Keamanan Malaysia: Nikmat yang Perlu Kita Syukuri

keamanan Malaysia

Cuba bayangkan sejenak, kita bangun pagi tanpa bimbang akan bunyi tembakan, keluar bekerja tanpa rasa takut dan kembali ke rumah tanpa gangguan. Bagi kita, ini perkara biasa. Namun bagi jutaan manusia di tempat lain di dunia ini, keamanan seperti itu mungkin salah satu daripada impian yang ditunggu-tunggu.

Nikmat inilah yang kita warisi daripada perjalanan sejarah yang membawa kepada pembentukan Malaysia pada 16 September 1963. Persoalannya, adakah kita benar-benar mensyukurinya, atau kita hanya meraikannya setahun sekali dengan pancaragam dan perarakan?

Nikmat yang terlepas daripada pandangan

Nikmat yang paling besar selalunya nikmat yang paling mudah terlepas daripada pandangan. Keamanan yang kita kecapi setiap hari dianggap perkara biasa, sedangkan di sebahagian tempat di dunia menjadi impian yang tidak kesampaian.

Begitu juga halnya dengan kepelbagaian kaum dan budaya yang kita warisi; ia bukan punca perpecahan seperti yang berlaku di sesetengah negara, malah menjadi sumber kekayaan dan keunikan kepada Malaysia. 

Malaysia tentu tidak terlepas daripada pelbagai cabaran. Namun, jika dibandingkan dengan perkembangan dunia sepanjang 2025 sehingga 2026 ini, skala masalah yang kita hadapi masih jauh berbeza.

Gempa bumi, kebakaran hutan, gelombang haba ekstrem, pergolakan politik, konflik dalaman seperti di Myanmar dan Haiti, serta tragedi kemanusiaan di Gaza memperlihatkan betapa rapuhnya keamanan. Dalam keadaan dunia yang tidak menentu ini, Malaysia masih relatif aman, stabil dan nikmat inilah yang perlu kita syukuri serta pelihara.

Semua nikmat ini datangnya daripada Allah dan kesedaran itulah yang menjadi punca kepada segala rasa syukur. Tanpa kesedaran ini, syukur hanya tinggal ucapan yang kosong maknanya.

Syukur bukan sekadar di bibir

Bersyukur bukan sekadar ungkapan di bibir. Islam mengajar bahawa syukur bermula dengan pengakuan terhadap nikmat, kemudian diterjemahkan melalui amalan dan penghayatan yang selaras dengan kehendak Allah SWT sebagai Pemberi nikmat.

Allah SWT menjelaskan dalam al-Quran melalui Surah Ibrahim, ayat 7, bahawa sesiapa yang bersyukur, nikmatnya akan ditambah. Hal ini bermakna syukur bukan perkara yang pasif, tetapi satu tindakan yang berterusan. Warganegara yang bersyukur tidak akan merosakkan negara yang menaunginya.

Dia tidak membazirkan sumber, tidak mencemari keharmonian dan tidak menyalahgunakan kebebasan yang dinikmatinya. Sebaliknya, memelihara segala nikmat itu sebagai amanah yang dipertanggungjawabkan ke atas dirinya.

Kesyukuran bukan sekadar perasaan peribadi, syukur ialah nilai sivik yang perlu dipupuk dan dibina dalam diri setiap warganegara. Kesedaran terhadap kepentingan nilai ini semakin diberikan perhatian dalam sistem pendidikan negara.

Bersyukur ditempatkan sebagai salah satu daripada enam nilai teras pendidikan berasaskan nilai, bersama-sama dengan nilai maruah, adil, integriti, berani dan altruisme iaitu sikap mengutamakan kebajikan orang lain. Kedudukan ini menunjukkan bahawa bersyukur bukanlah nilai yang wajar disentuh secara sampingan, sebaliknya perlu dibentuk secara terancang dan berterusan sejak di bangku sekolah.

Syukur membentuk sahsiah

Apabila nilai syukur dipupuk dengan baik, nilai ini akan membentuk sahsiah seseorang warganegara. Orang yang bersyukur ialah orang yang bersikap tawaduk, yang menghargai jasa orang lain dan yang tidak mudah lupa diri.

Dia sedar bahawa keamanan yang dinikmati pada hari ini bukan terbina dengan sendirinya, tetapi lahir daripada usaha, pengorbanan dan kesungguhan generasi terdahulu. Sikap inilah yang menjadi benteng kepada pelbagai masalah sosial yang kita saksikan hari ini. 

Perbuatan merosakkan harta awam, menyebarkan kebencian antara kaum dan bersikap acuh tak acuh terhadap negara yang  berpunca daripada satu punca yang sama, iaitu hilangnya rasa syukur. Orang yang benar-benar menghargai sesuatu tidak sanggup merosakkannya.

Rasa syukur yang paling bermakna tidak terhenti pada diri sendiri, sebaliknya diterjemahkan melalui kasih sayang, kepedulian dan rasa tanggungjawab terhadap orang lain. Inilah roh yang diterapkan oleh pelbagai gerakan masyarakat, termasuk Pertubuhan IKRAM Malaysia melalui kerangka Asas Islam Rahmah atau AISAR, yang mendidik masyarakat dengan kefahaman agama yang sederhana dan penuh kasih sayang.

Apabila pendidikan negara dan gerakan masyarakat membawa nilai yang seiring, usaha membudayakan rasa syukur perlu diteruskan daripada bilik darjah kepada keluarga dan masyarakat. Warganegara yang bersyukur akan menyumbang kepada masyarakatnya, memelihara perpaduan yang diwarisinya dan berusaha mewariskan negara ini dalam keadaan yang lebih baik kepada generasi selepasnya.

Syukur yang jujur

Di sinilah terletaknya makna sebenar meraikan Hari Malaysia. Sambutan ini bukan sekadar tentang seberapa lantang slogan dilaungkan atau seberapa meriah acara dianjurkan, tetapi tentang sejauh mana kita memahami tanggungjawab terhadap nikmat sebuah negara yang aman dan stabil. Malaysia yang kita warisi hari ini dibina melalui pengorbanan, kesabaran dan usaha generasi terdahulu. 

Maka, tugas kita bukan semata-mata menikmatinya, tetapi memastikan keamanan, keharmonian dan kesejahteraan yang diwarisi terus dipelihara. Persoalan yang lebih penting ialah, dalam keadaan bagaimana pula Malaysia akan kita serahkan kepada generasi yang akan datang?

Pada akhirnya, rasa syukur yang paling tulus tidak cukup sekadar dilafazkan dengan kata-kata, tetapi perlu dibuktikan melalui kesungguhan menjaga, memelihara dan memperbaik apa yang telah dikurniakan kepada kita.

Prof. Madya Dr. Khairul Hamimah Mohammad Jodi
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Open Universiti Malaysia (OUM)

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia