Suatu renungan yang sangat dekat dengan kehidupan manusia iaitu tentang al-Quran menggunakan beberapa perkataan berbeza untuk menggambarkan cara manusia bergerak antaranya امشوا (imsyū), اسعوا (is‘aw), سارعوا (sāri‘ū) dan فِرُّوا (firrū). Pada zahirnya, semuanya berkait dengan pergerakan.
Namun pada hakikatnya, setiap satu membawa pendidikan tentang keutamaan, disiplin masa, tanggungjawab dan arah hidup. Ia bukan semata-mata tentang persoalan cepat atau lambat. Ia adalah persoalan:
“Dalam urusan apa kita perlu tenang?
Dalam perkara apa kita perlu bersungguh-sungguh?
Dalam keadaan apa kita mesti bersegera? dan
Daripada apa kita perlu segera menyelamatkan diri?”
Inilah pendidikan masyarakat yang sangat besar nilainya. Dunia hari ini telah menjadikan manusia sentiasa berlari, mengejar wang, jawatan, perhatian, jumlah pengikut, pujian dan pengiktirafan. Tetapi ramai yang berlari tanpa tahu ke mana arah tujuan.
Ada yang pantas mencapai dunia, tetapi lambat kembali kepada Allah SWT. Ada yang cekap merancang kerjaya, tetapi gagal merancang kematian. Ada yang segera menjawab mesej, tetapi berlengah menjawab panggilan azan.
Pertama, al-Quran mendidik kita untuk berjalan
Allah berfirman dalam Surah al-Mulk ayat 15:
“Maka berjalanlah kamu di seluruh ceruk rantau bumi itu dan makanlah daripada rezeki-Nya.”
Perkataan yang digunakan ialah imsyū, iaitu berjalanlah kamu. Bukan berlari tanpa arah, bukan pula duduk menunggu rezeki datang. Ia mendidik manusia agar hidup dengan usaha yang tenang, tertib dan beradab.
Dalam mencari rezeki, membina keluarga, mendidik anak-anak dan membangunkan masyarakat, kita perlu berjalan dengan istiqamah. Tidak semua kejayaan mesti berlaku serta-merta.
Tidak semua impian perlu dicapai dalam satu malam. Ada anak yang perlu dibimbing perlahan-lahan. Ada keluarga yang perlu dipulihkan dengan sabar. Ada masyarakat yang perlu dididik sedikit demi sedikit.
Budaya serba segera telah menjadikan ramai orang mudah kecewa. Mahu kaya cepat, mahu anak terus berjaya, mahu perubahan berlaku sekelip mata, mahu masyarakat terus menerima pandangan kita.
Apabila hasil lambat muncul, kita memilih putus asa, sedangkan Allah mengajar kita: Berjalanlah! Langkah kecil yang istiqamah lebih jauh nilainya daripada larian pantas yang berhenti di pertengahan jalan.
Kedua, terdapat perkara yang menuntut kita untuk berusaha bersungguh-sungguh.
Dalam Surah al-Jumu‘ah ayat 9, Allah berfirman:
“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diseru untuk menunaikan solat pada hari Jumaat, maka bersegeralah kamu mengingati Allah…”
Perkataan fas‘aw di sini, membawa maksud bergerak dengan kesungguhan dan perhatian yang penuh. Ia bukan hanya bergerak secara fizikal, tetapi menyiapkan jiwa untuk menyambut panggilan Allah.
Inilah pendidikan disiplin yang semakin diperlukan dalam masyarakat. Kita sering memberi alasan sibuk untuk melambatkan solat, menunda amanah, mengabaikan ibu bapa, meninggalkan pembacaan dan menangguhkan kerja yang penting. Namun, apabila ada urusan hiburan, jualan murah atau janji dengan orang berkepentingan, kita boleh pula bersedia lebih awal.
Masyarakat yang berilmu perlu belajar membezakan antara “tidak sempat” dengan “tidak meletakkan keutamaan”. Banyak kali, kita bukan tidak mempunyai masa tetapi kita cuma gagal menyusun nilai dalam hidup.
Apabila azan berkumandang, apabila amanah dipikul, apabila anak memerlukan perhatian, apabila jiran memerlukan bantuan, kita perlu bergerak dengan kesungguhan. Jangan tunggu semuanya sempurna baru mahu berbuat baik.
Ketiga, al-Quran mengajar kita untuk berlumba dan bersegera dalam perkara kebaikan.
Allah berfirman maksudnya:
“Dan bersegeralah kamu kepada keampunan daripada Tuhanmu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi…” (Surah Ali ‘Imran, ayat 133)
Di sini digunakan perkataan sāri‘ū, iaitu bersegeralah kamu. Dalam bahasa mudah, jangan lambat apabila peluang berbuat baik datang.
Jika ada ruang untuk memohon maaf, mohonlah maaf. Jika mampu bersedekah, jangan tunggu kaya-raya. Jika ada peluang belajar, rebutlah. Jika ibu bapa masih hidup, berbaktilah. Jika hati terasa jauh daripada Allah, segeralah kembali. Jika kita terjumpa kesilapan sendiri, jangan mempertahankannya kerana ego.
Masyarakat hari ini sangat pantas menyebarkan berita, tetapi kadangkala terlalu lambat menyebarkan kebaikan. Sigap mengkritik, tetapi perlahan membantu. Cepat menghukum, tetapi lambat memahami. Seringnya berlumba menunjukkan kejayaan di media sosial, tetapi kurang berlumba menutup aib orang lain, menolong golongan susah dan menyelesaikan masalah komuniti.
Pendidikan masyarakat mesti membina budaya fastabiqul khairat iaitu berlumba-lumba dalam melakukan kebajikan. Ia bukan bermakna berlumba mengalahkan manusia lain, tetapi berlumba mengalahkan kelemahan diri sendiri.
Hari ini mesti lebih baik daripada semalam iaitu dengan lebih menjaga lidah, lebih amanah dalam tugas, lebih peka terhadap penderitaan orang lain dan lebih dekat dengan Allah SWT.
Keempat, ada waktunya manusia tidak boleh lagi hanya berjalan, berusaha atau bersegera. Ada ketika kita mesti berlari menyelamatkan diri.
Allah berfirman yang bermaksud:
“Maka larilah kamu menuju Allah.” (Surah az-Zariyat, ayat 50)
Firrū ilallāh bukan bermaksud kita meninggalkan kehidupan, keluarga atau tanggungjawab dunia. Ia bermaksud kita melarikan hati daripada dosa kepada taubat, daripada kelalaian kepada kesedaran, daripada kezaliman kepada keadilan, daripada kesombongan kepada kehambaan.
Ada dosa yang tidak boleh kita runding terlalu lama. Ada persekitaran yang merosakkan jiwa dan perlu dijauhi segera. Ada hubungan yang membawa manusia kepada maksiat, penipuan, keganasan atau ketagihan.
Ada kandungan media yang secara perlahan merosakkan fikiran, akhlak dan pandangan hidup. Dalam keadaan begitu, jangan berkata, “Nanti saya berubah.” Larilah kepada Allah SWT, sekarang.
Keberanian untuk membuat keputusan
Pendidikan masyarakat tidak cukup dengan memberi nasihat umum. Ia perlu membekalkan manusia dengan keberanian untuk membuat keputusan.
Berani meninggalkan rasuah walaupun ada peluang. Berani menolak buli walaupun takut dipulaukan. Berani menghentikan fitnah walaupun datang daripada kelompok sendiri. Berani meminta bantuan apabila kesihatan mental terganggu. Berani kembali kepada Allah walaupun dosa terasa terlalu banyak.
Empat kelajuan ini membentuk kompas hidup yang indah untuk manusia yang mahu mengambil pelajaran daripadanya.
Berjalanlah dalam mencari rezeki dan membina kehidupan. Bersungguh-sungguhlah dalam menunaikan tanggungjawab. Bersegeralah dalam melakukan kebaikan. Dan larilah kepada Allah SWT apabila dosa, kelalaian serta kebinasaan cuba menarik kita jauh daripada-Nya.
Maka, berhati-hatilah kita sebagai hamba-Nya. Jangan sampai kaki kita ini laju mengejar dunia, tetapi hati kita tertinggal jauh daripada Tuhan Yang Maha Esa.
Atriza Umar
Pegawai Kanan
Jabatan Pendidikan Masyarakat
Pertubuhan IKRAM Malaysia




