Setiap kali 16 September menjelang, kita kembali mengingati satu detik penting dalam sejarah negara iaitu pembentukan Malaysia pada tahun 1963 melalui penyatuan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.
Lebih enam dekad telah berlalu. Malaysia telah berubah dengan begitu pesat. Kita membina bandar, institusi, jaringan ekonomi dan sistem pentadbiran yang semakin kompleks. Kita juga sering meraikan kepelbagaian kaum, agama dan budaya sebagai salah satu kekuatan utama negara.
Namun, Hari Malaysia seharusnya membawa kita lebih jauh daripada sekadar mengenang sejarah. Ia adalah ruang untuk kita menilai perjalanan sebuah negara yang dibina bersama dan bertanya secara jujur: Adakah Malaysia hari ini benar-benar mencerminkan aspirasi negara yang kita impikan?
Pertanyaan ini penting kerana pembentukan sesebuah negara tidak berakhir pada hari sebuah persekutuan diwujudkan. Negara perlu terus dibina melalui dasar yang adil, institusi yang dipercayai, kepimpinan yang beramanah dan pembangunan yang dapat dirasai oleh seluruh rakyat.
Malaysia sejak awal tidak dibentuk atas keseragaman. Negara ini lahir daripada wilayah dengan sejarah, pengalaman dan identiti yang berbeza. Sabah dan Sarawak bukan sekadar pelengkap kepada peta Malaysia, tetapi merupakan sebahagian penting daripada asas pembentukan Persekutuan.
Kepelbagaian etnik, agama dan budaya bukan sekadar slogan dalam sambutan rasmi. Ia merupakan realiti sosial yang memerlukan kebijaksanaan dalam mengurus perbezaan, keadilan dalam mengagihkan peluang dan kesediaan untuk melihat kepentingan negara mengatasi kepentingan kelompok.
Kemajuan yang dinikmati
Malaysia telah mencapai banyak kemajuan sejak 1963. Namun, ukuran pembangunan tidak seharusnya terhad kepada pertumbuhan ekonomi, projek berskala besar atau kemajuan fizikal semata-mata. Ukuran sebenar pembangunan ialah sejauh mana kehidupan rakyat menjadi lebih sejahtera.

Gambar 1: Kemajmukan kaum di Malaysia
Hari Malaysia wajar menjadi hari kita menilai bukan hanya sejauh mana negara telah maju, tetapi juga sejauh mana rakyat benar-benar menikmati kemajuan tersebut. Bagi keluarga biasa, pembangunan bermaksud sekolah yang berkualiti untuk anak-anak mereka.
Ia bermaksud bekalan air dan elektrik yang stabil, kemudahan kesihatan yang mudah dicapai, jaringan pengangkutan yang selamat serta peluang pekerjaan yang membolehkan seseorang membina kehidupan dengan bermaruah.
Dalam konteks Sabah dan Sarawak, persoalan tentang jurang pembangunan antara wilayah terus menjadi sebahagian daripada perbincangan nasional. Realiti di sesetengah kawasan, khususnya kawasan luar bandar dan pedalaman, mengingatkan kita bahawa penyatuan politik tidak secara automatik menghasilkan kesamarataan pembangunan.
Justeru, isu utama bukan semata-mata berapa banyak peruntukan diumumkan. Yang lebih penting ialah sejauh mana setiap ringgit yang diperuntukkan diterjemahkan kepada manfaat yang nyata kepada rakyat. Di sinilah persoalan pembangunan berkait rapat dengan kualiti tadbir urus.
Sebuah negara mungkin mempunyai sumber yang besar dan peruntukan pembangunan yang tinggi. Namun, jika berlaku ketirisan, kelemahan pengurusan atau salah guna kuasa, kesannya tetap akan dirasai oleh rakyat.
Kontroversi yang pernah melibatkan institusi dan entiti besar negara seperti 1MDB, FELDA dan Tabung Haji memberikan satu pengajaran penting: apabila pengurusan amanah awam dipersoalkan, kesannya jauh melampaui kerugian kewangan. Yang turut terhakis ialah keyakinan rakyat terhadap institusi negara.
Usaha memperkukuh integriti
Pelbagai usaha telah diperkenalkan bagi memperkukuh integriti, membanteras rasuah, meningkatkan ketelusan dan memperbaiki sistem penyampaian perkhidmatan awam. Kita mempunyai kerangka antirasuah di peringkat nasional dan organisasi.
Kita mempunyai Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, mekanisme audit, sistem ePerolehan, Integrity Pact, penggunaan data terbuka serta pelbagai bentuk pemantauan terhadap projek dan perbelanjaan awam.

Gambar 2: Keratan akhbar Berita Harian
Semua ini menunjukkan bahawa Malaysia mempunyai struktur dan instrumen yang diperlukan untuk membina tadbir urus yang baik. Namun, kekuatan sesebuah negara tidak ditentukan oleh berapa banyak dasar yang dimilikinya, tetapi sejauh mana dasar tersebut dilaksanakan secara konsisten, telus dan berkesan.
Dasar yang baik tidak membawa perubahan jika hanya tinggal sebagai dokumen. Pelan yang komprehensif tidak memberi kesan jika pelaksanaannya lemah. Sistem pemantauan yang canggih juga tidak akan berfungsi jika budaya organisasi masih bertolak ansur terhadap salah guna kuasa.
Inilah cabaran sebenar dalam reformasi tadbir urus. Kita perlu beralih daripada budaya yang menilai kejayaan berdasarkan jumlah dasar, program, pelan dan peruntukan kepada budaya yang menilai hasil, impak dan akauntabiliti.
Pertanyaan yang perlu diberi perhatian bukan sekadar, “Berapa banyak yang telah dibelanjakan?”, tetapi juga, “Apakah impak dan perubahan yang telah dihasilkan?” Bukan sekadar, “Apakah sistem yang telah diwujudkan?”, tetapi, “Adakah sistem itu benar-benar berfungsi?” Dan bukan sekadar, “Adakah kita mempunyai dasar antirasuah?”, tetapi, “Adakah sistem kita benar-benar mengecilkan ruang untuk rasuah berlaku?”
Integriti melawan rasuah
Di sinilah integriti dan nilai murni menjadi begitu penting. Integriti sering dianggap sebagai persoalan moral individu. Hakikatnya, dalam konteks pembangunan negara, integriti adalah sebahagian daripada infrastruktur institusi. Tanpa integriti, dasar yang baik boleh dimanipulasi. Tanpa integriti, institusi yang kuat boleh dilemahkan. Tanpa integriti, wang pembangunan boleh hilang sebelum manfaatnya sampai kepada rakyat.
Syed Hussein Alatas, melalui karya “Sosiologi Rasuah”, mengingatkan bahawa rasuah bukan sekadar salah laku individu, tetapi suatu fenomena sosial yang boleh berkembang apabila sistem, budaya dan persekitaran membenarkannya. Rasuah perlu difahami dalam konteks yang lebih luas:
Bagaimana kuasa digunakan, bagaimana institusi berfungsi dan sejauh mana masyarakat bertolak ansur terhadap penyalahgunaan amanah. Justeru, membanteras rasuah tidak boleh bergantung kepada hukuman semata-mata; ia menuntut institusi yang kukuh, kepimpinan yang berintegriti dan budaya masyarakat yang tidak menormalisasikan salah guna kuasa.

Gambar 3: Buku Sosiologi Rasuah tulisan Syed Hussein Alatas
Pengajarannya jelas: Rasuah tidak boleh dilawan melalui undang-undang semata-mata. Undang-undang penting. Penguatkuasaan penting. Sistem audit dan pemantauan juga penting.
Tetapi integriti sesebuah negara akhirnya bergantung kepada budaya yang dibina dalam institusinya, budaya yang tidak menormalisasikan salah laku, tidak melindungi penyalahgunaan kuasa dan tidak memberi ruang kepada kepentingan peribadi mengatasi kepentingan awam.
Rasuah juga tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai kehilangan sejumlah wang. Rasuah ialah kehilangan peluang. Apabila wang awam disalahgunakan, yang mungkin terjejas ialah sebuah sekolah yang sepatutnya dibina.
Ia mungkin sebuah klinik yang sepatutnya beroperasi. Ia mungkin jalan yang sepatutnya menghubungkan masyarakat pedalaman dengan pusat ekonomi. Ia mungkin biasiswa untuk seorang anak muda. Ia mungkin bantuan untuk keluarga yang benar-benar memerlukan.
Amanah dan keadilan dalam bernegara
Oleh itu, setiap ringgit yang hilang melalui ketirisan membawa kos sosial yang jauh lebih besar daripada angka yang tercatat dalam laporan kewangan. Yang akhirnya membayar harga kelemahan tadbir urus ialah rakyat. Dalam Islam, persoalan amanah dan keadilan merupakan asas kepada tanggungjawab kepimpinan.
Al-Quran mengingatkan:
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan apabila kamu menetapkan hukum antara manusia, hendaklah kamu menetapkannya dengan adil.” (Surah al-Nisa’, ayat 58)
Prinsip amanah dan keadilan amat penting dalam kehidupan bernegara. Kuasa ialah amanah, manakala keadilan ialah kewajipan.
Mereka yang memegang jawatan awam bukan sekadar diberi kuasa untuk membuat keputusan, tetapi bertanggungjawab memastikan kuasa tersebut digunakan demi kepentingan rakyat. Institusi negara pula mesti cukup kukuh untuk memastikan setiap pemegang kuasa tertakluk kepada undang-undang, proses dan akauntabiliti.
Negara yang benar-benar maju bukan hanya diukur melalui projek mega, pertumbuhan ekonomi atau pembangunan fizikal. Kemajuan yang bermakna wujud apabila rakyat yakin bahawa undang-undang dilaksanakan secara adil, wang awam diurus dengan amanah dan institusi kekal berfungsi secara profesional.
Dalam Malaysia yang majmuk, integriti harus menjadi titik temu dan agenda nasional. Rasuah, ketirisan dan penyalahgunaan kuasa tidak mengenal kaum, agama atau wilayah. Kesannya akhirnya ditanggung oleh seluruh rakyat.
Selepas lebih enam dekad pembentukan Malaysia, tanggungjawab kita ialah menentukan negara yang akan diwariskan kepada generasi akan datang. Kita memerlukan Malaysia yang berdiri atas keadilan, integriti, akauntabiliti dan rahmah. Kepercayaan mengambil masa untuk dibina, tetapi boleh musnah apabila amanah dikhianati.
Hari Malaysia mengingatkan bahawa Malaysia bukan sekadar negara, tetapi amanah yang akan diwariskan kepada generasi seterusnya.
Selamat Hari Malaysia!
Prof. Dr. Hanim Salleh
Ketua Kluster Kepimpinan
Jawatankuasa Pusat (JKP) Agenda Nasional
Pertubuhan IKRAM Malaysia
Profesor, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN)




