Setiap anak mempunyai impian masa depannya. Ada yang ingin menjadi doktor, guru, saintis atau pemimpin. Ada juga yang sekadar mengimpikan sebuah kehidupan yang aman, keluarga yang menyayangi mereka dan sekolah yang bebas daripada ketakutan. Namun, apakah kita benar-benar menyediakan dunia yang membolehkan impian itu menjadi kenyataan?
Pada 20 November setiap tahun, dunia menyambut Hari Kanak-kanak Sedunia. Tahun ini, UNICEF mengangkat tema “My Day. My Rights. My Future”, yang membawa mesej bahawa setiap kanak-kanak bukan sahaja berhak menikmati kehidupan hari ini dan mendapat perlindungan, malah berhak menyuarakan pandangan tentang masa depan yang mereka inginkan.
Tema rasmi Sambutan Hari Kanak-Kanak Kebangsaan 2026 di Malaysia pula ialah “Impian dan Hak Masa Depan Kami”, yang merupakan adaptasi tempatan daripada tema global UNICEF 2026 ini.
Kedua-dua tema ini seharusnya mengingatkan kita bahawa kanak-kanak bukan sekadar pewaris masa depan. Mereka ialah manusia yang mempunyai hak, maruah, perasaan dan suara yang perlu dihormati hari ini.
Islam meletakkan kanak-kanak sebagai amanah
Dalam Islam, kedudukan kanak-kanak sangat istimewa. Mereka bukan hak mutlak ibu bapa untuk diperlakukan sesuka hati, sebaliknya amanah Allah yang mesti dipelihara dengan penuh tanggungjawab.
Al-Quran mengingatkan dalam Surah al-Isra’, ayat 31 supaya ibu bapa tidak membunuh anak-anak kerana takut kemiskinan. Ayat ini bukan sahaja melarang pembunuhan, malah mengingatkan bahawa kebimbangan terhadap kesusahan hidup tidak boleh dijadikan alasan untuk mengabaikan hak dan kehidupan anak-anak.
Islam turut menekankan kasih sayang, keadilan dan ihsan dalam mendidik anak. Rasulullah SAW menunjukkan teladan dengan menyayangi kanak-kanak dan mengingatkan bahawa mereka yang tidak menyayangi golongan muda bukan daripada kalangan yang mengikuti sunnah baginda.
Hak kanak-kanak dalam perspektif Islam merangkumi hak untuk hidup, mendapat kasih sayang, nafkah, pendidikan, perlindungan, penjagaan kesihatan serta dididik dengan nilai dan akhlak yang baik. Prinsip ini selari dengan maqasid syariah, khususnya pemeliharaan nyawa, akal, keturunan dan maruah manusia.
Justeru, membesarkan anak bukan sekadar memastikan mereka cukup makan, berpakaian dan bersekolah. Ia menuntut kita membina persekitaran yang membolehkan mereka membesar dengan selamat, sihat, bermaruah dan berpotensi.
Apabila zaman kanak-kanak dicemari ketakutan
Malangnya, realiti kehidupan sebahagian kanak-kanak hari ini jauh daripada gambaran zaman kanak-kanak yang bahagia. Buli, penderaan fizikal dan seksual, pengabaian, eksploitasi serta keganasan dalam talian terus menjadi ancaman.
Data yang dibentangkan di Parlimen menunjukkan sebanyak 3,581 kes penderaan fizikal, seksual dan emosi kanak-kanak direkodkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi enam bulan pertama 2026. Dalam tempoh yang sama, sebanyak 2,279 kes pengabaian kanak-kanak turut direkodkan.
Di sekolah pula, Kementerian Pendidikan merekodkan 2,889 kes salah laku buli pada 2025, berbanding 7,681 kes pada 2024. Walaupun perubahan angka perlu dilihat bersama faktor pelaporan dan kesedaran, jumlah ini tetap membimbangkan.
Kita juga tidak boleh memandang ringan kesan buli terhadap mangsa. Luka fizikal mungkin sembuh, tetapi penghinaan, ketakutan, kehilangan keyakinan diri dan trauma psikologi boleh berpanjangan. Lebih membimbangkan apabila kanak-kanak yang sepatutnya mendapat perlindungan di rumah atau sekolah menjadi mangsa keganasan di tempat yang sepatutnya paling selamat bagi mereka.
Kita perlu mengakui bahawa masalah ini bukan semata-mata isu disiplin. Ia mencerminkan persoalan yang lebih besar tentang nilai kemanusiaan, empati, hubungan kekeluargaan dan tanggungjawab masyarakat.
Kita tidak boleh mengharapkan anak-anak menjadi generasi yang menghormati orang lain jika mereka sendiri membesar dalam suasana yang tidak menghormati hak dan maruah mereka.
Jangan lupakan anak-anak yang menjadi mangsa peperangan
Dalam kita membicarakan hak dan masa depan kanak-kanak di negara sendiri, jangan kita lupakan jutaan kanak-kanak di seluruh dunia yang hidup dalam keadaan jauh lebih getir akibat peperangan dan konflik bersenjata.
Kanak-kanak Palestin, khususnya di Gaza, merupakan antara wajah paling menyayat hati dalam krisis kemanusiaan dunia. Mereka kehilangan ibu bapa, adik-beradik, rumah dan sekolah.
Ada yang terpaksa menjalani kehidupan di khemah pelarian, berhadapan kekurangan makanan, air bersih dan rawatan kesihatan serta mengharungi kesejukan pada musim sejuk tanpa alat pemanas dan pakaian yang bersesuaian. Ada yang kehilangan anggota badan dan mengalami trauma yang mungkin menghantui sepanjang kehidupan mereka.
Bagi mereka, My Day bukanlah hari untuk bermain dan belajar dengan tenang. My Rights pula sering dinafikan apabila hak untuk hidup, mendapat pendidikan dan perlindungan tidak terjamin. Malah, My Future menjadi sesuatu yang tidak pasti apabila kehidupan mereka sentiasa dibayangi peperangan.
Kita tidak seharusnya membiarkan penderitaan mereka menjadi sekadar angka statistik atau berita yang silih berganti di media. Setiap kanak-kanak, tanpa mengira bangsa, agama atau kewarganegaraan, mempunyai hak yang sama untuk bermaruah.
Islam sendiri menegaskan prinsip keadilan dan kasih sayang sesama manusia. Melindungi kanak-kanak daripada keganasan dan penderitaan bukan sekadar tanggungjawab kemanusiaan, tetapi juga tuntutan agama.
Masyarakat antarabangsa perlu memastikan perlindungan orang awam, akses bantuan kemanusiaan dan pendidikan serta pematuhan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Kita juga perlu mendidik generasi muda agar mempunyai empati dan keprihatinan terhadap penderitaan manusia di mana sahaja mereka berada. Solidariti kemanusiaan tidak seharusnya mengenal sempadan negara.
Keluarga ialah benteng pertama perlindungan anak
Dalam usaha membina masa depan kanak-kanak, keluarga memainkan peranan yang tidak boleh digantikan. Ibu bapa ialah pendidik pertama dan rumah sepatutnya menjadi tempat paling selamat untuk anak-anak berkongsi perasaan, menyuarakan masalah dan mendapatkan perlindungan.
Namun, kasih sayang tidak boleh diukur melalui kemampuan menyediakan kemewahan atau memenuhi segala kehendak anak. Ia turut terzahir melalui masa yang diluangkan, perhatian yang diberikan, komunikasi yang terbuka dan kesediaan mendengar tanpa cepat menghukum.
Ibu bapa perlu memahami dunia anak-anak, termasuk cabaran media sosial, tekanan rakan sebaya, kesihatan mental dan keselamatan digital. Anak-anak perlu dididik tentang hak mereka, sempadan keselamatan diri serta keberanian untuk melaporkan sebarang bentuk gangguan atau penderaan.
Pada masa yang sama, kita perlu mengelakkan pendekatan keibubapaan yang menggunakan kekerasan, penghinaan dan ugutan sebagai kaedah mendisiplinkan anak. Disiplin perlu dibina melalui kasih sayang, ketegasan yang berhemah dan contoh teladan.
Kita juga tidak boleh meletakkan seluruh tanggungjawab kepada keluarga. Tekanan ekonomi, kos sara hidup, masalah kesihatan mental dan kekurangan sokongan sosial boleh menjejaskan keupayaan ibu bapa melaksanakan tanggungjawab mereka. Oleh itu, keluarga memerlukan sokongan masyarakat dan dasar kerajaan yang berkesan.
Masa depan anak-anak memerlukan tindakan bersama
Tema “My Day, My Rights, My Future” tidak seharusnya berakhir dengan sambutan, kempen dan slogan. Ia mesti diterjemahkan kepada tindakan yang nyata.
Pertama, kerajaan perlu memperkukuh sistem perlindungan kanak-kanak melalui penyelarasan lebih berkesan antara sekolah, polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Kementerian Kesihatan dan institusi berkaitan. Setiap aduan penderaan, pengabaian dan buli mesti ditangani dengan segera, telus dan mengutamakan keselamatan mangsa.
Kedua, sekolah perlu menjadi persekitaran yang benar-benar selamat, bukan sekadar tempat menyampaikan ilmu. Mekanisme aduan yang mudah dicapai, sulit dan melindungi pengadu perlu diperkukuh.
Kaunselor terlatih, pendidikan emosi, pembinaan empati dan intervensi awal juga perlu diberikan perhatian. Pelaku buli perlu dipertanggungjawabkan, tetapi pada masa yang sama perlu dibimbing agar tingkah laku mereka dapat diperbetul.
Ketiga, kerajaan perlu memperkukuh sokongan kepada keluarga melalui pendidikan keibubapaan, perkhidmatan kaunseling, pusat jagaan berkualiti dan bantuan bersasar kepada keluarga rentan. Perlindungan kanak-kanak juga mesti mengambil kira keselamatan digital, termasuk menangani eksploitasi seksual dalam talian, buli siber dan kandungan yang memudaratkan.
Keempat, suara kanak-kanak perlu diberikan ruang dalam pembentukan dasar yang menyentuh kehidupan mereka. Libatkan mereka dalam perbincangan tentang keselamatan sekolah, kemudahan awam, alam sekitar, kesihatan mental dan penggunaan teknologi.
Mendengar suara kanak-kanak bukan bermakna menyerahkan segala keputusan kepada mereka, tetapi memastikan pandangan dan kepentingan mereka dipertimbangkan secara serius.
Akhir sekali, usaha ini memerlukan kerjasama seluruh masyarakat. NGO, institusi agama, komuniti setempat, sektor swasta dan media perlu menjadi rakan strategik dalam membina budaya yang menghormati serta melindungi kanak-kanak.
Jangan wariskan dunia yang menakutkan kepada anak-anak
Kita sering mengatakan bahawa anak-anak ialah pemimpin masa depan. Namun, mereka juga manusia hari ini yang berhak menikmati kehidupan yang selamat, bahagia dan bermakna.
Jangan sampai kita terlalu sibuk mempersiapkan anak-anak untuk menghadapi masa depan sehingga terlupa melindungi mereka daripada ancaman yang sedang dihadapi hari ini.
My Day menuntut kita memastikan zaman kanak-kanak mereka dihargai. My Rights menuntut kita menghormati dan melindungi hak mereka. My Future pula mengingatkan kita bahawa keputusan yang dibuat hari ini akan menentukan dunia yang bakal mereka warisi.
Sebagai ibu bapa, masyarakat dan sebuah negara, kita mempunyai tanggungjawab bersama untuk memastikan setiap anak membesar dengan kasih sayang, keselamatan, peluang dan harapan.
Masa depan yang lebih baik untuk kanak-kanak tidak bermula apabila mereka dewasa. Ia bermula dengan cara kita melayan, mendidik dan melindungi mereka hari ini.
Dr Sabariah Baharun
Naib Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia




