BANDAR BARU BANGI – Halangan utama membina perpaduan dan integrasi nasional di negara ini berpunca daripada masalah persepsi, yang sering menimbulkan rasa curiga dan perselisihan antara kaum, menurut Yang di-Pertua Dewan Rakyat, YB Tan Sri Dato’ Dr. Johari Abdul.
“Kita tidak akan bersatu selagi kita ada persepsi,” tegas beliau ketika merasmikan Dialog Negara Bangsa: Membina Jati Diri dan Identiti Nasional di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pendidikan Islam di sini pada Rabu.
Jelasnya, berdasarkan pengalaman beliau bergaul dengan masyarakat pelbagai kaum semasa menjadi ADUN dan Ahli Parlimen, kegagalan sesetengahnya berkomunikasi dalam bahasa kebangsaan telah menimbulkan persepsi negatif.
“Dan inilah yang terjadi pada negara kita. Kita mewujudkan persepsi itu kerana kita tidak berkomunikasi.”
Tambahnya, tembok persepsi tersebut perlu diruntuhkan dalam usaha membina integrasi nasional.
Dialog Negara Bangsa itu dianjurkan bersama oleh Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) dan IPG Kampus Pendidikan Islam dengan kerjasama Pertubuhan Advokasi dan Pemerkasaan Masyarakat (ACE) dan Persatuan Belia Harmoni Malaysia.
Menurut Presiden IKRAM, Haji Badlishah Sham Baharin, program itu merupakan salah satu pengisian Sambutan Bulan Kebangsaan (SBK) 2026 anjuran NGO itu bagi tahun keenam, bagi menyebarluaskan pemahaman mengenai konsep negara bangsa dalam pembinaan jati diri dan identiti nasional dalam kalangan masyarakat, khususnya golongan orang muda.

“IKRAM sangat mengalu-alukan kerjasama dengan pelbagai pihak yang ingin menjadi rakan strategik dalam melaksanakan inisiatif membangunkan negara,” ujarnya.
Dialog itu disertai kira-kira 470 peserta, yang terdiri daripada mahasiswa IPG Kampus Pendidikan Islam, termasuk IPG Kampus Bahasa Antarabangsa, IPG Kampus Raja Melewar, IPG Kampus Ilmu Khas dan IPG Kampus Pendidikan Teknik, serta para pendidik dan wakil daripada pelbagai agensi dan pertubuhan bukan kerajaan.
Dalam pada itu, Dr Abdullah Hamzah, Ketua Jabatan, Jabatan Hal Ehwal Pelajar, yang mewakili Pengarah IPG Kampus Pendidikan Islam berkata, IPG sedang membentuk generasi pendidik anak-anak Malaysia daripada pelbagai kaum, agama, bahasa, budaya dan latar belakang.
“Justeru, guru bukan sekadar menyampaikan ilmu. Guru membentuk manusia. Guru membina jati diri. Dan guru mempunyai peranan yang sangat besar dalam menyemai rasa kebersamaan sebagai rakyat Malaysia,” ujarnya.
Dialog Negara Bangsa kali ini menampilkan Azlan Mubin sebagai moderator, yang disertai oleh empat ahli panel iaitu Prof. Dato’ Dr. Sivamurugan Pandian (Pakar Sosiologi), Prof. Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong (Pakar Bahasa), Puan Jo-Anna Sue Henley Rampas (Pempengaruh) dan Ust. Azlan Shah Nabees Khan (Pendakwah).

Bagi Prof. Sivamurugan, rakyat Malaysia pelbagai kaum tidak cukup sekadar tinggal di negara yang sama untuk membina perpaduan. Mereka perlu benar-benar bergaul, berkongsi dan membina rasa kepunyaan bersama.
“Kita tidak boleh hidup berdampingan tetapi berasingan,” gesa beliau.
Beliau juga menggariskan formula akronim K.I.T.A. dalam usaha merealisasikan perpaduan yang mampan.
Formula tersebut ialah Kebersamaan dalam konteks kepelbagaian, Inklusiviti daripada identiti nasional, Tanggungjawab berteraskan toleransi (tasamuh) dan penerimaan serta Aspirasi berlandaskan nilai amanah.
Meskipun rakyat Malaysia pelbagai mempunyai sejarah yang berbeza, beliau menekankan tentang keperluan bersama untuk masa depan negara.
“Kita tidak perlu mempunyai sejarah yang sama. Tapi kita perlu membina masa depan yang sama,” ujarnya.
Sementara itu, Prof. Teo menegaskan, menjadi tanggungjawab setiap warganegara untuk menguasai bahasa Melayu, yang turut menjadi bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan kebangsaan.
Beliau mengkritik sikap sebahagian rakyat Malaysia, terutamanya dalam kalangan bukan Melayu yang masih gagal berkomunikasi dalam bahasa Melayu sebagai bahasa negara.
“Apa erti kerakyatan yang dipegang jika tidak boleh berbahasa negara?” soalnya. Tambah beliau, bahasa Melayu mempunyai nilai kenegaraan yang tidak terhingga nilainya, melangkaui sekadar nilai ekonomi.
“Bahasa Melayu telah berubah daripada menjadi bahasa besar dan penting menjadi bahasa kecil dan tidak penting,” jelas beliau mengenai realiti kini.
Prof. Teo turut menzahirkan kebimbangan tentang situasi bahasa Melayu kini dan memberi peringatan keras tentang kedudukannya apabila semakin banyak peranannya diambil alih oleh bahasa lain.
Jo-Anna pula mengupas tentang latar belakang unik mengenai kepelbagaian etnik di Sabah dan Sarawak serta peranan media sosial dalam mengukuhkan perpaduan nasional.
“Perpaduan akan menjadi rapuh apabila ditafsirkan sebagai keseragaman,” kata beliau.
Jelasnya, perpaduan tidak menuntut semua orang menjadi sama. Bahkan ia menjadi matang apabila perbezaan boleh terus hidup tanpa mengancam rasa kebersamaan.
“Identiti nasional bukan sekadar mempunyai kad pengenalan, bukan sekadar simbol, bukan sekadar slogan,” tambahnya.
Jo-Anna berpandangan, identiti nasional juga tentang pengalaman dan sejarah yang diiktiraf, suara yang mempunyai nilai, maruah yang dihormati dan keyakinan bahawa masa depan mempunyai tempat untuk semua.
Hal ini kerana, rasa menjadi sebahagian daripada Malaysia perlu lebih daripada sekadar tercatat pada dokumen.
Ustaz Azlan Shah berkongsi pengalaman interaksi antara kaum dan pengajaran daripada sirah Rasulullah SAW dalam membina keharmonian di Madinah.

Bagi beliau, seseorang yang mengenali budaya, bahasa dan cara hidup orang lain tidak bermaksud kehilangan identiti sendiri. Sebaliknya, sikap itulah yang menjadi sebahagian daripada proses lita‘arafu yang terkandung dalam Surah al-Hujurat ayat 13.
“Kita perlu memiliki wawasan yang luas. Wawasan berfikir yang luas tanpa mengorbankan jati diri kita.”
Ujarnya, persoalannya bukan siapa paling berhak terhadap Malaysia. Sebaliknya, persoalan penting ialah bagaimana rumah ini dapat dibina dan dipertahankan bersama.
“Kita semua ada tanggungjawab untuk menjaga rumah kita. Inilah rumah kita. Kita tak ada rumah lain.” tambah beliau.
Moga Dialog Negara Bangsa ini dapat membuka ruang untuk memahami dengan lebih jelas tentang negara bangsa, pembentukan identiti nasional dan peranan kita sebagai rakyat Malaysia untuk memperkukuh perpaduan serta keharmonian negara.




