KUALA LUMPUR – Usaha gabungan NGO-NGO Islam, Allied Coordinating Committee of Islamic NGOs (ACCIN) amat signifikan dalam membina persefahaman antara penganut agama sekali gus membentuk keharmonian di negara ini.
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada ACCIN dalam usaha murni membantu dalam pembangunan masyarakat, negara dan keharmonian, dan persefahaman antara penganut agama, “ kata Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar.
Usaha tersebut boleh dilihat apabila ACCIN terlibat mewakili kelompok NGO-NGO Islam dalam Jawatankuasa Mempromosi Persefahaman dan Keharmonian di antara Penganut Agama (JKMPKA) iaitu satu lantikan kabinet.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Ulang Tahun ACCIN ke-20 di Sime Darby Convention Centre semalam di sini.
Pada saat getir negara dilanda Covid-19 pada 2021, Dr Mohd Daud memuji usaha ACCIN bekerjasama dengan Buddhist Tzu Chi Foundation yang telah berjaya mengutip dana sebanyak RM31 juta dalam masa tiga bulan melalui dana Malaysia Solidarity Covid-19 Fund bagi membantu hospital-hospital yang kekurangan kelengkapan.
“Ini satu usaha yang boleh diteruskan di masa hadapan, dengan banjir, pascabanjir dan juga keperluan-keperluan masyarakat merentasi agama, bangsa dan alamat rumah.”
Jelas beliau, MAIWP tidak boleh dan tidak mampu berada dalam semua petak kehidupan Islam setiap masa.
“Sehubungan itu, ACCIN adalah antara pemegang taruh yang terpenting dalam ekosistem kerja amal Islami di Wilayah-wilayah Persekutuan.”
Dr Mohd Daud turut merakamkan usaha-usaha menonjol ACCIN dalam bidang advokasi antaranya menentang usaha menyamaratakan agama melalui ‘Interfaith Commission’ (IFC), memperjuangkan isu pendidikan anak orang tanpa kenegaraan (OTK), isu pemurnian akidah dan menangani gerakan sesat, serta seminar mencegah dan menangani keganasan.
Beliau menyambut baik saranan tentang keperluan negara untuk menyediakan dana geran sepadanan (matching grant) untuk NGO-NGO dalam bajet tahunannya sebagai mengiktiraf peranan dan usaha mereka sebagai rakan kongsi dalam pembinaan negara.
Menurutnya, ia satu usaha dan usul yang baik yang perlu diambil kira oleh semua pemegang taruh di negara sama ada di peringkat nasional, GLC ataupun di peringkat agensi-agensi yang berkaitan.
“Kami (MAIWP) bersedia melihat mana-mana cadangan yang spesifik, yang berstruktur ke arah memberikan dana geran sepadanan dalam bentuk yang senang diukur nilainya dan menjurus kepada konteks Wilayah Persekutuan,” ujarnya.
Dr Mohd Daud juga menggariskan empat tunjang yang perlu ada dalam mana-mana organisasi seperti ACCIN iaitu idea yang memberikan impak, ada pemimpin, penggerak dan pendukung, ada wadah, wacana atau ‘vehicle’, dan juga dana atau segala bentuk keperluan kewangan bagi menjayakan organisasi.
Usai perasmian, beliau menyempurnakan pelancaran buku Ulang Tahun ACCIN ke-20 dengan tema ‘Penerusan Misi Rahmatan Lil Alamin.’
Majlis yang dihoskan oleh Nizal Mohammad diserikan lagi dengan persembahan khas oleh kumpulan nasyid Mirwana, sesi Bicara Tokoh bersama Prof. Emeritus Dato’ Dr Osman Bakar dan pelancaran #jomkongsipahala.
Turut hadir dalam Majlis Ulang Tahun ACCIN ke-20 ialah Pengerusi ACCIN, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim, Naib Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Prof. Dr Hanim Salleh dan Setiausaha Agung IKRAM, Hj Shahrul Aman Mohd Saari dan pemimpin-pemimpin NGO Islam yang lain.