KUALA LUMPUR – Himpunan IKRAM Muda Malaysia 2026 (HIMMAH ‘26) telah berlangsung dengan jayanya pada 31 Oktober – 1 November lalu melalui kehadiran lebih 150 aktivis IKRAM Muda seluruh negara di sebuah hotel di sini.
Selain melaksanakan Majlis Perwakilan IKRAM Muda Nasional (MPIMN), objektif HIMMAH’26 antaranya adalah untuk membuat refleksi perjalanan tahunan dan meneliti semula hasrat strategik IKRAM Muda menjelang 2027.
HIMMAH kali ini juga bertujuan untuk mencapai kejelasan strategi pelaksanaan dan meningkatkan rasa “sense of belonging” serta memberi pelatihan dan induksi kepada pemimpin baru IKRAM Muda di peringkat negeri, kawasan dan agensi.

Perhimpunan tahunan itu dirasmikan oleh Timbalan Presiden, Sdr. Jusni Yusoff pada Sabtu, mewakili Presiden IKRAM, seterusnya melancarkan buku kompilasi ucapan dasar oleh mantan Ketua IKRAM Muda, Khairul Anuar Kamaruddin, bertajuk “Pemuda Pelaku Perubahan”.
Majlis perasmian yang dihadiri sebahagian Ahli DPN, barisan JKP dan tetamu jemputan dari dalam dan luar negara, turut menampilkan Ketua IKRAM Muda, Sdr. Abdullah Zubayr Mohd Aizaini, yang menyampaikan Ucapan Dasar bertemakan “Memperkasa Dakwah Komuniti, Memacu Impak Sosial”.
Beliau mengetengahkan keperluan untuk melihat dakwah dalam kerangka yang lebih luas, sekali gus menekankan kepentingan keberadaan aktivis muda dalam masyarakat, memahami masalah yang dihadapi dan bersama-sama mencari jalan penyelesaian.

HIMMAH ‘26 juga menggariskan sasaran IKRAM Muda bagi menjayakan sebanyak 100 projek komuniti menjelang 2027. Sasaran ini diletakkan sebagai langkah awal ke arah mencapai 1,000 projek berimpak sosial menjelang 2030.
HIMMAH ialah satu perhimpunan nasional yang mengumpulkan para pemimpin sayap anak muda IKRAM di peringkat pusat, negeri dan kawasan serta agensi, yang menggabungkan dua agenda utama iaitu melaksanakan MPIMN dan Sanggar Kerja IKRAM Muda dari seluruh negara.
Foto HIMMAH ‘26: Recap Part 1 | Part 2 | Part 3
#himmah26 #dakwahkomuniti #impaksosial




