Apakah wajah Malaysia yang kita mahu lihat pada tahun 2035? Soalan ini mungkin kelihatan terlalu jauh, tetapi hakikatnya masa depan sebuah negara tidak dibentuk pada tahun ia dicapai. Ia dibentuk melalui keputusan politik, dasar ekonomi, kekuatan institusi dan budaya masyarakat yang dibina bertahun-tahun sebelumnya.
Negara Rahmah 2035 dan aspirasi masyarakat
Dua ayat al-Quran yang memberi makna kepada konsep Negara Rahmah ialah:
Yang pertama ialah daripada Surah al-Anbiya’ ayat 107 yang bermaksud:
“Dan tidaklah Kami mengutuskan engkau (Muhammad) melainkan sebagai rahmat bagi seluruh alam.”
Ayat ini mengangkat prinsip rahmah sebagai nilai yang merangkumi seluruh manusia dan alam. Yang kedua ialah daripada Surah Saba’ ayat 15 maksudnya:
“…sebuah negeri yang baik dan Tuhan Yang Maha Pengampun.”
Ayat ini adalah aspirasi Negara Rahmah, iaitu sebuah negara yang baik, sejahtera dan mendapat keampunan Allah.
Negara Rahmah bukan sekadar gagasan ideal, tetapi kerangka pembangunan negara yang menekankan kepimpinan berintegriti, tadbir urus baik, keadilan, kesejahteraan sosial, keharmonian masyarakat dan kemampanan ekonomi.
IKRAM menetapkan aspirasi Malaysia sebagai Negara Rahmah menjelang 2035, manakala Indeks Malaysia Negara Rahmah berfungsi sebagai instrumen untuk mengukur kemajuan ke arah tersebut.
Atas sebab itu, gagasan Malaysia Menuju Negara Rahmah 2035 wajar dilihat bukan sebagai agenda sebuah organisasi atau kelompok tertentu, tetapi sebagai satu pertanyaan besar tentang arah negara apakah Malaysia yang kita mahu wariskan kepada generasi akan datang.

Gambar 1: Sidang Media Laporan IMNR 2025
Indeks Malaysia Negara Rahmah (IMNR) 2025 mencatatkan skor keseluruhan sederhana 7.42 daripada skala 10, berdasarkan tinjauan terhadap 3,030 responden berusia 18 tahun ke atas daripada latar belakang masyarakat yang pelbagai.
Namun, skor ini lebih tepat dilihat sebagai garis asas daripada pencapaian akhir. Ia menunjukkan terdapat asas yang boleh dibina, tetapi masih banyak ruang untuk diperbaiki, khususnya dalam dimensi politik dan ekonomi.
Persoalannya, apakah persediaan kita untuk bergerak daripada 7.42 kepada sebuah Malaysia yang benar-benar lebih rahmah pada 2035?
Negara Rahmah perlukan politik matang dan politik warga
Malaysia memerlukan budaya politik yang matang serta pendekatan politik yang membina kesedaran kewarganegaraan bersama. Dalam perjalanan menuju Malaysia Negara Rahmah 2035, PRU16 akan menjadi satu ujian penting terhadap kematangan politik negara.
Pilihan raya bukan sekadar menentukan siapa membentuk kerajaan, tetapi juga sejauh mana agenda reformasi (islah), pengukuhan institusi dan pembinaan budaya politik yang lebih matang dapat diteruskan.
Malaysia tidak boleh terus menilai politik hanya melalui pertukaran kuasa. Kematangan politik perlu terlihat pada Parlimen yang lebih berfungsi, tadbir urus yang lebih telus, semak dan imbang yang lebih berkesan serta penghormatan yang konsisten terhadap undang-undang dan institusi negara.
Jika setiap pilihan raya hanya berakhir dengan perbahasan tentang siapa menang dan siapa kalah, sedangkan mutu institusi tidak banyak berubah, maka kita masih belum benar-benar bersedia untuk 2035.
Kita juga akan menghadapi cabaran membina Negara Rahmah jika politik terus digerakkan oleh ketakutan, prasangka dan eksploitasi perbezaan kaum serta agama. Kepelbagaian Malaysia bukan masalah yang perlu dihapuskan, tetapi realiti kekuatan yang perlu diurus dengan adil, matang dan saling menghormati.
Kita perlu bergerak daripada politik yang hanya menonjolkan identiti kelompok kepada politik kewarganegaraan yang lebih luas. Hal ini bukan bermaksud menafikan identiti kaum, agama atau budaya, tetapi meletakkan keadilan, maruah dan hak setiap warga sebagai asas bersama dalam kehidupan bernegara.
Perkembangan ekonomi yang belum membumi?
Malaysia mempunyai asas ekonomi yang positif. Pada 2025, KDNK negara berkembang sebanyak 5.2 peratus, dengan nilai pada harga semasa mencecah RM2.03 trilion. Namun, pertumbuhan ekonomi sahaja tidak cukup untuk menggambarkan kesejahteraan rakyat. Persoalan yang lebih penting ialah sejauh mana pertumbuhan itu benar-benar dirasai dalam kehidupan seharian.
Pada 2024, pendapatan isi rumah median Malaysia meningkat kepada RM7,017. Namun jurang masih ketara apabila median pendapatan isi rumah bandar ialah RM8,139 berbanding RM4,588 di luar bandar. Angka ini mengingatkan kita bahawa pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat saling berkait, tetapi tidak semestinya bergerak pada kadar yang sama.
Jika Malaysia mahu menjadi Negara Rahmah, kemakmuran perlu lebih membumi dan dinikmati secara meluas. Ukurannya bukan sekadar berapa banyak kekayaan yang dicipta, tetapi siapa yang mendapat manfaat, siapa yang masih tertinggal dan sejauh mana peluang mobiliti sosial tersedia, khususnya kepada generasi muda.
Malaysia 2035 memerlukan ekonomi bernilai tinggi, pekerjaan berkualiti, pendidikan yang relevan, inovasi dan produktiviti. Namun semua itu perlu berjalan seiring dengan pengagihan peluang yang lebih adil. Ekonomi yang berjaya bukan sekadar ekonomi yang berkembang, tetapi ekonomi yang kemajuannya dapat dirasai oleh rakyat.
Modal sosial masyarakat
IMNR 2025 menunjukkan pencapaian tertinggi ialah Institusi Keluarga yang Utuh (8.51), Masyarakat yang Bahagia, Berakhlak dan Penyayang (8.22) serta Hubungan Harmoni antara Etnik dan Penganut Agama (8.04).
Dapatan ini menunjukkan bahawa kekuatan utama Malaysia masih terletak pada asas sosial, hubungan kemasyarakatan dan institusi keluarga. Namun, masih terdapat jurang penambahbaikan dalam beberapa aspek pembangunan sosial negara.
Kekuatan ini merupakan modal sosial yang amat penting dalam membina Negara Rahmah. Dalam keadaan ekonomi dan politik yang sering berubah, modal sosial inilah yang membantu masyarakat kekal berdaya tahan dan saling menyokong.
Namun, modal sosial tidak boleh dianggap akan kekal dengan sendirinya. Perubahan struktur keluarga, tekanan kos sara hidup, jurang generasi, polarisasi sosial dan penggunaan media digital boleh mempengaruhi hubungan antara individu dan komuniti.
Justeru, usaha memperkukuh keluarga, komuniti, pendidikan nilai dan ruang interaksi antara masyarakat perlu terus diberi perhatian agar kekuatan sosial Malaysia kekal menjadi teras menuju Negara Rahmah 2035.
2035 bermula hari ini

Gambar 2: Putrajaya
Jika Negara Rahmah mahu menjadi realiti, beberapa perkara tidak boleh ditangguhkan. Antara langkah segera menuju Negara Rahmah 2035 ialah:
Pertama, Institusi dan Tadbir Urus yang Kukuh – Perkukuhkan institusi dan tadbir urus, khususnya sistem semak dan imbang, ketelusan serta keadilan dalam pelaksanaan undang-undang.
Kedua, Mobiliti Sosial melalui Ekonomi Inklusif – Pastikan pertumbuhan ekonomi meningkatkan mobiliti sosial, melalui pekerjaan berkualiti, pendapatan yang lebih baik dan peluang yang lebih saksama.
Ketiga, Modal Sosial dan Perpaduan Diperkasa – Pelihara modal sosial dan perpaduan rakyat dengan mengukuhkan keluarga, komuniti, keharmonian antara kaum serta politik kewarganegaraan.
Keempat, Pendidikan Membina Insan dan Masa Depan – Jadikan pendidikan pemacu perubahan generasi dengan membentuk insan berilmu, berkemahiran, berintegriti dan mampu hidup dalam masyarakat majmuk.
Akhirnya, Negara Rahmah merupakan cita-cita kenegaraan yang boleh dikongsi oleh sesiapa sahaja yang menginginkan Malaysia yang lebih adil, makmur dan manusiawi.
PRU16 mungkin menentukan kerajaan. Tetapi apa yang kita lakukan selepas PRU16 akan menentukan negara dan generasi masa depan. 2035 hanya tinggal kurang sedekad.
Persoalannya bukan lagi sama ada kita mempunyai aspirasi yang baik, tetapi sama ada kita mempunyai keberanian, disiplin dan ukuran yang jelas untuk menterjemahkannya menjadi realiti.
Malaysia 2035 tidak bermula pada 2035. Ia bermula dengan pilihan yang kita buat hari ini.
Prof. Dr. Hanim Salleh
Ketua Kluster Kepimpinan
JKP Agenda Nasional
Pertubuhan IKRAM Malaysia
Profesor, Universiti Tenaga Nasional
Rujukan




