Perjuangan Islam Tidak Terhad kepada Politik Parti

Perjuangan Islam Tidak Terhad kepada Politik Parti | IKRAM

Antara kecelaruan dalam wacana politik umat Islam di Malaysia ialah kecenderungan menyamakan perjuangan Islam dengan perjuangan parti politik, kesetiaan kepada agama dengan kesetiaan kepada parti, serta kejayaan Islam dengan kemenangan pilihan raya.

Lebih membimbangkan apabila individu atau gerakan Islam yang memilih untuk tidak terlibat secara langsung dalam politik kepartian dianggap meninggalkan perjuangan Islam, memisahkan agama daripada politik, bahkan dituduh mendukung sekularisme.

Sejak bilakah keanggotaan parti politik menjadi ukuran kesyumulan kefahaman seseorang terhadap Islam? Sejak bilakah pilihan strategi sesebuah gerakan Islam menjadi persoalan akidah? Dan sejak bilakah kemenangan sesebuah parti boleh disamakan secara mutlak dengan kemenangan Islam?

Persoalan ini perlu dijawab dengan neraca ilmu, bukan sentimen kepartian.

1. Kesyumulan Islam dan kepelbagaian medan perjuangan

Islam ialah agama yang syumul, meliputi seluruh aspek kehidupan termasuk politik dan pemerintahan.

Imam Hasan al-Banna menyebut dalam prinsip pertama Usul ‘Isyrin:

الإِسْلَامُ نِظَامٌ شَامِلٌ يَتَنَاوَلُ مَظَاهِرَ الْحَيَاةِ جَمِيعًا

“Islam ialah suatu sistem yang menyeluruh, merangkumi seluruh aspek kehidupan.”

Namun, kesyumulan Islam tidak bermakna setiap organisasi Islam mesti melaksanakan sendiri seluruh fungsi Islam. Jika demikian logiknya, setiap gerakan Islam perlu menubuhkan parti politik, universiti, hospital, bank dan pelbagai institusi lain secara serentak.

Sedangkan syarak mengiktiraf pengkhususan, pembahagian tanggungjawab dan kepelbagaian medan amal. Surah at-Taubah ayat 122 memberikan asas penting tentang pembahagian peranan dalam memenuhi keperluan umat.

Sesebuah gerakan Islam boleh memahami Islam secara syumul, tetapi memilih medan penglibatan tertentu berdasarkan kemampuan, kepakaran, keutamaan dan maslahat.

Kesyumulan fikrah tidak semestinya menuntut kesyumulan medan amal sesebuah organisasi. Tidak menjadi parti politik bukan bermakna menolak kesyumulan Islam. Sebaliknya, ia boleh merupakan pilihan strategik dalam merealisasikan kesyumulan tersebut.

2. Parti politik ialah wasilah, keadilan ialah maqasid

Allah SWT menjelaskan dalam Surah al-Hadid ayat 25 bahawa antara tujuan pengutusan para rasul dan penurunan kitab ialah supaya manusia menegakkan keadilan.

Keadilan merupakan tuntutan syarak. Adapun parti politik, pilihan raya, gabungan politik dan pembentukan kerajaan merupakan antara mekanisme untuk merealisasikan tuntutan tersebut. Dalam kaedah fiqh disebut:

لِلْوَسَائِلِ أَحْكَامُ الْمَقَاصِدِ

“Wasilah mengambil hukum berdasarkan matlamatnya.”

Sesuatu wasilah boleh menjadi wajib, sunat, harus, makruh atau haram berdasarkan tujuan, cara pelaksanaan dan kesannya.

Justeru, penyertaan dalam politik kepartian tidak boleh dihukum wajib secara mutlak kepada setiap Muslim tanpa mengambil kira keadaan, kemampuan dan keperluannya.

Dalam konteks Malaysia, seseorang boleh menyumbang kepada pembinaan dasar negara, membanteras rasuah, memperjuangkan keadilan sosial dan memperkukuh institusi melalui pelbagai saluran yang sah.

Tidak semuanya memerlukan seseorang menjadi ahli parti, calon pilihan raya atau pemegang jawatan politik.

Parti politik ialah wasilah. Keadilan ialah maqasid. Apabila kepentingan parti bertembung dengan tuntutan keadilan, keadilan mesti diutamakan, bukan dikorbankan demi mempertahankan parti.

3. Jangan menyucikan ijtihad politik

Malaysia telah menyaksikan perubahan gabungan politik, pertukaran rakan kerjasama dan pembentukan kerajaan campuran dalam pelbagai keadaan.

Realiti ini menunjukkan bahawa banyak keputusan politik berada dalam wilayah ijtihad manusia yang dipengaruhi keadaan dan pertimbangan maslahat. Ia bukan wahyu yang maksum daripada kesalahan.

Kecelaruan berlaku apabila keputusan politik kelompok sendiri diberikan justifikasi agama, sedangkan keputusan yang hampir sama oleh kelompok lain dihukum dengan neraca berbeza.

Apabila pihak sendiri bekerjasama dengan parti bukan Islam, ia disebut tahaluf siyasi, maslahat dan kebijaksanaan strategi. Apabila pihak lain melakukannya, ada yang segera mengaitkannya dengan penggadaian prinsip agama.

Apabila pemimpin sendiri melakukan kesilapan, dicari alasan untuk mempertahankannya. Apabila lawan melakukan kesilapan yang sama, segala dalil dihimpunkan untuk menghukumnya. Di manakah keadilan yang diperintahkan Allah? Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Janganlah kebencian kamu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu untuk tidak berlaku adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa.” (Surah al-Ma’idah: 8)

Dalil syarak mesti menjadi neraca untuk menilai politik, bukan alat untuk membenarkan segala keputusan politik kita. Kesetiaan kepada Islam menuntut keberanian memperbetul kesalahan sesiapa sahaja, termasuk pemimpin dan kelompok yang kita sokong.

4. Fiqh siasah Malaysia mesti berpijak pada realiti Malaysia

Malaysia bukan Mesir, Turkiye, Tunisia atau Pakistan. Negara ini mempunyai sejarah, struktur masyarakat, sistem perundangan dan realiti politiknya yang tersendiri. Malaysia mengamalkan demokrasi berparlimen, Raja Berperlembagaan dan sistem Persekutuan dalam sebuah masyarakat berbilang kaum dan agama.

Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan, manakala agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai. Perkara 4(1) pula menetapkan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang utama negara.

Pendekatan perjuangan Islam perlu mengambil kira kerangka perlembagaan, institusi negara dan kemajmukan masyarakat. Kita memerlukan fiqh al-waqi‘ (memahami realiti), fiqh al-awlawiyyat (menentukan keutamaan), fiqh al-muwazanat (menimbang maslahat dan mafsadah) serta fiqh al-ma’alat (menilai kesudahan tindakan).

Dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia, kerjasama dengan bukan Islam dalam membina negara bukan dengan sendirinya suatu penggadaian akidah. Surah al-Mumtahanah ayat 8 menegaskan bahawa Allah tidak melarang umat Islam berbuat baik dan berlaku adil terhadap mereka yang tidak memerangi umat Islam kerana agama.

Kerjasama kenegaraan tidak bermakna mencampuradukkan akidah. Ia perlu dinilai berdasarkan tujuan, kandungan, batas syarak dan kesannya. Keteguhan akidah tidak menuntut kekakuan strategi. Keluwesan strategi pula tidak semestinya bermakna kelonggaran akidah.

5. Negara tidak dibina oleh parti politik semata-mata

Satu lagi kelemahan pemikiran politik ialah menganggap perubahan negara hanya boleh berlaku melalui penguasaan kerajaan. Hakikatnya, negara bukan sekadar kerajaan. Negara turut mempunyai institusi kehakiman, perkhidmatan awam, institusi pendidikan, institusi agama, media, sektor ekonomi dan masyarakat sivil.

Kerajaan boleh bertukar melalui pilihan raya, tetapi pembinaan masyarakat dan pengukuhan institusi merupakan pekerjaan jangka panjang yang perlu diteruskan merentasi pertukaran kerajaan.

Gerakan Islam yang membina manusia, memperkukuh keluarga, mendidik masyarakat, membangunkan kepakaran dan memperjuangkan integriti institusi sedang menyumbang kepada pembinaan negara. Sumbangan tersebut bukan kurang Islami hanya kerana tidak menghasilkan kerusi Parlimen atau jawatan menteri.

Malah, tanpa masyarakat yang berilmu, berakhlak dan berintegriti, kemenangan politik belum tentu menghasilkan pemerintahan yang baik. Menukar kerajaan tidak semestinya mengubah budaya. Menukar pemimpin tidak semestinya memperbaik sistem.

Di sinilah pentingnya dakwah, tarbiah dan pembinaan masyarakat sivil sebagai sebahagian daripada agenda islah negara. Gerakan Islam yang tidak terikat secara institusi dengan mana-mana parti juga mempunyai nilai strategik tersendiri.

Ia boleh menyokong dasar kerajaan yang baik tanpa menjadi alat kerajaan. Ia boleh mengkritik kelemahan kerajaan tanpa menjadi alat pembangkang. Ia juga boleh mengiktiraf kebaikan pembangkang tanpa memusuhi kerajaan.

Namun, kebebasan daripada ikatan kepartian tidak bermakna berkecuali antara keadilan dengan kezaliman atau antara integriti dengan rasuah. Kebebasan tersebut sepatutnya menjadikannya lebih berani menyatakan kebenaran, bukan lebih selesa mendiamkan diri.

6. Ukur kejayaan politik dengan maqasid, bukan sekadar kerusi

Apakah ukuran sebenar kejayaan perjuangan Islam dalam politik Malaysia? Adakah dengan bertambahnya kerusi yang dimenangi oleh parti yang membawa nama Islam, atau dengan bertambahnya keadilan, integriti, kesejahteraan rakyat dan penghayatan nilai Islam dalam pentadbiran negara?

Kita perlu mengemukakan persoalan yang lebih substantif:

  • Adakah rasuah dan penyalahgunaan kuasa semakin berkurangan?
  • Adakah institusi negara semakin berintegriti?
  • Adakah kemiskinan dan ketidakseimbangan ekonomi ditangani?
  • Adakah hak rakyat dipelihara tanpa mengira kaum dan agama?
  • Adakah persaudaraan umat dan keharmonian masyarakat semakin kukuh?
  • Adakah Islam semakin difahami sebagai rahmat kepada seluruh manusia?

 

Imam asy-Syatibi menyebut dalam al-Muwafaqat:

النَّظَرُ فِي مَآلَاتِ الْأَفْعَالِ مُعْتَبَرٌ مَقْصُودٌ شَرْعًا

“Penelitian terhadap kesudahan sesuatu tindakan merupakan perkara yang diambil kira dan dikehendaki oleh syarak.”

Jika suatu pendekatan politik berjaya menambah kerusi tetapi merosakkan persaudaraan, menyuburkan fitnah dan meningkatkan kebencian, pendekatan tersebut perlu dimuhasabah.

Sebaliknya, jika suatu pendekatan dakwah tidak menghasilkan kerusi politik tetapi berjaya membina manusia, memperkukuh integriti dan mempengaruhi dasar yang baik, sumbangannya tidak boleh dinafikan.

Kemenangan parti tidak semestinya kemenangan Islam. Kekalahan parti juga tidak semestinya kekalahan Islam. Islam lebih besar daripada mana-mana parti, kerajaan atau gabungan politik.

7. Tidak berparti bukan bermakna tidak peduli

Dalam mempertahankan pilihan untuk berada di luar politik kepartian, kita juga perlu mengelakkan kecenderungan mengabaikan tanggungjawab terhadap negara.

Gerakan Islam yang memilih medan masyarakat sivil tetap perlu memahami perkembangan politik, membina kepakaran kenegaraan, memberikan pendidikan kewarganegaraan, mempengaruhi dasar awam dan memperjuangkan pembaharuan institusi.

Anggotanya perlu dididik menggunakan hak demokrasi secara matang dan membuat pilihan berdasarkan ilmu, integriti serta pertimbangan maslahat.

Rasulullah SAW mengajar umatnya supaya mengubah kemungkaran mengikut kemampuan, sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Muslim, no. 49. Tanggungjawab tersebut hendaklah dilaksanakan mengikut kemampuan, bidang kuasa dan pertimbangan maslahat serta mafsadah.

Dalam hubungan ini, tarbiah mesti melahirkan manusia yang mampu membezakan antara prinsip dengan strategi, wahyu dengan ijtihad, serta kebenaran dengan kepentingan kelompok. Jika rasuah dilakukan oleh lawan, ia tetap haram. Jika dilakukan oleh pemimpin yang kita sokong, hukumnya tidak berubah.

Demikian juga dengan fitnah, kezaliman dan penyalahgunaan kuasa. Tarbiah bukan untuk melahirkan pengikut yang sentiasa membenarkan pemimpinnya, tetapi melahirkan insan yang sentiasa berpihak kepada kebenaran. Boleh memilih untuk tidak berparti, tetapi tidak boleh memilih untuk tidak peduli.

Kesimpulan: Daripada perebutan kuasa kepada pembinaan negara

Malaysia memerlukan kematangan politik umat Islam yang baharu. Kita perlu bergerak daripada politik yang terlalu berpusat pada persoalan siapa yang berkuasa kepada persoalan bagaimana kuasa digunakan; daripada persaingan menentukan siapa yang paling Islami kepada persaingan menghasilkan pentadbiran yang paling amanah, adil dan berkesan.

Umat Islam juga perlu mengiktiraf kepelbagaian medan perjuangan. Mereka yang memilih politik kepartian, dakwah, tarbiah, pendidikan, ekonomi dan masyarakat sivil mempunyai tanggungjawab masing-masing.

Kepelbagaian ini sepatutnya membentuk suatu ekosistem islah yang saling melengkapi (تكامل الأدوار), bukan persaingan untuk memonopoli legitimasi perjuangan Islam.

Tidak perlu semua gerakan Islam menjadi parti politik, sebagaimana tidak perlu semua gerakan Islam meninggalkan politik kepartian. Yang diperlukan ialah kesatuan pada prinsip dan matlamat, kematangan mengurus perbezaan ijtihad serta kesediaan bekerjasama demi kebaikan agama, masyarakat dan negara.

Tidak berparti bukan bermakna sekular.

Tidak menjadi pemerintah bukan bermakna tidak membina negara.

Berbeza pilihan politik bukan dengan sendirinya bermakna berbeza akidah.

Berbeza medan amal bukan bermakna berbeza risalah.

Jangan sampai kerana terlalu ingin memenangkan parti, kita kehilangan nilai-nilai Islam yang sepatutnya diperjuangkan. Jangan sampai kerana terlalu ingin mempertahankan kelompok, kita mengorbankan persaudaraan umat.

Akhirnya, persoalan yang perlu kita jawab bukan sekadar sejauh mana umat Islam berjaya menguasai politik Malaysia, tetapi sejauh mana nilai-nilai Islam berjaya membimbing politik Malaysia.

Matlamat dakwah bukan sekadar mengislamkan simbol kuasa, tetapi merealisasikan nilai Islam dalam penggunaan kuasa. Politik mesti berkhidmat kepada risalah Islam, bukan risalah Islam diperalatkan untuk berkhidmat kepada kepentingan politik.

Ustaz Haji Tajul Arifin Che Zakaria
Naib Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia

Like FB: https://www.facebook.com/tajularifin.chezakaria.1

Rujukan

  1. Al-Quran al-Karim
  2. Sahih Muslim, Kitab al-Iman, hadis no. 49
  3. Hasan al-Banna, Majmu‘at al-Rasa’il, Risalah al-Ta‘lim
  4. Imam al-Syatibi, al-Muwafaqat, Kitab al-Ijtihad
  5. Imam al-Qarafi, al-Furuq
  6. Yusuf al-Qaradawi, Fi Fiqh al-Awlawiyyat
  7. Yusuf al-Qaradawi, Min Fiqh al-Dawlah fi al-Islam
  8. Perlembagaan Persekutuan Malaysia, Perkara 3 dan 4

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia