Adakah Hamas Bersalah Membunuh ‘Orang Awam’ Israel?

Adakah Hamas Bersalah Membunuh Orang Awam Israel? | IKRAM

Berikutan operasi berani Hamas baru-baru ini, terdapat banyak pihak yang menuduh bahawa Hamas telah membuktikan dirinya sebagai organisasi pengganas dan bukannya sebagai kumpulan pejuang pembebasan yang teratur dan berdisiplin. 

Asas utama tuduhan itu ialah walaupun Hamas secara umumnya menyasarkan serangan terhadap anggota tentera Israel, namun laporan media mendakwa bahawa semasa serangan berlaku, ramai warga Israel yang terbunuh, cedera atau diculik adalah daripada kalangan orang awam.

Memandangkan Hamas mendakwa dirinya sebagai kumpulan yang bermotifkan ajaran agama, mengapakah para pejuangnya meninggalkan ajaran Islam yang melarang membunuh orang awam yang tidak bersalah?

Sebelum menjawab persoalan tersebut, kita mesti mengakui terlebih dahulu bahawa terdapat bukti yang menunjukkan bahawa pejuang Hamas sememangnya memberi tumpuan untuk membunuh anggota tentera Israel dalam operasi mereka baru-baru ini. 

Senarai panjang nama orang Israel yang dibunuh oleh pejuang Hamas yang diterbitkan oleh Jerusalem Post pada 11 Oktober 2023 hampir keseluruhannya terdiri daripada anggota tentera.

Portal berita Israel lain turut menyenaraikan nama-nama anggota tentera yang dibunuh oleh pejuang Hamas setelah mereka berjaya menembusi sekurang-kurangnya tiga pangkalan tentera Israel.

Bukti juga menunjukkan bahawa pejuang Hamas telah mengelak daripada membunuh orang awam. Sebagai contoh, dalam satu kes di sebuah penempatan Yahudi, seorang ibu yang mempunyai dua anak kecil menceritakan kepada stesen TV Saluran 12 Israel bagaimana pejuang Hamas yang menceroboh rumahnya langsung tidak mencederakan sama ada dia mahupun anak-anaknya.

Mereka memberitahunya supaya tidak bimbang kerana sebagai orang Islam, mereka tidak akan membunuh nya dan anak-anaknya. Selepas dua jam berada di rumah wanita berkenaan, pejuang Hamas tersebut telah meninggalkannya tanpa mencederakannya langsung. Mereka hanya memakan beberapa biji buah pisang yang terdapat di atas meja dapur, itupun setelah mendapatkan kebenaran daripadanya.

Namun, mungkin ada yang bertanya, bagaimana pula dengan kes kira-kira 260 orang muda yang ditembak mati oleh pejuang Hamas ketika sedang berpesta berhampiran sempadan Gaza.

Menurut laporan berita, ramai antara mereka adalah orang awam dalam kategori tentera simpanan. Mereka terdiri daripada penduduk Israel yang telah menamatkan perkhidmatan ketenteraan dan akan ditugaskan sebagai tentera simpanan apabila berlaku kecemasan termasuk peperangan, operasi ketenteraan dan bencana alam.

Mereka juga secara rutin menjalani latihan ketenteraan dan terlibat dalam aktiviti keselamatan Israel secara berterusan. Sesetengah pasukan tentera simpanan ini akan ditugaskan semula ke unit yang sama yang mereka telah berkhidmat sebelum ini, dan ada juga yang ditugaskan ke unit simpanan khusus.

Perkhidmatan sebagai tentera simpanan adalah wajib di Israel dan dianggap sebagai sebahagian daripada etos kebangsaan. Semua warga Israel di bawah umur 40 tahun yang telah berkhidmat dalam tentera Israel adalah termasuk dalam kategori tentera simpanan. 

Sebagai contoh, salah seorang daripada peserta pesta ‘orang awam’ yang diculik oleh pejuang Hamas adalah Hersh Goldberg-Polin. Goldberg-Polin berumur 23 tahun dan dilahirkan di Amerika Syarikat. Sehingga April tahun ini, beliau telah bertugas sebagai pemandu kereta kebal di Briged Berperisai ke-7.

Oleh itu, beliau termasuk dalam kategori pasukan tentera simpanan Israel yang boleh dipanggil pada bila-bila masa untuk memandu kereta kebal dan menjalankan operasi ketenteraan terhadap warga Palestin. Oleh yang demikian, Hamas menganggap beliau dan orang-orang lain seperti beliau sebagai sasaran operasi ketenteraan yang sah.

Namun demikian, premis terpenting yang mendasari pendekatan ketenteraan Hamas ialah keyakinan rakyat Palestin bahawa Israel dan semua aparatnya bukan sahaja musuh ketat tetapi juga entiti haram kerana ia wujud secara langsung melalui perampasan kawalan Palestin ke atas tanah air mereka.

Ahli sejarah Yahudi, Profesor Ilan Pappe telah mengesahkan perkara ini di dalam bukunya yang bertajuk `The Ethnic Cleansing of Palestine’.

Menurut Pappe, kewujudan Israel pada tahun 1948 adalah akibat langsung daripada tindakan jenayah kumpulan separa tentera Yahudi Zionis, yang terdiri daripada individu yang datang dari Eropah ke bumi Palestin, yang kemudiannya melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap ratusan rakyat Palestin yang tidak bersalah, termasuk wanita dan kanak-kanak.

Tindakan mereka yang paling keji ialah ‘pembunuhan beramai-ramai di Deir Yassin’ pada 1948 apabila ratusan penduduk kampung Palestin yang tidak bersalah dibunuh dan rumah mereka dibakar.

Kesan langsung daripada tindakan ini ialah kira-kira 750,000 orang rakyat Palestin telah menjadi pelarian, namun tidak dibenarkan pulang ke tanah air mereka sehingga kini, walaupun ia adalah hak mereka di bawah Resolusi 194 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang diterima pakai pada 1948.

Bagi rakyat Palestin, tindakan mengiktiraf negara Israel adalah sama dengan memberi legitimasi kepada pembunuhan ibu bapa, datuk nenek dan saudara mara mereka. Atas sebab yang sama, ramai ulama Islam menganggap adalah “haram” bagi mana-mana kerajaan Islam mengiktiraf negara Israel.

Satu lagi aspek penting yang perlu diberi perhatian ialah ramai sarjana yang mengkaji isu Palestin seperti Profesor Ilan Pappe, Joseph Massad, Rashid Khalidi, Noura Erakat, Hamid Dabashi dan Robert Wolfe menganggap Israel adalah satu projek peneroka-penjajah (settler-colonialism).

Hal ini kerana wujudnya Israel adalah hasil daripada projek Zionis yang melibatkan proses pengilhakan tanah yang berterusan yang bermula daripada awal pembentukannya.

Projek itu melibatkan pemindahan keluar penduduk Palestin dari tanah air mereka untuk memberi laluan kepada pendatang asing dari Eropah dan tempat lain. Peneroka asing ini kemudiannya telah megisytiharkan kedaulatan ke atas bumi yang dirampas secara paksa daripada rakyat Palestin.

Sarjana-sarjana tersebut merumuskan bahawa Israel adalah seperti mana-mana projek “settler-colonialism” yang lain sebelum ini, iaitu orang asing telah merampas dan menjajah wilayah dan mengisytiharkan kedaulatan mereka ke atas wilayah tersebut sambil menghapuskan serta melenyapkan kedaulatan warga tempatan ke atas tanah mereka sendiri.

Ini terbukti dengan tindak tanduk secara berterusan di pihak Israel untuk menghapuskan identiti dan kedaulatan Palestin daripada wilayah Palestin, termasuk dengan cara menukar nama-nama kampung Palestin dan menggantikan tanah perkuburan lama Palestin dengan taman-taman rekreasi baru.

Sikap peneroka-penjajah negara haram Israel semakin jelas sejak pelantikan semula Benjamin Netanyahu sebagai Perdana Menteri pada Disember 2022 melalui sokongan puak pelampau Zionis.

Kerajaan Israel tidak lagi merasakan perlu menyembunyikan agenda Zionisnya yang sebenar iaitu untuk memastikan semua wilayah Palestin, termasuk Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur, berada seratus peratus di bawah kawalan mereka.

Penduduk Palestin di Tebing Barat akan dihalau keluar dan peneroka haram Yahudi akan mengambil alih tanah mereka. Gaza pula dikepung untuk memaksa penduduknya tidak menentang Israel atau akur dan berpindah keluar dari Gaza.

Ini adalah sebahagian daripada dasar aparteid yang dilaksanakan oleh kerajaan Israel, sepertimana yang telah dilaporkan juga oleh badan hak asasi manusia terkenal seperti Human Rights Watch, Amnesty International dan Pertubuhan Hak Asasi Manusia Israel B’TSelem.

Atas sebab ini, Hamas dan kumpulan Palestin yang lain menganggap seluruh Israel (yang mereka masih rujuk sebagai Palestin) sebagai zon perang di mana operasi bersenjata untuk membebaskan tanah mereka yang dijajah ini dianggap sah.

Mana-mana warga asing yang datang ke Israel mesti faham bahawa mereka akan mempertaruhkan nyawa mereka apabila memasuki zon perang. Lebih-lebih lagi jika mereka datang dan berkhidmat dalam kerajaan dan institusi Israel, mereka akan dianggap bersubahat dalam jenayah menjajah bumi Palestin. Dengan kata lain, mereka tidak boleh mengaku sebagai “orang awam yang tidak bersalah”. 

Kesimpulannya, istilah “orang awam Israel” yang diguna pakai dalam laporan berita amat mengelirukan. Orang yang terlibat dalam pembersihan etnik dan tindakan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin tidak boleh mendakwa diri mereka sebagai orang awam.

Mereka patut menerima risiko tercedera atau terbunuh semasa berada dalam zon operasi perang para pejuang Palestin yang berjuang untuk membebaskan tanah air mereka daripada penjajah asing.

Walaupun perjuangan bersenjata Palestin untuk membebaskan tanah mereka sah di sisi undang-undang, terdapat satu lagi jalan tanpa kekerasan yang boleh diikuti oleh masyarakat antarabangsa untuk membantu rakyat Palestin mencapai kebebasan mereka iaitu dengan menyokong gerakan Boycott, Divestment and Sanctions (BDS).

Gerakan ini menyeru supaya negara haram Israel diboikot selagi mana ia tidak memenuhi tiga tuntutan penting yang berikut:

  1. Menamatkan pendudukan dan penjajahannya ke atas semua tanah Arab Palestin serta meruntuhkan tembok pemisah. 
  2. Mengiktiraf hak asasi rakyat Arab-Palestin Israel ke arah kesaksamaan yang total. 
  3. Menghormati, melindungi dan mempromosi hak pelarian Palestin untuk pulang ke rumah dan kampung halaman mereka sepertimana yang ditetapkan dalam Resolusi PBB 194. 

Paling penting untuk kita sedar sebenarnya ialah, jika gerakan BDS berjaya memaksa Israel untuk memenuhi ketiga-tiga tuntutan di atas serta meninggalkan dasar aparteid dan genosid terhadap rakyat Palestin serta memberikan hak sama rata kepada semua penduduk di Palestin tanpa mengira bangsa dan agama, Hamas tidak perlu lagi menjalankan operasi bersenjata terhadap semua warga Israel, sama ada anggota tentera atau bukan tentera.

Prof Dr Mohd Nazari Ismail
Pengarah
Pusat Kajian Palestin Hashim Sani
Universiti Malaya
12 Oktober 2023

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

  • 5-7 April 2024
  • Ahmad Shahimi Senawi (0124061444)

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

  • 5-7 April 2024
  • Us Rozi Abu (0103535159)

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

  • 5-7 April 2024
  • Ruzinoor Che Mat (0194726820) Khairussani Farid (0132227380)

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Dr Mohamad Heerwan Peeie (010-9112045)

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Faisal (0129725464) & Nazilah (01110540165)

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

  • 5 - 6 April 2024
  • Faisal (0129725464)

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Ustaz Muhamad Faiz bin Muhd Fadhil 019-4102067

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia