Adakah al-Quran Wahyu Tuhan? Apa Buktinya?

Adakah al-Quran Wahyu Tuhan? Apa Buktinya? | IKRAM

Berdasarkan pengalaman para pendakwah, antara perkara lazim yang ditanyakan oleh bukan Muslim mengenai Islam adalah berkaitan al-Quran. Paling asas soalan mereka ialah,“Benarkah al-Quran wahyu Tuhan? Jika benar, apa buktinya?” 

Sebagai Muslim, alangkah baiknya jika kita mempunyai sedikit pengetahuan untuk merungkai persoalan tersebut. 

Malah, kebenaran al-Quran sebagai wahyu Tuhan merupakan perkara pokok yang perlu kita jelaskan, lebih-lebih lagi kepada mana-mana individu bukan Islam yang berminat untuk memahami ajaran Islam.

Jika kita dapat membuktikan al-Quran sebagai wahyu Tuhan, secara tidak langsung kita juga sebenarnya telah dapat membuktikan kewujudan Tuhan.

Cabang Rukun Iman

Keimanan kepada kitab-kitab merupakan salah satu cabang Rukun Iman. Dalam al-Quran, Allah menceritakan tentang kitab-kitab yang diturunkan kepada rasul-rasul, antaranya ialah kitab Taurat kepada Nabi Musa a.s., kitab Zabur kepada Nabi Daud a.s. dan kitab Injil kepada Nabi Isa a.s. Hal ini terkandung dalam ayat-ayat yang berikut:

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan kitab TAURAT di dalamnya (ada) petunjuk dan cahaya (yang menerangi), yang dengan Kitab itu diputuskan perkara orang-orang Yahudi oleh nabi-nabi yang menyerah diri kepada Allah, oleh orang-orang alim mereka dan pendeta-pendeta mereka, disebabkan mereka diperintahkan memelihara kitab-kitab Allah dan mereka menjadi saksi terhadapnya…” (Al-Maaidah 5 : 44)

“Dan Tuhanmu lebih mengetahui siapa yang (ada) di langit dan di bumi. Dan sesungguhnya telah Kami lebihkan sebahagian nabi-nabi itu atas sebahagian (yang lain), dan kami berikan ZABUR (kepada) Daud.” (Al-Israa’ 17 : 55)

“Dan Kami iringkan jejak mereka (nabi-nabi Bani Israel) dengan Isa putera Maryam, membenarkan kitab yang sebelumnya iaitu Taurat, dan Kami telah memberikan kepadanya kitab INJIL sedang di dalamnya (ada) petunjuk dan cahaya (yang menerangi), dan membenarkan kitab yang sebelumnya iaitu Taurat. Dan menjadi petunjuk serta pengajaran untuk orang-orang yang bertakwa.” (Al-Maaidah 5 : 46)

Selain kitab-kitab tersebut, kita turut meyakini bahawa Allah pernah menurunkan kitab-kitab yang lain, namun Allah tidak menjelaskan secara lanjut nama-nama kitab tersebut dan kepada siapa ia diturunkan. 

“Dan sesungguhnya Kami telah mengutus beberapa rasul sebelum kamu dan Kami memberikan kepada mereka isteri-isteri dan keturunan. Dan tidak ada hak bagi seorang Rasul mendatangkan sesuatu ayat (mukjizat) melainkan dengan izin Allah. Bagi tiap-tiap masa ada Kitab (yang tertentu).” (Ar-Ra’d 13 : 38)

Al-Quran merupakan kitab terakhir yang diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad SAW dalam bahasa Arab. Wahyu al-Quran turun secara beransur-ansur kepada baginda selama 23 tahun melalui perantaraan malaikat Jibril.

Al-Quran juga merupakan mukjizat terbesar Rasulullah SAW, malah satu-satunya mukjizat baginda yang dapat kita tatapi sehingga ke hari ini. 

Berbeza dengan kitab-kitab sebelum ini yang menjadi panduan hanya kepada umat tertentu, di tempat tertentu dan pada masa tertentu, al-Quran adalah manual daripada Tuhan untuk semua manusia sehingga Hari Kiamat. 

“Bulan Ramadan adalah (bulan) yang di dalamnya diturunkan al-Quran sebagai PETUNJUK BAGI MANUSIA dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang benar dan yang batil)…” (Al-Baqarah 2 : 185)

Pemeliharaan al-Quran Bukti Wahyu

Kebenaran al-Quran sebagai wahyu Tuhan boleh dibuktikan melalui proses pemeliharaan al-Quran itu sendiri. 

Sehingga kini al-Quran yang turun pada sekitar 1,400 tahun dahulu tidak pernah mengalami sebarang penambahan atau perubahan pada ayat-ayatnya, walaupun satu huruf. Malah ia akan tetap asli selama-lamanya kerana Allah telah berjanji akan memeliharanya. 

“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran dan pasti Kami (pula) yang memeliharanya.” (Al-Hijr 15 : 9)

Salah satu bentuk proses pemeliharaan al-Quran adalah melalui hafalan. Sejak al-Quran diturunkan, para sahabat menghafal ayat-ayat al-Quran yang dibacakan oleh baginda Rasulullah SAW kepada mereka.

Tradisi hafalan ini diteruskan pada zaman khulafa’ rasyidin dan zaman kemudiannya, malah banyak madrasah telah didirikan bagi melahirkan para penghafaz al-Quran.

Al-Quran juga merupakan satu-satunya kitab agama di dunia yang dihafal seluruh isi kandungannya oleh jutaan manusia, dari dulu hingga kini.

Disebabkan begitu ramai manusia yang menghafal al-Quran, adalah mustahil bagi mana-mana individu atau kumpulan manusia yang dapat mengubah isi kandungan al-Quran.

Foto: https://www.metmuseum.org/

Analoginya, jika saya nyanyikan lagu ‘Negaraku’ seperti berikut, “Negaraku, tanah tumpahnya airku..” Saya percaya ramai rakyat Malaysia akan tahu kesalahan nyanyian saya. Bagaimana mereka boleh tahu? Kerana kita rakyat Malaysia menghafal lirik lagu Negaraku.

Satu lagi bentuk pemeliharaan al-Quran adalah melalui proses penulisan al-Quran. Sewaktu zaman Rasulullah SAW, baginda telah melantik beberapa orang sahabat untuk menjadi jurutulis rasmi Al-Quran.

Antara mereka yang terkenal ialah Zaid bin Thabit, Ibnu Mas’ud, Ubay bin Kaab dan Zubair bin al-Awwam. Selain mereka, terdapat juga sahabat-sahabat lain yang menulis ayat-ayat al-Quran untuk simpanan peribadi mereka. 

Namun pada zaman Ar-Rasul, penulisan al-Quran masih dalam bentuk lembaran-lembaran yang terpisah dan belum dibukukan secara lengkap dan sempurna.

Mushaf al-Quran yang pertama hanya wujud pada zaman Khalifah Abu Bakar As-Siddiq. Kemudian pada zaman Khalifah Uthman bin Affan, mushaf Al-Quran tersebut dibuat beberapa salinan dan dihantar ke wilayah-wilayah Islam yang utama. 

Pada hari ini dikatakan manuskrip asal dan salinan-salinan al-Quran tersebut masih dipelihara di beberapa muzium utama di dunia iaitu di Museum of Tashkent, Uzbekistan (manuskrip asal), Topkapi Museum, Istanbul (Turkey), Library of Congress, Washington D.C. (Amerika Syarikat), Chester Beatty Museum, Dublin (Ireland) dan London Museum (England).

Kebenaran Ayat-ayat Tuhan

Kebenaran al-Quran sebagai kalam Tuhan juga boleh dibuktikan melalui ayat-ayat yang terkandung di dalam kitab tersebut. Apabila diperhatikan kepada ayat-ayat berkaitan, tidak mungkin ia dikarang atau direka oleh Nabi Muhammad SAW mahupun manusia lain, sebaliknya benar-benar datang daripada Tuhan. 

Misalnya, ayat-ayat al-Quran menceritakan tentang kisah-kisah silam yang berlaku beribu-ribu tahun dahulu yang tidak pernah diketahui oleh masyarakat Arab pada ketika al-Quran diturunkan.

Menariknya, kisah-kisah tersebut disahkan benar melalui penemuan dan penyelidikan arkeologi pada dunia moden. Antaranya ialah kisah kaum-kaum terdahulu yang telah menolak para rasul yang diutuskan kepada mereka dan kemudian dipupuskan oleh Allah daripada muka bumi ini. 

Berhubung perkara ini, Allah berfirman;

“Apakah tidak sampai kepada mereka berita (tentang) orang-orang yang sebelum mereka, (iaitu) kaum Nuh, ‘Ad, Thamud, kaum Ibrahim, penduduk Madyan, dan (penduduk) negeri-negeri yang telah musnah? Telah datang kepada mereka rasul-rasul dengan membawa bukti-bukti yang nyata; Allah tidak menzalimi mereka, tetapi merekalah yang menzalimi diri mereka sendiri.” (At-Taubah 9 : 70)

Dalam al-Quran terdapat banyak ayat yang menceritakan kisah Nabi Nuh a.s. dan kaumnya yang menolak seruan baginda untuk mentauhidkan Allah. 

Kaum Nabi Nabi Nuh a.s. yang ingkar telah ditenggelamkan dalam banjir besar, manakala golongan yang beriman telah diselamatkan oleh Allah. 

Melalui kajian arkeologi, peristiwa ini dipercayai berlaku di sekitar kawasan dataran Mesopotamia yang mana kesan-kesan satu banjir besar telah ditemui di bandar-bandar utama yang terletak di kawasan tersebut iaitu bandar Ur, Erech, Kish dan Shuruppak pada sekitar milenium ketiga sebelum Masihi. 

“Maka mereka mendustakannya (Nuh) lalu Kami selamatkan dia dan orang-orang yang bersamanya di dalam kapal, Kami tenggelamkan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, sesungguhnya mereka adalah kaum yang buta (mata hatinya).” (Al-A’raaf 7: 64)

Al-Quran juga menceritakan tentang kaum ‘Ad yang turut dibinasakan oleh Allah kerana menolak dakwah Nabi Hud a.s. Ribut pasir yang dahsyat dan berterusan selama beberapa hari telah sama sekali melenyapkan mereka.

Pada awal 1990-an, ahli-ahli arkeologi telah menemui kesan-kesan penduduk daripada timbunan-timbunan pasir di sebuah bandar purba bernama ‘Uber’ yang mengesahkan kewujudan kaum ‘Ad pada suatu masa dahulu. 

“Adapun kaum ‘Ad maka mereka telah dibinasakan dengan angin yang sangat dingin lagi amat kencang, yang Allah menimpakan angin itu kepada mereka selama tujuh malam dan lapan hari terus-menerus; maka kamu lihat kaum ‘Ad pada waktu itu mati bergelimpangan seakan-akan mereka tunggul pohon kurma yang telah kosong (lapuk).” (Al-Haqqah 69 : 6-7)

Selain itu, melalui al-Quran juga kita mengetahui kisah kaum Thamud yang dihancurkan oleh Allah kerana pendustaan mereka terhadap seruan dan amaran Nabi Saleh a.s.

Hari ini sumber-sumber arkeologi telah mengesahkan kewujudan kaum yang dikenali sebagai Thamud yang pernah mendiami bandar ‘al-Hijr’ dan mereka mempunyai kemahiran seni ukiran batu. 

“Dan orang-orang yang zalim itu dibinasakan oleh satu letusan suara yang menggempakan bumi, lalu menjadilah mereka mayat-mayat yang tersungkur di tempat tinggal masing-masing. (Mereka punah-ranah) seolah-olah mereka tidak pernah tinggal di situ. Ketahuilah! Sesungguhnya kaum Thamud itu kufurkan Tuhan mereka. Ketahuilah! Sesungguhnya kebinasaanlah akhirnya bagi kaum Thamud.” (Hud 11 : 67-68)

Keindahan Bahasa al-Quran

Al-Quran juga boleh dibuktikan kebenarannya melalui bahasa al-Quran itu sendiri. Ketika Nabi Muhammad SAW membacakan ayat-ayat al-Quran kepada kaum kafir Quraisy yang terkenal hebat dalam kefasihan, balaghah dan kesusasteraan Arab, mereka berasa takjub dengan ketinggian bahasa al-Quran. 

Ini diakui sendiri oleh salah seorang tokoh syair mereka iaitu al-Walid bin Mughirah yang pernah mengatakan, “Demi Allah, tidak ada seorang pun antara kamu (bangsa Quraisy) yang lebih tahu tentang syair-syair daripadaku, dan tidak ada pula yang lebih mengetahui rajaz, qasidahnya dan syair-syair jin selain diriku.”

“Demi Allah, tidak ada satu pun daripada apa yang dibaca Muhammad menyerupai ini semua. Demi Allah, sesungguhnya ungkapan yang disampaikannya sangat manis dan apa yang dituturkannya sangat indah.” (Riwayat al-Hakim)

Terdapat juga dalam kalangan mereka yang menuduh Rasulullah SAW sebagai tukang sihir dan penyair apabila dibacakan ayat-ayat al-Quran kepada mereka.

Namun apabila Allah mencabar mereka untuk mendatangkan kitab sebanding dengan al-Quran, mereka tidak mampu untuk menyahutnya. Jangankan sepuluh surah, satu surah yang pendek seperti  surah al-Ikhlas pun mereka tidak mampu untuk membuatnya.

“Katakanlah, ‘Sesungguhnya jika manusia dan jin berkumpul untuk membuat yang serupa (dengan) al-Quran ini, mereka tidak akan dapat membuat yang serupa dengannya, sekalipun mereka saling membantu antara satu sama lain.’” (Al-Israa’ 17 : 88)

“Bahkan mereka mengatakan, ‘Dia (Muhammad) telah membuat-buat al-Quran itu.’ Katakanlah, ‘(Kalau demikian), datangkanlah sepuluh surah semisal dengannya (al-Quran) yang dibuat-buat, dan ajaklah siapa saja di antara kamu yang sanggup selain Allah, jika kamu orang-orang yang benar.’” (Hud 11 : 13)

“Dan jika kamu meragukan (al-Quran) yang Kami turunkan kepada hamba Kami (Muhammad), maka buatlah satu surah semisal dengannya dan ajaklah penolong-penolongmu selain Allah, jika kamu orang-orang yang benar.” (Al-Baqarah 2 : 23)

Kehebatan dan kejituan gaya bahasa al-Quran juga telah menyebabkan ada dalam kalangan pemuka Arab Quraisy yang memeluk agama Islam. Satu contoh yang popular ialah Saidina Umar al-Khattab.

Sebelum Islam, beliau adalah antara individu yang sangat memusuhi Rasulullah s.a.w. Namun dalam satu peristiwa, setelah beliau mendengar ayat-ayat al-Quran daripada surah Taahaa yang dibaca oleh adiknya iaitu Fatimah yang telah memeluk Islam, hati beliau menjadi lembut dan terpesona dengan keindahan ayat-ayat al-Quran tersebut, lantas dikurniakan hidayah oleh Allah untuk kembali kepada fitrah. 

“Taahaa. Kami tidak menurunkan al-Quran kepadamu (wahai Muhammad) supaya engkau menanggung kesusahan. Hanya untuk menjadi peringatan bagi orang-orang yang takut yang melanggar perintah Allah. Al-Quran diturunkan daripada Tuhan yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi. Iaitu Allah Ar-Rahman, yang bersemayam di atas ‘Arasy.” (Taahaa 20 : 1-5)

Al-Quran Dan Sains

Selain itu, kebenaran al-Quran juga boleh dibuktikan melalui ayat-ayatnya yang menceritakan tentang ilmu yang tidak diketahui oleh umat manusia pada ketika ia diturunkan, yang kita kenali hari ini sebagai ilmu sains. 

Al-Quran bukanlah kitab sains, namun ia dipenuhi dengan ayat-ayat yang menceritakan perkara-perkara berkaitan ilmu sains seperti kosmologi, astronomi, geologi, embriologi, oseanografi dan banyak lagi yang selari dengan penemuan-penemuan saintifik. 

Contohnya, al-Quran menceritakan tentang langit dan bumi yang dahulunya bersatu padu dan setiap hidupan berasal daripada air dalam ayat berikut (yang bermaksud):

“Dan apakah orang-orang kafir tidak mengetahui bahawa langit dan bumi kedua-duanya dahulunya menyatu, kemudian Kami pisahkan antara kedua-duanya; dan Kami jadikan segala sesuatu yang hidup berasal daripada air; maka mengapa mereka tidak beriman?” (Al-Anbiyaa’ 21 : 30)

Al-Quran juga menjelaskan peranan gunung sebagai pasak bumi dalam ayat berikut (yang bermaksud): 

“Dan gunung-gunung Dia pancangkan dengan teguh.” (Al-Nazi’at 79 : 32)

Al-Quran turut menyatakan bahawa manusia akan berasa sesak nafas apabila berada di tempat tinggi, seperti dalam ayat berikut (yang bermaksud):

“Barang siapa dikehendaki Allah akan mendapat hidayah (petunjuk), Dia akan membukakan dadanya untuk (menerima) Islam. Dan barang siapa dikehendaki-Nya menjadi sesat, Dia jadikan dadanya sempit dan sesak, seakan-akan dia (sedang) mendaki ke langit. Demikianlah Allah menimpakan seksa kepada orang-orang yang tidak beriman.” (Al-An’am 6 : 125)

Ayat mengenai proses kejadian manusia pula disebut dalam ayat berikut (yang bermaksud):

“Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia daripada suatu saripati (berasal) dari tanah. Kemudian Kami jadikan saripati itu air mani (yang disimpan) dalam tempat yang kukuh (rahim). Kemudian air mani itu Kami jadikan segumpal darah, lalu segumpal darah itu Kami jadikan segumpal daging, dan segumpal daging itu Kami jadikan tulang-belulang, lalu tulang-belulang itu Kami bungkus dengan daging. Kemudian Kami jadikan dia makhluk yang (berbentuk) lain. Maka Maha sucilah Allah, Pencipta yang Paling Baik.” (Al-Mukminun 23 : 12-14)

Jika manusia pada waktu itu tidak mempunyai apa-apa pengetahuan mengenai ilmu sains seperti yang disebut dalam ayat-ayat al-Quran di atas, ditambah pula dengan ketiadaan kemudahan dan teknologi sains yang canggih, maka dari mana ayat-ayat ini datang? Sudah tentu ia bukan rekaan manusia, sebaliknya datang daripada Tuhan yang Maha Berkuasa. 

Saintis Peluk Islam

Ramai tokoh saintis dalam dunia moden telah memeluk agama Islam disebabkan ilmu yang mereka kuasai diceritakan oleh al-Quran. Antara mereka ialah Profesor Tagatat Tejasen dari Thailand yang merupakan seorang saintis yang cukup arif mengenai bidang anatomi (struktur tubuh manusia).

Beberapa dekad yang lampau, setelah berdialog dengan beberapa orang ilmuwan Islam mengenai anatomi kulit manusia dan meneliti hasil pengkajian Profesor Keith Moore dari Kanada (seorang yang amat dikagumi oleh beliau) mengenai persamaan ilmu embriologi moden dan anatomi dengan ayat yang telah disebut dalam al-Quran, Profesor Tagatat akhirnya melafazkan syahadah. Ayat tersebut adalah seperti berikut (yang bermaksud):

“Sesungguhnya orang yang kufur terhadap ayat Kami, kelak Kami akan masukkan mereka ke neraka. Setiap kali kulit mereka hangus, kami gantikan kulit mereka dengan kulit lain supaya mereka merasakan azab. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (An-Nisaa’ 4 : 56)

Dalam kisah yang lain, seorang ahli lautan dari Perancis yang bernama Jacques Yves Costeau telah menemui beberapa kumpulan mata air yang tawar tidak bercampur dengan air laut yang masin di sekelilingnya, seolah-olah ada dinding yang membatasi kedua-duanya daripada bercampur.

Setelah beliau ditunjukkan ayat-ayat daripada al-Quran oleh seorang ilmuan Islam berkaitan fenomena ini, beliau kemudiannya memeluk agama Islam kerana berasa takjub dengan mukjizat al-Quran tersebut. Ayat-ayat tersebut adalah seperti berikut (yang bermaksud):

“Dia membiarkan dua lautan mengalir yang kedua-duanya kemudian bertemu. Antara kedua-duanya ada batas yang tidak dilampaui masing-masing.” (Ar-Rahman 55 :19-20)

“Dan Dialah yang membiarkan dua laut mengalir (berdampingan); yang ini tawar dan segar dan yang lain sangat masin lagi pahit; dan Dia jadikan antara kedua-duanya dinding dan batas yang tidak tembus.” (Al-Furqaan 25 : 53)

Kongsikan Kebenaran

Fakta-fakta yang telah dijelaskan di atas hanyalah sebahagian kecil daripada sekian banyak hujah yang boleh digunakan untuk membuktikan kebenaran al-Quran sebagai wahyu Tuhan.

Pada masa yang sama, ia juga diharap dapat menangkis tohmahan golongan yang menuduh al-Quran adalah rekaan Nabi Muhammad SAW. Kita meyakini bahawa al-Quran merupakan mukjizat dan keajaibannya tidak akan berhenti sehingga akhir zaman. 

Sebagai Muslim, mari kita kongsikan kebenaran kitab al-Quran ini kepada rakan-rakan bukan Islam di sekeliling kita yang masih belum mendapat maklumat tentang isi kandungan al-Quran.

Semoga Allah membuka pintu hati mereka untuk kembali kepada agama Islam, agama fitrah untuk manusia sejagat. 

Wan Muhammad Wan Ibrahim adalah Pengarah Jabatan Pengurusan Daie dan Sukarelawan, Hidayah Centre Foundation dan Ketua Jawatankuasa Dakwah IKRAM Negeri Selangor.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia