HIKAM Seru Penelitian Berhemah Terhadap Dakwaan Ritual yang Menimbulkan Persoalan Akidah
Himpunan Gerakan Islam Malaysia (HIKAM) memandang serius dakwaan yang mengaitkan Aliff Daniel dengan penglibatan dalam ritual keagamaan Hindu sempena sambutan Thaipusam di Batu Caves, termasuk gambar dan video yang didakwa memperlihatkan beliau menjadi objek pemujaan.
Perkara ini wajar diberikan perhatian kerana menyentuh persoalan akidah dan berpotensi menimbulkan kekeliruan dalam kalangan umat Islam.
HIKAM menegaskan bahawa pemeliharaan akidah merupakan perkara asas yang perlu diberikan perhatian sewajarnya. Pada masa yang sama, kesahihan bahan yang tersebar, konteks sebenar kejadian dan status agama individu berkenaan hendaklah disahkan sebelum sebarang kesimpulan dibuat.
Prinsip keadilan dan penelitian yang teliti penting bagi memastikan perkara ini ditangani secara bertanggungjawab.
Sehubungan itu, HIKAM berharap agar Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), dengan kerjasama pihak berkuasa agama negeri yang berkaitan, dapat meneliti perkara ini dan memberikan penjelasan sewajarnya kepada masyarakat.
Sekiranya dakwaan tersebut disahkan benar dan melibatkan perlakuan yang bercanggah dengan prinsip akidah Islam, tindakan yang bersesuaian hendaklah dipertimbangkan berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
HIKAM turut mengingatkan masyarakat agar mengamalkan prinsip tabayyun dan tidak membuat penghukuman berdasarkan maklumat yang belum disahkan. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Hujurat, ayat 6:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini kerana kejahilan kamu, sehingga kamu menyesali apa yang telah kamu lakukan.” (Surah al-Hujurat, 49:6)
HIKAM berharap agar perkara ini dapat ditangani melalui kerjasama semua pihak, dengan mengutamakan pemeliharaan akidah, ketepatan maklumat, keharmonian masyarakat dan penghormatan terhadap proses undang-undang.
Penjelasan yang berasaskan fakta daripada pihak berautoriti amat penting bagi meredakan kekeliruan dan memelihara keyakinan masyarakat terhadap institusi agama.
Himpunan Gerakan Islam Malaysia (HIKAM)
1. Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH)
2. Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
3. Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
4. Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN)
Sekretariat HIKAM
Azizuddin Ahmad
Setiausaha Agung WADAH
Mohd. Hafiz Abd. Hamid
Setiausaha Agung IKRAM
Ahmad Fawwaz Ahmad Shukri
Setiausaha Agung ABIM
Mohd. Sabbri Md. Yudin
Setiausaha Agung HALUAN




