Anggota misi A2G11-ER tiba di KLIA pada jam 6.15 petang Isnin, 10 Disember 2012 disambut oleh Pengerusi Aqsa Syarif, Ahli Lembaga, para aktivis dan ahli keluarga anggota misi.
Menurut Norazmi, perjalanan rombongan berjalan lancar dan bantuan yang dibawa berjaya diagihkan di sana untuk keperluan rakyat Gaza. Beliau turut mengalu-alukan warga remaja dan belia menyertai misi kemanusiaan bagi menyelami, menyantuni dan merasai pengalaman bersama remaja dan belia di Gaza.
Foto: Hj Norazmi dan Zain Saidin tiba (1), Afdlin Shauki memeluk Dr Hafidzi (2) dan Afdlin ditemuramah (3).
Bagi Afdlin Shauki, beliau mengagumi semangat juang penduduk Gaza yang tidak pernah meminta simpati, bahkan tabah menghadapi kehidupan walaupun kehilangan anggota keluarga dalam serangan baru-baru ini. Beliau turut merancang untuk ke Gaza semula bagi membantu penduduk di sana.
Menurut Pengerusi Aqsa Syarif, Dr Hafidzi Mohd Noor yang turut menyambut ketibaan rombongan, jumlah bantuan ke Gaza sehingga dua misi kecemasan ini adalah berjumlah RM1.9 juta.
Katanya, dua lagi misi kecemasan Aqsa Syarif, A2G12-ER dan A2G13-ER dijangka bertolak pada 16 Disember dan 24 Disember dengan penglibatan beberapa selebriti tanah air yang akan diumumkan sedikit masa lagi.
Anggota misi yang juga Ketua Wanita IKRAM, Ustazah Maznah Daud berkata, rakyat Palestin di sana sangat kuat dan tidak memerlukan pertolongan kita tetapi kitalah yang wajib menolong mereka kerana mereka berusaha mempertahankan masjid suci umat Islam, Masjid Al-Aqsa dan Palestin yang menjadi tanah wakaf umat Islam.
Tambahnya, pertolongan kita adalah satu jihad dan kewajipan, bukannya kerana sedekah atau simpati. Beliau yang turut menyaksikan beberapa projek Aqsa Syarif di Gaza berkeyakinan bahawa bantuan yang disampaikan Aqsa Syarif adalah secara telus dan terus kepada rakyat Gaza.