Afghanistan Sekat Wanita Belajar di Universiti Dikecam

Afghanistan Sekat Wanita Belajar di Universiti Dikecam | IKRAM

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Afghanistan menyatakan kemarahannya terhadap keputusan Taliban untuk menutup universiti kepada pelajar wanita di seluruh negara sehingga diberitahu kelak, dan menggesa pihak berkuasa itu segera membatalkannya.

PBB dan rakan kemanusiaan lainnya juga menggesa pihak berkuasa Afghanistan untuk membuka semula sekolah menengah untuk kanak-kanak perempuan dan menamatkan semua langkah yang menghalang wanita dan kanak-kanak perempuan daripada mengambil bahagian sepenuhnya dalam kehidupan seperti biasa.

Dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan pada Rabu, Misi PBB di Afghanistan (UNAMA) berkata bahawa menghalang wanita daripada menghadiri universiti adalah kesinambungan daripada ‘dasar sistematik Taliban yang mensasarkan diskriminasi terhadap wanita.’

Sejak mengambil alih negara pada pertengahan Ogos 2021, Taliban telah melarang kanak-kanak perempuan daripada menghadiri sekolah menengah, menyekat kebebasan pergerakan wanita dan kanak-kanak perempuan.

Ini termasuk mengecualikan wanita daripada kebanyakan profesion dan melarang wanita daripada menggunakan taman rekreasi awam, pusat sukan dan kemudahan awam lainnya.

“Menghalang separuh penduduk daripada menyumbang secara bermakna kepada masyarakat dan ekonomi akan memberi kesan buruk kepada seluruh negara,” kata misi itu dalam kenyataannya.

Tambahnya lagi, ia akan mendedahkan Afghanistan kepada peminggiran antarabangsa, kesusahan dan kemelesetan ekonomi yang menjejaskan berjuta-juta orang selama bertahun-tahun akan datang.

“Merampas hak asasi wanita untuk pendidikan bermakna ‘menafikan masa depan seluruh Rakyat Afghanistan,’” tegas UNAMA.

Menurut kenyataan itu lagi, langkah yang diambil oleh pihak berkuasa untuk mengecualikan wanita daripada pendidikan, tempat kerja dan bidang kehidupan lain meningkatkan risiko perkahwinan paksa dan awal, keganasan mahupun penderaan.

“PBB di Afghanistan dan rakan-rakan kemanusiaannya mengingatkan Taliban bahawa merampas kebebasan wanita untuk memilih nasib mereka sendiri, dan secara sistematik mengecualikan mereka daripada semua aspek kehidupan awam dan politik adalah tindakan reaksioner (mencegah perubahan) dan bertentangan dengan piawaian hak asasi manusia sejagat, di mana masyarakat yang aman dan stabil dibina.”

Kemunduran Nyata

Dalam pada itu, Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia, Volker Turk menyifatkan keputusan Taliban untuk menghalang wanita daripada belajar di universiti sebagai satu lagi tamparan mengerikan dan kejam terhadap hak wanita Afghanistan serta kemunduran yang amat dikesali bagi seluruh negara.

“Pengecualian sistemik wanita daripada semua aspek kehidupan Afghanistan adalah ‘pencerobohan hak,’” kata Turk.

Beliau menambah, pengecualian wanita daripada pendidikan tinggi benar-benar menyayat hati memandangkan sumbangan penting wanita Afghanistan telah dilakukan dalam banyak bidang profesional selama ini.

 “Menggantung penglibatan wanita dalam pendidikan tinggi adalah satu pelanggaran jelas kewajipan Afghanistan di bawah undang-undang antarabangsa, dan hak wanita untuk mengakses semua peringkat pendidikan tanpa diskriminasi adalah asas serta tidak boleh dipertikaikan.”

Sebelumnya, kanak-kanak perempuan telah diharamkan daripada mengikuti sekolah menengah membayangkan bilangan doktor, peguam dan guru wanita yang hampir tiada dalam pembangunan negara.

Berikutan itu, Turk menyeru pihak berkuasa untuk segera membatalkan keputusan ini dan menghormati sepenuhnya hak wanita serta memudahkan akses mereka kepada pendidikan di semua peringkat, demi masa depan mereka dan demi seluruh masyarakat Afghanistan.

Sekat Hak Belajar

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres telah menyatakan kebimbangan yang mendalam mengenai keputusan Taliban dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh jurucakapnya dan menegaskan:

“Penafian pendidikan bukan sahaja melanggar hak sama rata wanita dan kanak-kanak perempuan, tetapi juga akan memberi kesan buruk kepada masa depan negara.”

Selain itu, wakil Setiausaha Agung di Afghanistan menyifatkan keputusan Taliban sebagai kejam dan dahsyat.

Rosa Otunbayeva, Wakil Khas Setiausaha Agung Afghanistan dan Ketua UNAMA berasa amat sedih dengan apa yang dilaporkan secara meluas berkaitan Menteri Pengajian Tinggi Taliban yang mengumumkan bahawa wanita tidak akan dibenarkan menghadiri universiti.

“Keputusan ini membahayakan wanita dan juga memudaratkan Afghanistan dalam skala yang lebih besar. Dia menjelaskan bahawa jika keputusan ini terbukti betul, ia dianggap memusnahkan, seperti yang dikatakannya.”

Majlis Keselamatan PBB mengadakan sesi membincangkan situasi kemanusiaan dan politik di Afghanistan.

Rosa Otunbayeva berkongsi dengan Majlis beberapa kebimbangan hak asasi manusia yang telah dibangkitkan kepada pihak berkuasa Taliban dan seterusnya berkata:

“Sejak Taliban mengharamkan pendidikan menengah untuk kanak-kanak perempuan pada Mac tahun ini, majlis sebulat suara mengecam keputusan ini. Ramai wanita muda telah kehilangan seluruh tahun akademik, dan kini satu lagi keputusan keras telah diambil untuk mengharamkan pendidikan di universiti untuk wanita.”

Tidak Fikir Masa Depan?

“Taliban nampaknya tidak memikirkan masa depan Afghanistan dan bagaimana wanita boleh menyumbang kepada ekonomi, pendidikan dan budaya,” ujar Wakil Setiausaha Agung itu dengan nada kesal.

Beliau sedang mencari lebih banyak maklumat dan penjelasan mengenai keputusan ini, dan akan bercakap secara terperinci apabila mempunyai lebih banyak maklumat berkaitan isu terbabit.

Menerusi ciapan di Twitternya berikutan keputusan itu, Wanita PBB menegaskan bahawa pendidikan adalah hak dan pelaburan untuk masa depan negara. 

Mereka menekankan kepentingan serta mendesak agar semua wanita perlu mendapat hak mereka  menyambung semula pendidikannya di Afghanistan.

Dalam perkembangan berkaitan, Pemangku Misi Afghanistan ke PBB, Nasir Ahmad Faiq menyifatkan pengumuman Taliban untuk melarang wanita daripada belajar di universiti di seluruh Afghanistan sebagai amat dikesali.

“Seolah-olah keadaan tidak begitu teruk sebelum ini. Ini adalah (Taliban) mengumumkan undang-undang baru yang melanggar hak asasi manusia yang paling asas untuk semua manusia.”

Halang Wanita Bekerja

Selain itu, kerajaan Taliban Afghanistan yang tidak diiktiraf di peringkat antarabangsa itu turut mengeluarkan arahan kepada semua pertubuhan bukan kerajaan tempatan dan asing supaya tidak membenarkan wanita datang bekerja.

Perintah tersebut dikeluarkan pada 24 Disember 2022 oleh Kementerian Ekonomi kerajaan Taliban Afghanistan yang menyatakan bahawa arahan itu berkuat kuasa serta-merta.

Jurucakap Kementerian Ekonomi, Abd al-Rahman Habib mengesahkan surat itu yang menyatakan bahawa wanita dilarang pergi bekerja sehingga diberitahu kelak berikutan sebahagian daripada mereka tidak mematuhi peraturan pakaian Islam yang ditetapkan oleh kerajaan.

Kementerian yang bertanggungjawab meluluskan lesen untuk pertubuhan bukan kerajaan yang beroperasi di Afghanistan berkata dalam surat bahawa keputusan itu berikutan aduan mengenai kegagalan mereka mematuhi kod etika pakaian yang dikenakan.

“Aduan serius telah diterima mengenai ketidakpatuhan terhadap peraturan yang berkaitan dengan kerja wanita dalam organisasi tempatan dan antarabangsa,” ujar jurucakap kementerian itu dengan mengesahkan bahawa ini turut ditujukan kepada NGO.

Keputusan itu dibuat beberapa hari selepas kerajaan Taliban mengeluarkan arahan kepada universiti untuk menghalang pelajar perempuan daripada belajar, yang mengundang kritikan hebat antarabangsa, mencetuskan beberapa protes keras di Afghanistan.

Laporan media menyatakan bahawa kerajaan Taliban berpecah-belah selepas mengharamkan pendidikan universiti untuk wanita di Afghanistan.

Dunia Kecam Afghanistan

Menteri Pengajian Tinggi Taliban, Sheikh Nada Muhammad Nadeem mempertahankan larangan pendidikan universiti untuk wanita dalam wawancara yang disiarkan di televisyen negaranya pada minggu lalu.

Sejak pergerakan itu mengambil alih kuasa pada Ogos 2021, sekatan yang ketara telah dikenakan terhadap hak wanita, hinggakan sebahagian besarnya dikecualikan daripada kehidupan awam di sana.

Majlis Ulama Kanan Saudi menyeru kerajaan Taliban untuk membolehkan wanita Afghanistan mendapat hak untuk belajar di institusi pendidikan dan mengubah keputusannya menghalang wanita daripada berbuat demikian.

“Mencegah wanita daripada pendidikan adalah tidak dibenarkan dalam syariat Islam.”

Tidak terkecuali, Malaysia mendesak Afghanistan mengkaji semula keputusan mengharamkan golongan wanita di negara itu memasuki universiti kerana ia akan menjejaskan pembangunan pendidikan umat Islam pada masa akan datang.

“Saya telah menulis surat berhubung perkara tersebut kepada Pemangku Menteri Pengajian Tinggi Afghanistan, Neda Mohammad Nadeem dan duta negara itu di Malaysia, Dr Moheb Rahman Spinghar,” kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau turut berkongsi pengalaman dan amalan Malaysia untuk menghormati golongan wanita yang menyumbang terutamanya kepada agenda kepentingan negara.

“Saya amat sedih apabila mengetahui keputusan Kementerian Pendidikan Tinggi Afghanistan yang baru-baru ini telah mengharamkan wanita daripada memasuki institusi pengajian tinggi di negara itu.”

Atriza Umar
Pegawai Jabatan Penyiaran dan Multimedia
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

  • 5-7 April 2024
  • Ahmad Shahimi Senawi (0124061444)

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

  • 5-7 April 2024
  • Us Rozi Abu (0103535159)

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

  • 5-7 April 2024
  • Ruzinoor Che Mat (0194726820) Khairussani Farid (0132227380)

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Dr Mohamad Heerwan Peeie (010-9112045)

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Faisal (0129725464) & Nazilah (01110540165)

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

  • 5 - 6 April 2024
  • Faisal (0129725464)

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Ustaz Muhamad Faiz bin Muhd Fadhil 019-4102067

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia