Meluaskan ufuk pemberian zakat

“Sesungguhnya zakat-zakat itu hanyalah untuk (1) orang-orang fakir, (2) orang-orang miskin, (3) pengurus-pengurus zakat (amil), (4) para mualaf yang dipujuk hatinya, untuk mendekatkan dirinya, (5) untuk (memerdekakan) budak, (6) orang-orang yang berhutang, (7) untuk jalan Allah dan (8) orang-orang yang sedang dalam perjalanan, sebagai sesuatu ketetapan yang diwajibkan Allah, dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.”

 

Berdasarkan mafhum ini, para sarjana Islam berbeza pandangan dalam meletakkan makna kepada perkataan ‘mualaf’ yang disebutkan sebagai golongan yang keempat dalam firman Allah SWT. Terdapat perbezaan pandangan dalam usaha meletakkan makna ‘mualaf’ itu terbahagi kepada dua pandangan.

 

Pandangan pertama, dalam kitab al-Umm, Imam Syafii berpendapat tidak boleh memberi zakat kepada orang bukan Islam. Hal ini kerana beliau berpandangan makna ‘mualaf’ di situ merujuk kepada mereka yang telah memasuki Islam.

 

Adapun yang belum memeluk Islam, maka tidak boleh diberikan zakat kepadanya. Hal ini juga merujuk kepada satu hadis riwayat Bukhari, daripada Anas bin Malik, beliau berkata bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

 

“Sesungguhnya aku memberi beberapa orang (zakat) yang masih baru meninggalkan kekufuran untuk aku perkuatkan hati mereka (dengan Islam).”

 

Malah dalam kitab tafsir al-Qurtubi, Imam al-Zuhri berkata bahawa mualaf adalah orang yang memeluk Islam daripada kalangan Yahudi dan Nasrani walaupun mereka itu kaya.

 

Menurut Imam Syafii lagi, jika ada yang berkata bahawa ketika peperangan Hunain, Nabi telah berikannya kepada sebahagian mualaf daripada kalangan musyrikin, maka beliau menjawab, itu adalah pemberian daripada harta rampasan atau harta daripada Nabi SAW sendiri, bukan daripada sumber harta zakat.

 

Pandangan kedua, Ibnu Qudamah dalam kitabnya al-Mughni pula berpandangan dibolehkan memberikan zakat kepada mereka yang bukan Islam atas tujuan untuk menjinakkan jantung hati mereka kepada Islam.

 

Beliau telah membahagikan makna mualaf itu kepada dua bahagian iaitu kuffar dan Muslimin. Bahagian kuffar pula dibahagikan kepada dua kelompok. Kelompok pertama adalah mereka yang diharapkan dia menganut agama Islam, maka diberikan zakat agar hasrat keislamannya bertambah dan jiwanya cenderung kepada Islam.

 

Ada pun kelompok kuffar yang kedua pula ialah mereka yang dibimbangi kejahatannya. Diharapkan dengan pemberian zakat kepadanya akan menghalang kejahatannya dan yang bersama mereka.

 

Inilah pendapat yang ditarjihkan (dinilai lebih kuat hujah) oleh Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi dalam kitabnya Fiqh al-Zakah, juga ditarjihkan oleh Dr Abdul Karim Zaidan dalam kitabnya al-Mufassal. Juga berpendirian sama adalah Dr Umar Sulaiman al Asyqar, ulama tafsir Jordan yang masyhur.

 

Juga dalam kitab al Jami’ Li Ahkam al-Quran, Imam al-Qurtubi menjelaskan bahawa maksud mualaf itu terdapat tiga jenis iaitu yang pertama, orang bukan Islam yang diberikan zakat untuk menguatkan hati mereka kepada Islam.

 

Ketika itu, mereka tidak beragama Islam, sama ada dengan paksaan atau dengan pedang. Tetapi mereka memeluk Islam dengan pemberian (zakat dan seumpamanya) dan ihsan.

 

Jenis yang kedua, kaum yang pada zahirnya telah memeluk agama Islam tetapi hati mereka belum kuat lagi, lalu diberikan zakat kepada mereka untuk menjadikan hati mereka lebih mantap dengan Islam.

 

Jenis yang ketiga, mereka adalah orang-orang besar daripada kalangan musyrik. Mereka mempunyai pengikut. Diberikan zakat kepada orang besar itu agar pengikut mereka datang kepada Islam.

 

Oleh itu, berdasarkan dua pandangan tersebut, dapatlah kita fahami bahawa di sana terdapat ruang yang dibolehkan untuk diagihkan zakat kepada mereka yang bukan Islam dengan tujuan mengharapkan kebaikan kepada Islam itu sendiri.

 

Walaupun dalam mazhab Imam Syafii dan selainnya menyebutkan bahawa perkataan mualaf dalam Surah at-Taubah itu bermaksud mereka yang sudah memeluk agama Islam, namun dalam firman-Nya yang lain menunjukkan bahawa Nabi SAW memberikan zakat kepada mereka yang bukan Islam. Hal ini seperti firman-Nya dalam surah al Taubah ayat 58-59 yang bermaksud:

 

Dan antara mereka ada yang mencelamu (wahai Muhammad) mengenai (pembahagian) sedekah-sedekah (zakat); oleh itu jika mereka diberikan sebahagian daripadanya (mengikut kehendak mereka) mereka suka, dan jika mereka tidak diberikan daripada zakat itu (menurut kehendaknya), (maka) dengan serta-merta mereka marah. Dan (alangkah baiknya) kalau mereka berpuas hati dengan apa yang diberikan oleh Allah dan Rasul-Nya kepada mereka dan berkata: “Cukuplah Allah bagi kami; Allah akan memberi kepada kami daripada limpah kurnia-Nya, demikian juga Rasul-Nya; sesungguhnya kami sentiasa berharap kepada Allah.”

 

Menurut Dr Umar Sulaiman al-Asyqar, ayat ini amat jelas bahawa golongan ini yang mendapat zakat, pemberian tersebut adalah untuk menjinakkan jantung hati mereka kepada Islam. Pastinya belum menganut Islam jantung hati yang orang mencela Rasulullah SAW mengenai zakat.

 

Maksud kata-kata Dr Umar Sulaiman ini ialah mereka yang mencela Nabi itu sudah pasti mereka yang belum Islam. Jika tidak, mana mungkin mereka mencela baginda Nabi kerana perbuatan mencela tersebut adalah perbuatan kufur.

 

Justeru, ayat ini bermaksud baginda Nabi SAW memberikan zakat kepada mereka yang bukan Islam untuk tujuan dijinakkan jantung hati mereka.

 

Oleh yang demikian, institusi zakat perlu melihat semula ruang keharusan ini untuk tujuan berdakwah kepada mereka yang bukan Islam. Sudah tentu keharusan memberikan zakat kepada mereka yang bukan Islam ini dapat membuka ruang dan peluang dakwah yang lebih luas dan memberi impak yang besar terhadap Islam.

 

Selain dapat memberikan gambaran positif terhadap Islam, ianya juga dapat mendekatkan mereka yang bukan Islam dengan agama Islam.

 

Maka institusi zakat perlu melihat dan menilai semula ruang ini untuk tujuan berdakwah kepada mereka yang bukan Islam. Semoga Allah merahmati dan mengampuni kita semua.

 

Muhammad Faidhi Azis
Pegawai Masjid dan Guru Takmir

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

  • 5-7 April 2024
  • Ahmad Shahimi Senawi (0124061444)

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

  • 5-7 April 2024
  • Us Rozi Abu (0103535159)

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

  • 5-7 April 2024
  • Ruzinoor Che Mat (0194726820) Khairussani Farid (0132227380)

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Dr Mohamad Heerwan Peeie (010-9112045)

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Faisal (0129725464) & Nazilah (01110540165)

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

  • 5 - 6 April 2024
  • Faisal (0129725464)

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Ustaz Muhamad Faiz bin Muhd Fadhil 019-4102067

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia