Waad Nasional: Janji Biasa atau Amanah Negara?

Waad Nasional:

Apabila Perdana Menteri menamakan Belanjawan 2027 sebagai “Waad Nasional”, ramai tertanya-tanya, apa sebenarnya waad? Sama ke dengan janji biasa? Boleh dituntut ke kalau tak ditunaikan? Artikel kali ini akan membincangkan tentang konsep dan aplikasi waad dalam kewangan Islam. 

1. Apa itu waad?

Waad (وعد) bermaksud janji. Daripada segi istilah, ia adalah pernyataan satu pihak kepada pihak lain untuk melakukan sesuatu pada masa hadapan, yang memberi faedah kepada penerima janji. Majma’ al-Fiqh al-Islami menyebutnya sebagai janji satu hala.

Dalam muamalat, waad berbeza daripada aqad. Kalau anda berkata “nanti saya beli kereta awak,” itu waad. Kalau anda berkata “saya beli kereta awak sekarang” dan dia menjawab “saya jual,” itu aqad (ijab dan qabul).

Aqad membawa kesan serta-merta seperti perpindahan milik. Waad hanya jaminan untuk memasuki kontrak pada masa hadapan. Malah, jika waad dijadikan kemestian sehingga kebolehlaksanaan kontrak bergantung padanya, waad sudah berfungsi sebagai kontrak.

Islam menekankan perihal menepati janji sebagaimana yang digariskan dalam firman Allah SWT dalam Surah as-Saff (61: 2-3) iaitu larangan orang yang berkata tetapi tidak melaksanakannya dan surah Surah al-Isra’ (17: 134) yang menegur orang yang berkata tetapi tidak melakukan, mengingatkan janji akan disoal.

Selain itu, Nabi SAW telah menyifatkan kemungkiran janji sebagai salah satu tanda-tanda orang munafik. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Soalan yang sering dibahas ulama ialah sama ada waad mengikat. Jawapannya bergantung pada dua sudut iaitu agama dan undang-undang.

  • Dari segi agama: Para ulama berbeza pandangan seperti Ibn Hajar, al-Ghazali, Ibn Taimiyyah, Imam al-Bukhari dan lain-lain yang berpandangan wajib menunaikannya dan haram mungkir tanpa sebab. Manakala, Ibn Hazm, Abu Hanifah, al-Nawawi dan al-Subki berpandangan tidak wajib dan an-Nawawi menyifatkan menunaikannya sunat muakkadah dan makruh jika tidak ditunaikan.
  • Dari segi undang-undang: Ibn Shubramah berpandangan waad mengikat dan pemerintah boleh memaksa penunaiannya. As-Subki pula berpandangan tidak mengikat iaitu pemungkir berdosa tetapi tidak boleh dipaksa. Satu lagi pandangan (‘Ullaysh dan ulama Hanafi) menyatakan ia mengikat jika waad mengandungi pengikat.
  • Pendekatan kontemporari: Mengambil pendekatan mazhab Maliki dan Hanafi berdasarkan kaedah “janji tidak mengikat kecuali mengandungi pengikat”. Pengikat di sini bermaksud syarat, liabiliti atau perbelanjaan yang ditanggung penerima janji kerana bergantung kepada janji itu. Perkara ini selari dengan Keputusan Majma’ al-Fiqh al-Islami no. 40-41 (5/2 dan 5/3), 1988 iaitu; janji mengikat apabila menyebabkan penerima janji mengeluarkan perbelanjaan.

 

2. Waad dalam produk kewangan Islam

Hakikatnya, waad hampir tidak pernah berdiri sendiri. Dalam dokumen Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC), kesimpulan waad ialah berfungsi sebagai pelengkap yang digunakan bersama kontrak patuh syariah lain untuk mengurus risiko, misalnya mengunci harga dalam urus niaga hadapan atau mengurus risiko kemungkiran.

Waad bermula bersama murabahah, kemudian dilaksanakan ke atas produk pengguna (musharakah mutanaqisah untuk rumah, AITAB untuk kenderaan), perdagangan, perbendaharaan (FX forward, swap) dan pasaran modal (sukuk, opsyen).

Produk Peranan waad Perkara yang dijaga
Murabahah kepada pemesan pembelian Pelanggan berjanji (satu hala) membeli aset yang telah dibeli bank. Jika pelanggan mungkir, bank hanya boleh menuntut kerugian sebenar, bukan kerugian peluang.
Musharakah mutanaqisah (pembiayaan rumah) Waad digunakan bersama kontrak kongsi untung rugi. Unsur kongsi untung rugi mesti kekal; tiada kadar pulangan tetap ditetapkan awal.
Sukuk Akujanji belian dan jualan antara pelabur dan penerbit. Dibenarkan sebagai janji bersyarat (wa’d mu’allaq): kemungkiran, pembubaran, penebusan awal, tamat tempoh.
Pertukaran mata wang hadapan (FX forward) Pelanggan berjanji membeli mata wang asing pada kadar yang dikunci, contohnya USD1 juta pada MYR4.30. Untuk tujuan lindung nilai sahaja.

Pendekatan aplikasi waad di Malaysia boleh diringkaskan kepada lapan perkara:

  • Risiko tidak hilang sepenuhnya. Bank tetap menanggung resiko; keuntungan datang bersama liabiliti. Waad tidak boleh melindungi modal dalam kontrak kongsi untung rugi.
  • Bukan syarat kontrak. Sah atau tidaknya kontrak tidak bergantung pada waad. Dalam bai’ inah, klausa jual beli semula tidak boleh dimasukkan dalam dokumen kontrak.
  • Dibuat berasingan. Dalam murabahah, waad dibuat sebelum kontrak dimeterai. Ia boleh disertakan dalam perjanjian induk, tetapi hanya membawa makna janji.
  • Kunci kadar mata wang: lindung nilai sahaja. Dalam bai’ as-sarf, mengunci kadar melalui waad dibenarkan untuk melindungi daripada pergerakan nilai, dengan keperluan umum seperti urus niaga berskala besar atau yang melibatkan perbezaan waktu bekerja antara negara.
  • Tiada bayaran untuk waad semata-mata. Fi atau caj ke atas waad sahaja tidak dibenarkan; bayaran untuk kontrak syariah yang digunakan bersama waad dibenarkan.
  • Pada asalnya tidak mengikat. BNM dan SC bersetuju waad itu sukarela, namun ia mengikat di sisi undang-undang apabila dikaitkan dengan sebab yang membuat penerima janji menanggung perbelanjaan atau liabiliti. Malaysia juga membenarkan muwa’adah (janji yang mengikat dua pihak) selagi tidak dianggap kontrak, berbeza daripada Majma’ al-Fiqh al-Islami dan AAOIFI yang tidak membenarkannya (AAOIFI hanya dalam keperluan umum seperti transaksi komersial antarabangsa).
  • Ganti rugi: kerugian sebenar sahaja. Jika waad dimungkiri, tuntutan terhad kepada kos atau kerugian langsung, bukan kerugian peluang.
  • Dokumentasi jelas. Tarikh waad berkuat kuasa, syarat, serta peruntukan mungkir dan pembatalan mesti dinyatakan supaya tiada kekaburan yang menjejaskan kesahan kontrak.

 

3. Waad dalam Belanjawan 2027

Belanjawan 2027 dibentangkan pada 9 Oktober 2026 dengan jumlah RM510 bilion dan tema “Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi”. Perdana Menteri menamakannya Belanjawan Waad Nasional, iaitu janji bahawa kemajuan negara diterjemahkan kepada kehidupan yang lebih bermaruah untuk rakyat. Dua perkara menarik daripada penjelasan beliau:

  • Bukan janji sehala. Negara menyediakan ruang dan peluang, rakyat mengisinya dengan ilmu, kerja dan daya cipta, dan pemerintah menjaga amanah.
  • Dikaitkan dengan amanah. Dalam wawancara RTM pada 10 Oktober, beliau menyifatkan waad sebagai janji atau ikrar antara negara, pimpinan dan rakyat yang mesti dilaksanakan dengan sesungguhnya.

 

Apa yang perlu difahami berkaitan konsep waad dalam belanjawan ialah komitmen moral dan politik, bukan kontrak muamalat. Ia tidak boleh “disaman” seperti aqad, tetapi dinilai melalui pelaksanaan, laporan audit, perbahasan Parlimen dan semakan rakyat.

Ada angka yang boleh disemak, contohnya gaji minimum naik daripada RM1,700 kepada RM2,000 mulai Jun 2027, defisit fiskal diunjur 3.3% pada 2027 (3.6% tahun ini), dan semua penerima STR mendapat SARA sehingga RM150 sebulan.

Tiga salah faham yang biasa kita dengar:

  • “Waad cuma slogan.” Dalam Islam, menepati janji ialah ukuran integriti, dan amanah mesti ditunaikan kepada yang berhak (an-Nisa’ 4:58).
  • “Waad ialah kontrak yang boleh disaman.” Tidak. Ia komitmen kepimpinan yang diuji melalui pelaksanaan.
  • “Waad istilah bank Islam sahaja.” Istilahnya banyak dalam kewangan Islam, tetapi maksud asasnya, menepati apa yang dijanjikan, terpakai dalam semua hubungan.

 

Waad bukan perkataan ajaib dan bukan juga hanya hiasan ucapan. Dalam muamalat, ia janji yang dihormati syarak dan dibatasi syarat. Dalam belanjawan, ia komitmen yang akan dinilai melalui angka dan tarikh. Kita sebagai rakyat pula berperanan untuk memahami, menyemak dan memikul bahagian kita sendiri.

Dr. Wan Mohd Al Faizee Wan Ab Rahaman (SRFP)
Pensyarah Kanan
Arshad Ayub Graduate Business School
UiTM, Shah Alam

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia