kepada pihak-pihak tertentu sahaja.

Dimensi ketiga dalam pengurusan kehartaan diterjemahkan melalui kefahaman terhadap firman Allah SWT dalam surah at-Taubah ayat 103:

“Ambillah zakat daripada sebahagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dan menyucikan mereka dan berdoalah untuk mereka. Sesungguhnya doa kamu itu (menjadi) ketenteraman jiwa bagi mereka. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

Berdasarkan kepada ayat di atas, dapat difahami bahawa mekanisme zakat boleh memainkan peranan sebagai mekanisme sosial yang menghubungkan masyarakat Islam dengan mengurangkan jurang ekonomi antara golongan kaya dan golongan miskin.

Tambahan pula, sistem pengagihan harta melalui zakat turut memberikan suntikan rohani kepada pihak yang terlibat terutama daripada kalangan pembayar zakat. 

Allah berfirman dalam surah al-Lail (17-21) yang bermaksud:

“Yang menafkahkan hartanya (di jalan Allah) untuk membersihkannya, padahal tidak ada seorang pun memberikan suatu nikmat kepadanya yang harus dibalasnya. tetapi (dia memberikan itu semata-mata) karena mencari keredaan Tuhannya yang Maha Tinggi. Dan kelak dia benar-benar mendapat kepuasan.”

Nilai dan tanggungjawab dalam arahan berzakat

Zakat bukan sahaja berperanan sebagai mekanisme pengagihan tetapi turut berperanan sebagai mekanisme penyucian.

Berdasarkan firman Allah dalam surah at-Taubah, Imam Yusuf al-Qaradawi telah menyimpulkan maksud zakat sebagai rahmat, pertumbuhan dan pembangunan. Apabila berbicara soal harta dan kekayaan, setiap hamba perlu terlebih dahulu mengakui bahawa semua pemerolehan untuk kesenangan hidup sama ada secara langsung atau tidak langsung dicipta oleh Allah SWT dan manusia bertugas sebagai pemegang amanah.

Sebagai pemegang amanah, Allah SWT membenarkan setiap hamba-Nya menggunakan akal yang dicipta untuk meneroka ciptaan-Nya bagi kegunaan peribadi dan awam.

Tuntutan menunaikan zakat bertujuan untuk mencapai hikmah tertentu seperti melestarikan kehidupan manusia sebagai sebuah kehidupan yang harmoni dan sejahtera dan mewujudkan kesan-kesan positif daripada aktiviti tersebut seperti melahirkan sifat kasih sayang, tolong-menolong, semangat persaudaraan, pemurah, bersimpati, berdikari dan bersyukur.

Pengurusan zakat di Malaysia telah diamanahkan kepada institusi zakat dan mempunyai peranan untuk menerima, mengumpul dan mengagihkan kepada golongan asnaf.

Pengurusan zakat telah diinstitusikan seperti mana dalam tanggungjawab dan bidang kuasa negeri dalam perlembagaan persekutuan dalam jadual kesembilan senarai II senarai negeri.

Penginstitusian zakat dalam sesebuah negara berperanan dalam memastikan agihan dan kutipan zakat yang berkesan. Menurut Imam Yusuf al-Qaradawi, ia bertujuan untuk mendidik kumpulan individu yang tidak mengendahkan pembayaran zakat.

Selain itu, pengagihan zakat oleh kerajaan dapat menjaga dan memelihara maruah golongan fakir dan miskin. Dalam masa yang sama, data-data berkaitan asnaf-asnaf tertentu seperti muallaf, fisabilillah dan yang berkaitan kepentingan awam hanya diketahui oleh pihak kerajaan.

Untuk berperanan secara komprehensif, pihak yang dilantik perlu adil, mampu menjalankan tanggungjawab secara beramanah dan mempunyai pengurusan yang efisien.

Dalam sejarah zaman Rasulullah SAW, amalan mengutip harta zakat dilakukan oleh sahabat Nabi SAW yang amanah seperti Abu Musa al-Ashari, Umar Ibn al-Lutaybah, Muaz bin Jabal dan Malik bin Nuwairah.

Amalan pelantikan pengutip zakat yang dikenali dengan as-Saie, musaddiq dan amil telah menjadi tanggungjawab dan kewajipan pihak pemerintah selepas Rasulullah SAW pada zaman Khalifah ar-Rasyidin sehinggalah ke hari ini.

Imam Shafie telah menamakan jawatan amil sebagai wali idarah amwal azzakah

Menariknya, penginstitusian zakat di Malaysia telah berkembang secara signifikan dengan perkembangan semasa.

Bagi memartabatkan kedudukan zakat dan diterjemahkan dengan pengurusan yang lebih efisien, terdapat beberapa negeri yang telah mengkorporatkan pengurusan zakat bertujuan untuk memberikan perkhidmatan berkualiti dan memaksimumkan kepuasan pelanggan melalui pendekatan profesional dan penggunaan teknologi yang berlandaskan nilai-nilai Islam.

Antara nilai-nilai Islam yang dipegang oleh pengurusan zakat dan telah dibahaskan oleh fiqh dengan panjang adalah agihan yang adil dan saksama, nilai kelayakan (had al-kifayah) dan pengagihan serta-merta. 

Kepercayaan dan peranan pengurusan zakat 

Kegusaran masyarakat terhadap transparensi dan kebertanggungjawaban pusat zakat dalam agihan sentiasa menjadi perhatian dalam media-media sosial. Walau bagaimanapun, kegusaran tersebut kebanyakannya kurang berasas. Ia timbul disebabkan sikap masyarakat yang sebahagian kecilnya cenderung untuk tidak memeriksa berita yang diterima, menyebarkannya tanpa mendapat pengesahan dan ghairah untuk berkongsi berita-berita berbentuk sensasi.

Tambahan pula, terdapat juga sesetengah daripada kalangan masyarakat yang mengulas isu-isu berkaitan zakat ini tanpa sandaran maklumat yang tepat daripada pihak-pihak yang berautoriti. Isu yang kerap diperhatikan jadi mainan netizen ialah agihan kepada asnaf yang tidak layak dan masalah kemiskinan yang masih berleluasa.

Kesannya telah menyebabkan pertikaian dan membawa kepada keengganan orang ramai untuk membayar zakat atau membayar zakat terus kepada asnaf tanpa pengantaraan institusi zakat. 

Isu kemiskinan sememangnya menjadi sebahagian daripada tanggungjawab pengurusan zakat, namun masyarakat perlulah berlaku adil dengan tidak meletakkan kelemahan secara mutlak kepada mereka lebih-lebih lagi apabila mendapat sebarang sebaran maklumat yang kurang masak kesahihannya.

Namun, disebabkan kita berada dalam dunia media sosial yang pesat, pusat-pusat pengurusan zakat menerima tempias tersebut dan perlu sentiasa bersedia untuk menghadapi setiap cabaran. Setiap pusat zakat secara aktif mengenal pasti penyebaran berita-berita tersebut agar tidak menjadi polemik yang lebih memburuk.

Cabaran dan harapan terhadap pengurusan zakat masa kini

Kompleksiti masyarakat dan perkembangan media masa yang pantas menuntut kebertanggungjawaban yang tinggi daripada pengurusan zakat untuk memastikan agihan zakat dibuat secara efisien dan berkesan.

Mempraktikkan nilai-nilai Islam yang terpuji seperti amanah dan adil dalam pengurusan zakat serta menunjukkan sikap profesionalisme yang tinggi sangat penting bagi seseorang pengurus zakat. Di samping itu, cabaran pengurusan zakat yang berbeza turut memerlukan pengurus zakat mempunyai ilmu-ilmu seperti pengurusan, keusahawanan dan teknologi.

Media sosial merupakan antara platform paling hampir dengan individu dan masyarakat. Pengurusan zakat hari ini telah mengoptimumkan platform tersebut untuk menyebarluaskan perkara-perkara seperti tadbir urus, skim-skim agihan dan nama pihak-pihak yang layak menerima agihan.

Pada masa yang sama, masyarakat perlu berdisiplin dalam menerima dan menyebarkan berita-berita terutama menglibatkan harta umat Islam seperti zakat.

Sememangnya pihak pengurusan zakat tidak mengharapkan kesempurnaan, namun masyarakat perlu berlaku adil terhadap segala usaha yang dilakukan pihak tersebut.

Masyarakat seharusnya memainkan peranan semak dan imbang iaitu menegur kesalahan yang dibuktikan dan mencadangkan penambahbaikan untuk kepentingan bersama.

Moga-moga usaha penuh dedikasi untuk memartabatkan umat yang dilakukan oleh pengurusan zakat ini mendapat ganjaran selari dengan sabda Rasulullah SAW (maksudnya):

“Seorang amil yang bekerja mengutip zakat di atas kebenaran samalah dengan seorang pejuang yang sedang beperang di jalan Allah sehinggalah dia kembali ke rumahnya.” (Riwayat Ahmad dan Abu Daud).

Dr Wan Mohd Al Faizee Wan Ab Rahaman
Pensyarah Kanan 
Arshad Ayub Graduate Business School
UiTM Shah Alam

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia